Part 20

178 15 3
                                    

SEAWAL pagi Jamilah sudah menanti di hadapan pintu rumah untuk dijemput si majikan. Tidak berani membiarkan si majikan menunggunya bersiap ke tempat kerja.

"Awal bangun," komen Mak Eton menjeling pada si anak dara yang sudah lengkap berbaju kurung kuning cair dengan bawal yang juga sama warnanya.

"Tunggu bos jemput," balas Jamilah senada.
Mata tertumpu pada jalan masuk ke rumah yang masih kosong ketika ini. Belum kelihatan Lexus yang menghantarnya pulang semalam.

"Sejak bila pulak bos kena datang jemput pekerja kat rumah?" tingkah Mak Eton keliru.
Mata meliar pada laman. Dahi bertaut bila motorsikal si anak tidak kelihatan di mata.

"Motor hang mana?"

"Rosak."

"Dah tu macam mana hang balik semalam? Siapa hantaq hang balik?"

"Encik Mateen."
Terjongket naik kening Mak Eton mendengar balasan itu. Baik benar si majikan menghantar anaknya pulang. Ada udang di sebalik meekah?

Belum sempat Mak Eton menyoal dengan lebih lanjut, si anak sudah meluru keluar menyambut si majikan yang baru muncul.

"Milah pergi dulu," laung Jamilah pantas membuka pintu seraya memboloskan diri ke dalam perut Lexus si majikan.

Mateen mengerling sekilas pada Jamilah sebelum menekan pedal minyak menuju ke destinasi yang diinginkan. Bukan syarikat yang menjadi hala tuju utama. Sebaliknya berhenti di hadapan warung yang kelihatan cukup usang. Jauh berbeza dengan restoran mewah yang menjadi pilihan malam tadi.

"Encik belum sarapan ke?" soal Jamilah melangkah keluar dari perut kereta. 

"Belum."
Dia perlu keluar awal untuk menjemput gadis yang tinggal jauh dari rumahnya. Tidak sempat bersarapan terlebih dahulu.

"Saya dah sarapan."
Jarang sekali dia bersarapan di luar. Sentiasa cuba berjimat. Pagi ini dia sempat memamah dua ketul karipap untuk mengalas perut.

"So?"
Si majikan menjongket kening. Mencabar si gadis menolak untuk menemaninya bersarapan.

Jamilah menggaru kepala yang tidak gatal. Terpaksa akur dengan si majikan yang sudi menjemputnya di rumah.

"Awak belanja saya."
Arahan diktator yang bergema buat si gadis terkebil-kebil memandang wajah kacak di hadapan mata. Bimbang tersalah dengar.

"Huh?"
"Upah saya hantar awak pulang dan jemput awak ke tempat kerja."

Bila si majikan mula menuntut bayaran, dengan wajah sepuluh sen Jamilah mencapai dompet di dalam tas tangan. Menilik not yang masih bersisa. Hanya tinggal not 50 terakhir.

Mujur sahaja esok dia akan menerima gaji. Jika tidak dia terpaksa mengorek tabung untuk menunggu hingga tarikh gaji tiba.

"Kenapa? Tak ada duit?"

"Ada!" tekan Jamilah bersungguh mengangguk. Tidak mahu dilabel terlalu sengkek oleh si majikan.
Mateen tersenyum penuh makna. Terasa lucu bila dapat mengenakan si gadis. Dia hanya menuntut gadis itu membayar makanan di warung yang usang. Harga masih berada di dalam kemampuan si gadis.

Dia memesan makanan dari pelayan warung. Nasi lemak dan ayam goreng menjadi pilihan beserta teh tarik.

"Awak tak nak order?"
Jamilah pantas menggeleng menolak.

"Saya dah kenyang."

"Are you sure? Nasi lemak warung ni sedap," tutur Mateen.

Warung yang usang punya tarikan tersendiri. Buat pengunjung tidak pernah lengang.

Jamilah mengangguk bagai burung belatuk. Mata mengerling pada makanan pengunjung di meja sebelah sebelum menelan liur dalam diam. Nampak menyelerakan. Menggoda nafsu. Buat perut mula berlagu. Meminta untuk diisi.   

Mateen tersenyum simpul. Berpura-pura tidak perasan tingkah Jamilah. Memandangkan gadis itu masih ingin berjimat, dia tidak akan memaksa. Tidak juga bermurah hati kala mahu si gadis membalas budi.

Si majikan menikmati hidangan di hadapan mata. Si pekerja pula hanya mampu menelan liur dan menahan air mata. Sadis benar. Dasar bos kedekut. Humph!

Hati mula mengutuk si majikan. Bibir bersulam senyuman menutup apa yang bermain di hati ketika ini.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now