Part 22

200 15 3
                                    

TERSENYUM-SENYUM si kerani di pagi hari kala melihat jumlah bayaran gaji di dalam akaun bank yang lebih banyak dari bulan-bulan sebelum ini.
Saat ini bibir terasa ringan mahu memuji si majikan yang cukup baik hati. Tanpa disuruh dia melangkah ke pantri. Menyediakan minuman untuk lelaki tinggi lampai itu seperti biasa.

Kali ini dia tidak lagi rasa terbeban. Masakan tidak bila diberikan elaun tambahan kerana menjadi tea lady lelaki tinggi lampai itu.

Senyum melebar kala melihat wajah kacak di hadapan mata. Kaki melangkah pantas dengan dulang di tangan. Muk kopi diletakkan di atas meja.

Mateen mengangkat wajah. Memandang si kerani yang muncul tanpa dipanggil. Kening dijongket melihat senyuman yang melata di bibir merah itu. Gembira benar.

"Terima kasih, encik," ucap Jamilah benar-benar ikhlas berterima kasih pada si majikan.

Bila mendapat bayaran, dia tentu sahaja tidak lagi berat untuk memikul tugas sebagai tea lady sepenuh masa. Tiada siapa yang tidak suka bila usaha yang dilakukan dihargai oleh majikan.

"Sekadar ucapan terima kasih dah cukup, hurm?" soal Mateen tersenyum penuh makna.

Terkebil-kebil sepasang mata hitam si kerani bila disoal begitu. Senyuman di bibir sirna begitu sahaja.

"Esok sediakan bekal untuk saya." Arahan bergema buat si kerani. 

"Huh?"
Bertaut kening Jamilah. Tangan naik menyentuh telinga yang dilitupi tudung bawal merah. Terasa telinga bagai gagal berfungsi. Buatnya mungkin tersalah mendengar arahan lelaki itu.

"Esok sediakan bekal untuk saya," ulang Mateen bila Jamilah gagal memberikan reaksi yang diinginkan.

"Bekal?"

"Bekal awak sendiri masak," tegas Mateen. 

"Nak buat apa?" soal Jamilah ragu. Tidak faham dengan arahan yang mengelirukan dari seorang majikan.

"Saya nak rasa air tangan bakal isteri saya."

"Siapa bakal isteri encik?" Jamilah menyoal bodoh.

"Siapa yang saya suruh bawa bekal?" Soalan dibalas dengan soalan.

"Saya bukan bakal isteri encik." Pantas Jamilah menafikan bila dapat menangkap maksud lelaki yang bersandar selesa di kerusi empuk merenungnya tajam. Panik sesaat.

Si majikan tentu hanya ingin menyakat. Kalau benar pun wujud rasa suka, dia tidak boleh membiarkan diri percaya. 

"Nak jadi isteri saya kena pandai masak."

"Saya tak nak jadi isteri encik," tolak Jamilah tanpa berfikir panjang.

Dia tidak punya cita-cita untuk menjadi seorang puteri yang ditatang di atas dulang emas. Dia sentiasa ingin berpijak pada realiti. Jangan terpedaya dengan ilusi yang indah.

"Awak pandai masak?" soal Mateen tenang. Tidak terusik dengan penolakan si gadis.

Dia belum benar-benar serius untuk mengambil tindakan. Andai dia sudah nekad mahukan si gadis di dalam hidupnya, mana mungkin gadis yang diinginkan dapat melepaskan diri.

Jamilah mengangguk lurus. Menjadi anak dan kakak sulung buatnya terpaksa bersilat di dapur sedari di awal usia. Membantu Mak Eton merupakan perkara biasa.

"That's good. Awak takkan ada masalah untuk sediakan bekal buat bakal suami awak," tutur Mateen serius.

"Tapi encik bukan..."

"Esok saya nak rasa air tangan awak, sayang," potong Mateen tegas buat bibir si gadis terkunci rapat. Tidak dapat terus menolak permintaan si majikan.

Jamilah mendengus halus. Baru sahaja hati mula memuji si majikan cukup bermurah hati. Arahan yang diberikan buatnya mahu mengutuk lelaki diktator di hadapan mata.

Mahu merasa air tangannya? Fine!

Jamilah terpaksa mengalah. Bimbang kalau dia terus menolak entah apa lagi gelaran yang akan digunakan si majikan untuk mengenakannya.

Panggilan sayang sudah cukup untuk menggetarkan sekeping hati. Andai lelaki tinggi lampai itu terus bermanis mulut, dia tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi. Ish!

Jamilah membuka langkah. Laju menghilang dari pandangan si majikan. Tangan naik menyentuh dada. Cuba menenangkan sekeping hati yang tidak pernah dibuai oleh mana-mana lelaki.

Dia perlu berhati-hati. Tidak boleh membiarkan diri begitu mudah tergoda dengan lelaki yang mempunyai segalanya. Andai tertipu dia juga yang akan menangis tidak berlagu. Noway!

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now