Part 5

150 16 0
                                    

KAKI berlari laju menuju ke lif yang sedang tertutup pintunya. Bimbang pintu lif akan tertutup rapat melambatkan lagi harinya. Mulut dibuka menjerit meminta insan yang berada di dalam lif menghalang pintu dari terus tertutup.

"Wait seminit!"

Permintaan itu ditunaikan. Insan yang berada di dalam lif atau lebih tepat lagi lelaki tinggi lampai yang tidak pernah dilihat wajah sebelum ini menahan lif untuk gadis yang kalut berlari masuk dengan nafas tercungap-cungap. Seolah baru menamatkan larian pecut 100 meter.

"Terima kasih," ucap Jamilah tidak lupa menghargai bantuan yang diterima.

Topi keledar yang masih tersarung di kepala dicabutnya. Tudung bawal yang hampir senget dibetulkan sesedap rasa. Tidak mahu dikutuk Kak Bainun jika penampilannya terlalu menyakitkan mata.

Kak Bainun yang mengangkat diri sebagai kakak sulungnya itu suka benar membebel jika dia langsung tidak cuba menjaga imej. Mahu berbulu telinga jika dibiarkan Kak Bainun mula membebel.

Puas membetulkan tudung, baru dia punya masa untuk mengerling ke arah lelaki tinggi lampai di sisi. Meneliti seraut wajah kacak yang asing di mata.
Bertaut kening sesaat. Pelik.

Seingatnya lif VIP hanya disediakan untuk bos syarikat. Atau lebih tepat lagi untuk Tuan Azlan. Dia pula sebagai kerani kesayangan merangkap tea lady rela hati lelaki veteran itu selalu menumpang lif yang sama.

Sejak bila pula Tuan Azlan mengupah kerani baru? Atau tea lady baru, huh? Tapi takkanlah lelaki?

"Tak pernah nampak pun," omel Jamilah. Omelan yang tentu sahaja mampu ditangkap lelaki yang berdiri hanya selangkah jauh daripadanya.

"Siapa? Pekerja baru ke?"
Bibir pink pucat tidak dicalit gincu itu terus mengomel tidak henti.

Akibat bangun lewat, gincu pun tidak sempat dioles ke bibir. Apatah lagi foundation yang selalu digunakan untuk menutup cela. Lalu wajah yang punya sebutir jerawat di pipi itu ditayang tanpa silu.

Saat kepala Jamilah dipenuhi dengan soalan, lelaki tinggi lampai di sisi turut diserang persoalan tentang gadis berbaju kurung yang begitu berani menggunakan lif yang disediakan untuk seorang majikan.

Bibir terjongket naik dengan tingkah si gadis yang melucukan. Menceriakan pagi yang terasa hambar.

"Bukan pekerja baru." Suara garau seksi menyapa gegendang telinga Jamilah.

"Bukan? Habis tu buat apa dalam lif ni?"
Soalan meluncur laju di bibir Jamilah menuntut jawapan.

"Awak buat apa dalam lif ni?"
Soalan dibalas dengan soalan.

"Nak naik ofis," balas Jamilah lurus.

"Saya pun nak ke ofis."
Jawapan yang sama diberikan.
Bertaut rapat kening Jamilah bila mendengar soalan dan jawapan yang sama keluar dari bibir lelaki asing itu. Bagai cuba mempermainkannya pula. Ish, tak boleh jadi ni!

"Awak mengejek saya ya?" soal Jamilah mengecilkan mata. Memerhati seraut wajah kacak di hadapan mata dengan bibir terketap rapat. Jelas tidak puas hati.

Lelaki tinggi lampai itu tertawa kecil. Senyuman nakal bergayut di bibir. Mata membalas renungan si gadis yang berani menuduhnya begitu.

Tiada jawapan yang diperlukan bila dia hanya berbicara yang benar. Bukan cuba mengejek gadis yang kelihatan lurus itu.

Pintu lif yang tertutup rapat terbuka saat tiba di tingkat 9 yang menjadi destinasi mereka. Mematikan renungan yang hampir tembus ke lubuk hati masing-masing.

"Ladies first," ucap si lelaki tinggi lampai memberi isyarat agar si gadis melangkah keluar terlebih dahulu.

Jamilah tidak cuba membantah bila dia sememangnya sudah lewat tiba di syarikat. Bimbang dimarahi si majikan baru, pengganti Tuan Azlan.
Dia belum mengenali karakter si majikan baru. Dibuatnya garang tidak bertempat bagaimana?

Dia tidak mahu dipecat di hari pertama si majikan baru masuk bekerja. Sayang untuk meninggalkan syarikat yang menjadi payung untuknya mencari rezeki.

Bukan mudah untuk mencari tempat kerja yang selesa dalam segala segi. Sudah hampir 5 tahun dia bekerja di sini. Tidak terlintas lagi di kepala mahu mencari tempat kerja lain. Lalu kaki laju melangkah meninggalkan lelaki tidak dikenali itu.

"Kenapa lambat?" sergah Kak Bainun sebaik melihat kelibat si gadis tiga suku yang baru tiba ketika jam sudah melepasi angka 8.30 pagi.

Jamilah hanya menayang gusi mendengar soalan itu.

"Bangun lambat la tu," telah Kak Bainun dengan jelingan tajam.

Jamilah tersengih tanpa kata. Bukan selalu dia terlewat bangun tidur. Sesekali sahaja.

Semalam dia terpaksa bersengkang mata mengajar adik ketiga yang bakal menghadapi percubaan SPM.
Kak Bainun tergeleng-geleng sendiri. Mata membulat kala tertancap pada kelibat lelaki tinggi lampai yang melangkah masuk ke dalam syarikat.

"Encik Mateen," sapa Kak Bainun dengan nada yang dilembutkan. Tidak lantang seperti ketika menyelar si gadis tiga suku. Malah penuh rasa hormat selayaknya buat seorang majikan.

Sememangnya kedatangan si majikan baru dinanti. Bos muda yang kacak. Bolehlah mencuci mata setiap hari.

"Encik Mateen?" Soalan terletus di bibir Jamilah.
Di mana pernah didengari nama itu? Mata terkelip-kelip mencari ingatan yang hilang sesaat.

Ah, bos baru! Anak Tuan Azlan!

"Hai, bos," sapa Jamilah dengan wajah tanpa riak bersalah. Selamba sahaja. Seolah bukan dirinya yang tertangkap datang lewat dan begitu selamba menggunakan lif yang disediakan untuk majikan.

Si majikan tidak membalas. Hanya senyum sinis bergayut di bibir seraya melangkah ke bilik pejabat pengarah urusan.

Jamilah menggaru tudung bawal yang dipakai. Melangkah ke meja kerja. Si majikan tidak berkata apa-apa. Lalu dia memulakan kerja seperti biasa.
Dia hanya terlewat sikit tiba di pejabat. Bukan isu yang besar ketika Tuan Azlan menjadi majikannya.

Lif yang digunakan juga mendapat kebenaran Tuan Azlan. Tidak pula lelaki veteran itu berpesan yang dia tidak lagi dibenarkan menggunakan lif yang sama. Lalu rasa bersalah itu tidak wujud di hati.

Jamilah memulakan kerja tanpa peduli tentang si majikan baru yang muda dan kacak. Laporan yang belum sempat disiapkan semalam perlu ditaip selaju mungkin.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now