Part 21

169 17 2
                                    

"KAU ingat akak tak nampak? Mata aku belum buta lagi tau," tingkah Kak Bainun bercekak pinggang. Jelas tidak berpuas hati bila si adik dianggap berahsia dengannya. 

Jamilah menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak menyangka Kak Bainun melihatnya datang bersama majikan mereka. Patutlah sedari tadi cara wanita muda itu memandangnya lain macam benar. Seperti menuntut penjelasan.

"Motor kau pun dia yang uruskan," tambah Kak Bainun mengecilkan mata menilik reaksi di wajah si adik yang seperti tidak terkesan dengan kebaikan si majikan. Dasar hati batu!

"Mana Kak Bainun tahu?"

"Akak dengar dia call bengkel tadi," balas Kak Bainun memicingkan mata curiga. Cuba meneka hubungan si adik dengan majikan mereka. Mustahil si majikan muda terlalu baik hati kalau tidak punya niat yang tersembunyi. 

Dia yang menghantar laporan ke bilik majikan sempat menangkap perbualan lelaki tinggi lampai itu di talian. Tidak sukar untuk mengaitkan perbualan si majikan dengan Jamilah. Hanya motor gadis itu yang rosak semalam.

Jamilah terangguk-angguk mendengar jawapan itu. Dalam diam dia menarik kembali label yang diberikan pada si majikan ketika bersarapan pagi tadi.

Lelaki tinggi lampai itu tidak kedekut orangnya. Sebaliknya begitu bermurah hati dalam membantu pekerja yang memerlukan. Thank you!

"Apa hubungan kau dengan dia, Milah?"

"Pekerja dengan majikan," balas Jamilah tanpa emosi.

Hubungan apa yang wujud selain itu? Tiada.

"Kau nak tipu aku ya, Milah?"
Jamilah pantas menggeleng. Sememangnya cuma itu hubungan yang wujud. Tiada apa yang istimewa. Tiada apa yang cuba disembunyikan.

"Kau nak tipu siapa, huh?" Hampir meninggi suara Kak Bainun menahan geram dengan sikap si adik yang seperti acuh tidak acuh itu.

"Milah tak tipu."

"Ish, budak ni. Aku seligi karang."

"Sumpah tak tipu."

"Dia suka kat kau, kan?"
Jamilah mengangkat bahu. Tempoh hari dia membuat andaian yang sama tapi Kak Bainun langsung tidak percaya. Hari ini wanita muda itu pula yang beria-ia mahu membuat spekulasi. Manalah dia tahu apa yang bermain di hati seorang majikan.

"Dia suka kat kau, Milah," tekan Kak Bainun tanpa ragu. Mata memandang si adik dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Mencari entah tarikan apa yang dimiliki gadis lurus itu.

Pelik benar dengan citarasa si majikan yang baru pulang dari luar negara. Sudah terlalu bosan melihat gadis moden agaknya hingga berminat dengan gadis kampung seperti Jamilah.

"Kau tahu tak Encik Mateen suka kat kau?"

"Tak tahu." Jamilah menggeleng perlahan.
Si majikan tidak pernah meluahkan apa-apa padanya. Hanya suka mengusik dan membulinya. Buatnya musykil dengan tanggapan itu. 

"Ish, budak ni. Apa yang kau tahu?" bentak Kak Bainun geram. Tidak berpuas hati dengan respons si adik.

Tidak mengapa. Dia akan membuka mata seluas-luasnya untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Kalau benar suka lambat-laun pasti akan terbongkar juga.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now