Part 11

174 23 1
                                    

"KENAPA awak tak sambung belajar?" Soalan itu dilemparkan pada si kerani yang dipanggil masuk menghadap.

    Terkebil-kebil mata Jamilah bila tiba-tiba sahaja diserang soalan itu. Tidak faham kenapa si majikan sibuk ingin tahu tentang kehidupannya.

    "Kenapa diam? Susah sangat ke nak jawab soalan saya ni?" Bersahaja nada yang digunakan.

    Dipandang si majikan yang bersandar selesa di kerusi empuk siap berpeluk tubuh. Riak di wajah kacak itu jelas punya tanda soal yang besar. Menuntut jawapan daripadanya.

    "Kenapa encik nak tahu?"
Soalan yang diutarakan bukan pertama kali didengari Jamilah. Tuan Azlan juga pernah mengutarakan soalan yang sama. Tidak sangka pula anak Tuan Azlan juga berminat untuk tahu.

"Saya tak boleh ambil tahu tentang pekerja bawahan saya, huh?"

Semalam dia membuka data tentang si kerani yang kini sudah dianggap seperti tea lady. Ingin tahu tentang gaji yang dibayar syarikat pada gadis itu.

Jika terlalu sedikit dia akan menambah elaun di atas usaha gadis itu menyediakan air untuknya setiap hari. Bayaran perlulah setimpal dengan usaha seseorang itu. Dia bukan majikan Haji Bakhil.

Siapa sangka dia akan mendapat kejutan sebaik sahaja membelek data si kerani. Gadis yang kelihatan lurus itu rupanya punya keputusan yang begitu cemerlang. Andai mahu menyambung pelajaran tentu akan mendapat tawaran dari universiti ternama.

Disebabkan itu, pagi ini mulutnya ringan bertanya. Ingin tahu apa masalah pelajar cemerlang hingga sanggup memadam masa depan yang cerah.

"Saya orang susah, encik. Adik-adik saya ramai lagi nak bersekolah."

Hanya itu jawapan yang diberikan. Jawapan yang benar. Tidak cuba berdalih. Tidak juga berniat untuk meminta simpati.

Si majikan tidak lagi menyoal bila mendengar jawapan itu. Sedar tidak semua manusia itu lahir di atas dulang emas.

Dia sendiri bernasib baik lahir ketika Tuan Azlan sudah berjaya membina empayar sendiri. Jika tidak mungkin nasibnya akan sama seperti si kerani. Tidak mustahil juga dia akan sanggup menongkah arus demi kehidupan yang lebih baik.

Dia tidak berada di situasi yang sama. Lalu dia tidak perlu memberi sebarang ulasan. Hanya mereka yang merasai layak berbicara. Yang sekadar memandang lebih baik diam sahaja.

"Kalau awak berminat nak sambung belajar... saya boleh bantu awak," usul Mateen serius.

Entah kenapa terasa rugi membiarkan seorang bekas pelajar cemerlang terus bekerja sebagai kerani sahaja. Kalau memiliki pendidikan yang lebih tinggi pasti mampu melangkah lebih jauh lagi.

"Saya tak berminat, encik," tolak Jamilah tanpa berfikir panjang.

Fokusnya hanya untuk mencari sedikit rezeki. Tidak lagi memasang sebarang angan-angan.
Walaupun dia cuma bekerja sebagai kerani, dia tidak terasa susah. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan hidup berdikit. Tidak perlu menggunakan barang berjenama. Tidak punya terlalu banyak permintaan. Semuanya terasa cukup.

"Betul awak tak berminat?"
Kalau tawaran seperti ini diberikan pada orang lain pasti tidak akan ditolak semudah ini. Si kerani seorang ini nyata berbeza cara fikirnya.

"Betul," tekan Jamilah. Terus menolak kebaikan si majikan.

"Terima kasih atas tawaran encik. Tapi saya betul-betul tak berminat."

"Awak ni memang pelik," komen Mateen tergeleng kecil.

"Saya bukan pelik. Tapi unik, encik," balas Jamilah serius.

Terletus tawa sinis di bibir si majikan. Tidak kuasa melayan si kerani yang suka menduga jiwa dengan balasan lain daripada yang lain.

"Unik, huh? Get out," halau Mateen senada.
Jamilah tersenyum sumbing. Tidak sedikit pun mengambil hati bila dihalau keluar oleh si majikan. Malah suka bila dapat melepaskan diri.

Entah kenapa dirasakan diri tidak selamat bila si majikan yang baru lebih seminggu mengambil tempat Tuan Azlan itu kelihatan berminat tentang soal peribadinya.

"Saya keluar dulu, encik," tutur Jamilah sekelip mata menghilang dari pandangan.
Si majikan menghela nafas berat. Si kerani laju benar menghilang. Macamlah dia mahu membaham tubuh genit gadis itu.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now