Part 23

216 18 2
                                    

"TADI bukan main manis lagi senyum tu. Apahal memuncung pulak ni?" soal Kak Bainun sinis.

"Kena buli," balas Jamilah makin panjang muncungnya.

"Siapa buli?"

"Siapa lagi," tingkah Jamilah menghenyak tubuh di kerusi.

Kak Bainun menjongket kening. Mata melirik ke arah bilik si majikan. Faham benar siapa yang dimaksudkan Jamilah.

Sesekali Jamilah akan bersungut bila dipaksa menjadi tea lady untuk majikan mereka. Pagi ini tidak disuruh pun gadis itu sudah ke pantri menyediakan minuman.

Masuk dengan senyuman melebar di bibir. Keluar dengan wajah masam mencuka. Entah apa yang berlaku kali ini buatnya tertanya-tanya.

"Bos nak apa?"

"Entah dia," balas Jamilah mengangkat bahu. Berat mahu mengulas permintaan si majikan di hadapan Kak Bainun. Permintaan yang jelas menunjukkan niat yang terselindung di hati lelaki tinggi lampai itu.

Dia hanya menganggap semua ini sekadar gurauan dan usikan dari si majikan. Tidak mengambil serius. Terlalu mengarut.

Ini bukan kisah Cinderella. Gadis miskin yang dapat berkahwin dengan putera raja. Dia tidak sebertuah itu.

"Kau nak berahsia dengan akak lagi, hurm?" Suara Kak Bainun menderam penuh bahaya. Memberi amaran pada si adik agar meringankan mulut membuka cerita.

Tangan laju memiat geram telinga gadis genit itu. Jamilah mengaduh sakit.

"Bos akak minta Milah bawa bekal untuk dia esok."

Jamilah menepis tangan Kak Bainun. Menyelamatkan telinganya dari berubah bentuk dek menjadi mangsa tangan 'kejam' si kakak.

"Bos nak rasa air tangan kau, Milah?" soal Kak Bainun inginkan kepastian.

Jamilah mengangguk lemah. Bakal suaminya pun belum merasa air tangannya selama ini. Hanya keluarganya yang selalu kekenyangan setiap kali dia bertempur di dapur.

Eh, sejak bila pula dia punya bakal suami?
Jamilah menggaru kepala yang tidak gatal. Selama 22 tahun hidup di muka bumi ini dia belum lagi mempunyai calon suami. Ish, sedih!

Kak Bainun mengusap dagu yang tidak berjanggut. Permintaan si majikan menunjukkan yang si majikan sedang mengambil langkah yang lebih serius. Bukan sekadar usikan mahupun gurauan.

"Nak masakkan apa untuk bos?"

"Tak tahu."
Jamilah menggeleng berat. Tiada idea. Atau lebih tepat lagi tidak rela untuk menurut permintaan bukan-bukan dari lelaki itu.

Pun begitu dia tahu dia tetap tidak dapat mengelak. Bagaimana mahu mengelak bila permintaan itu datang dari majikan sendiri? Kecualilah jika dia dapat memilih majikan lain.

"Ambil peluang ni untuk tambat hati bakal suami," usul Kak Bainun serius.

Bertaut kening Jamilah mendengar usul itu. Tidak percaya bila si kakak mula menyebelahi si majikan.

"Bukan senang nak dapat peluang macam ni. Mana tahu kau dapat jadi isteri bos kita. Boleh akak tumpang senang," sogok Kak Bainun teruja memikirkan kemungkinan itu.

Walaupun dia tidak faham apa yang menarik perhatian majikan mereka, dia tentu sahaja akan menjadi penyokong kuat andai si adik benar-benar menjadi pilihan lelaki itu.

Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari. Lelaki kacak jangan dilepaskan pergi.

Jamilah mendengus halus. Tidak bersetuju dengan sogokan si kakak. Dia bukan Mat Jenin yang mudah terperangkap dalam angan-angan yang tidak akan kesampaian. Mustahil!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 04 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now