Part 10

155 15 0
                                    

"KAK LONG, ajar cepat." Arahan si adik yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi menyapa gegendang telinga.

Jamilah memicingkan mata pada si adik yang mengganggu pembacaannya. Tengah seronok melayan bahagian si hero ingin menjamah bibir si heroin di malam pertama diganggu pula oleh si adik yang sesuka hati menceroboh masuk bilik tidak berkunci. Ish!

Mata mendarat pada buku latihan di tangan si adik. Kemudian beralih semula pada muka surat novel yang menggamit untuknya meneruskan pembacaan. Berat mahu menurutkan permintaan si adik.

"Novel tu letak tepi dulu," arah Zaidi tanpa rasa bersalah. Tangan selamba merampas novel si kakak sebelum digantikan dengan buku latihan.

Terjegil mata Jamilah dengan tingkah si adik. Berapi dada ketika ini. Sudahlah datang mengganggu. Seronok pula mengarahkannya.

"Belajar sendiri," tingkah Jamilah merampas semula novel di tangan si adik.

"Nak alang report kat mak ke?"
Si adik bukan sahaja tahu mengeluarkan arahan. Malah tahu mengeluarkan ugutan.

Memuncung bibir Jamilah bila memikirkan mulut bising Mak Eton. Bingit telinganya nanti kalau Mak Eton mula membebel.

Dia tahu jika dia menolak untuk mengajar si adik, Mak Eton pasti akan datang bercekak pinggang di hadapannya. Telinganya selalu menjadi mangsa wanita veteran itu. Pasti dipiat tanpa belas. Urgh!

"Kaki report," selar Jamilah. Diketuk kepala si adik geram.

Zaidi mengaduh sakit. Menggosok kepala yang menjadi mangsa si kakak. Dia tersengih menayang gigi. Jika dia tidak mengugut, kakak sulungnya pasti tidak sanggup meninggalkan novel untuk mengajarnya.

Di luar ramai yang menganggap si kakak gadis yang lurus. Hanya mereka adik-beradik tahu si kakak tidak pernah gagal membawa pulang keputusan cemerlang untuk tatapan Mak Eton dan Pak Jamlun.

Malang sekali si kakak tidak berniat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Atau lebih tepat lagi si kakak sanggup memberikan peluang itu pada adik-adik sendiri.

Si kakak mula menggalas beban di bahu untuk menambah pendapatan keluarga sebaik menamatkan zaman sekolah. Memastikan adik-adik lelaki mendapat pelajaran secukupnya.

Pengorbanan si kakak tidak akan dipandang sepi. Akan dibalas bila tiba waktunya.

"Apa sengih-sengih? Nak kak long ajar ke tak nak?"
Sekali lagi kepala si adik diketuk tanpa belas. Di hadapan adik-adik, dia tidak pernah gagal menggunakan kuasa sebagai kakak sulung. Berubah karakter sekelip mata.

"Nakkk," tekan Zaidi pantas membuka buku latihan matematik tambahan. Menunjukkan soalan yang tidak difahaminya.

"Yang ni pun tak tahu?" Jamilah mencebikkan bibir.
Dia tahu benar kelemahan si adik yang seorang ini. Agak lemah dalam matematik. Mujur sahaja sanggup bersengkang mata membuat latihan.

"Tak tahu," balas Zaidi jujur. Tidak cuba berlagak di hadapan si kakak yang lebih pakar.

Jamilah mendengus halus sebelum mencapai pensil di tangan si adik. Mulut ringan memberi penerangan biar mudah difahami si adik.
Bersinar mata si adik bila dapat memahami penerangan si kakak. Terasa soalan yang tadinya begitu sukar menjadi mudah.

Rasa kagum menabiri hati buat si kakak. Bertahun-tahun meninggalkan bangku sekolah tidak membuatkan si kakak hilang taringnya. Masih ingat apa yang dipelajari. Masih mampu mengajar adik-adik sendiri.

Mereka tidak punya wang untuk ke kelas tambahan. Mujur sahaja punya si kakak yang mampu menjadi 'guru' di kala diperlukan.

"Dah faham?" soal Jamilah menjongket kening.

"Faham." Zaidi mengangguk laju.

"Buat latihan lebih sikit," pesan Jamilah sebelum menghalau si adik keluar dari biliknya. Dia masih ingin menyambung pembacaan kisah malam pertama si hero dan heroin.

Kali ini pintu dikunci rapat. Tidak membenarkan gangguan berlaku ketika sibuk melayan kisah yang mengasyikkan.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now