Part 9

173 24 3
                                    

"KENAPA macam tak rela aje?" Kak Bainun ringan mulut bertanya kala melihat wajah cemberut Jamilah di pantri. Nampak benar seperti dipaksa.

    "Dah memang tak rela," balas Jamilah acuh tak acuh. Tangan tetap ligat mengacau kopi untuk si majikan.

    "Dengan Tuan Azlan bukan main lagi rela," selar Kak Bainun.

    "Kau suka laki tua ya, Milah?" serkap Kak Bainun.

    "Laki tua yang Kak Bainun cakap tu yang sudi ambil Milah kerja tau," tingkah Jamilah mengingatkan.

    Dia cuma punya sijil SPM sahaja. Tidak punya kelulusan yang tinggi. Bukan mudah untuknya mencari kerja di syarikat seperti Tuan Azlan.

    Lelaki veteran itu begitu bermurah hati mengambilnya bekerja. Gaji yang ditawarkan juga tidak rendah seperti di tempat lain.

    Sudah tentu dia sudi melayan si majikan yang pemurah dengan baik. Dia sentiasa tahu mengenang budi yang ditaburkan.

    "Kalau si bapa kau sanggup layan baik-baik... apa salahnya layankan si anak sekali," tingkah Kak Bainun sengaja mengusik.

    "Bukan si anak yang upah Milah kerja," balas Jamilah tidak bersetuju.

    Mata mengerling pada garam yang terletak di rak kabinet. Tangan terasa gatal mahu mencapai. Pun begitu akal yang masih waras menjadi penghalang.

    'Jangan, Milah. Kena buang kerja kau nanti.'
    Jamilah menggigit bibir geram. Dengusan halus terlepas lagi. Hajat di hati dibenamkan begitu sahaja seraya membuka langkah menuju ke bilik si majikan yang menanti.

    Jemari runcing dikepal mengetuk pintu bilik si majikan. Suara garau yang mengarahkannya masuk buat kaki menurut tanpa bantahan.

    Muk kopi diletakkan di atas meja. Jamilah ingin melangkah pergi. Namun suara si majikan mematikan langkahnya.

    "Kelat muka tu. Awak tak tahu senyum ke?"
    Geram pula bila melihat wajah tidak rela si pekerja. Bagai dipaksa-paksa pula. Mengecil sepasang mata hitam merenung tajam wajah polos di hadapan mata.

    "Ustaz kata tak elok senyum depan lelaki ajnabi. Takut jatuh hukum menggoda. Berdosa," tutur Jamilah dengan wajah sepuluh sen.

    Mendengar jawapan itu buat tawa sinis terletus di bibir si majikan. Jawapan si gadis lurus benar-benar berada di luar kotak fikiran manusia normal. Boleh menduga kesabaran.

    "Saya bukan lelaki ajnabi. Saya majikan awak."
    Entah kenapa mulut ringan mahu berbetah dengan si gadis. Dalam geram tetap terasa terhibur bila si gadis langsung tidak mengikut skema jawapan.

    Selalunya ramai gadis ingin mengambil hatinya. Jika gadis lain berada di tempat Jamilah, pasti setiap waktu ingin menayang wajah di hadapannya dengan menggunakan pelbagai alasan.

"Encik bukan mahram saya. Masih diklasifikasikan sebagai lelaki ajnabi. Haram!" tekan Jamilah serius.

"Haram?"

"Haram," tegas Jamilah.

"Oh."
Diusap dagu yang tidak berjanggut sesaat. Mencari kata yang seterusnya untuk terus mengusik.

"Saya kena halal untuk awak baru boleh tengok senyuman di bibir awak ya?"

Jamilah mengangguk bagai burung belatuk. Dia sememangnya jarang melempar senyum pada lelaki tidak dikenali. Dan si majikan yang baru 2 hari muncul di syarikat masih dianggap sebagai lelaki tidak dikenali.

"Kalau macam tu saya perlu jadi suami awak," putus Mateen. Serius nadanya. Seolah ingin benar-benar menjadi suami buat si kerani.

Kali ini laju Jamilah menggelengkan kepala. Tidak terlintas untuknya menjadikan si majikan sebagai suami.

Jamilah masih sedar diri. Kak Bainun tidak pernah lupa mengingatkannya untuk melihat imej sendiri di cermin.

Dia tahu betapa dirinya hanya pipit. Tidak mungkin mampu terbang bersama dengan enggang.

"Kenapa awak geleng? Saya tak perlu jadi suami awak untuk awak senyum depan saya, huh?"

Si majikan mengulum senyum dengan tingkah si gadis. Seronok bila dapat mengusik di pagi hari. Tiba-tiba sahaja terasa hari ini lebih ceria dari biasa.

"Tak perlu."

"Why don't you smile for me?"
Nada yang digunakan bukan satu permintaan. Sebaliknya satu arahan.

Kali ini Jamilah tidak lagi berani memberi jawapan yang bukan-bukan. Senyuman manis dipasak di bibir untuk memuaskan hati majikan. Menunjukkan 'kerelaan' hati menyediakan kopi untuk lelaki tinggi lampai itu.

Terdiam sejenak si majikan. Terpana dengan senyuman si gadis yang mampu membawa warna menyerikan hidup yang terasa hambar.

Bila si majikan terus membisu, Jamilah laju mengambil kesempatan untuk mengundur diri. Bimbang terpaksa mendengar arahan yang bukan-bukan dari si majikan. Lebih baik menyelamatkan diri sepantas mungkin.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now