Bab 22

3.6K 485 12
                                    


Pagi Isnin itu aku ke me&u Florist dengan rasa mengantuk yang teramat. Mungkin kerana terlalu banyak perkara yang bermain di mindaku, maka ia sedikit sebanyak menyukarkan aku untuk melelapkan mata. Atau sebenarnya aku rindukan Rich. Inilah akibatnya bila sudah terbiasa bersama. Bila sendiri aku merasa kehilangan. Sudah beberapa hari aku tidak menatap wajahnya. Kedatangan mengejut Daddy ke rumahku tempoh hari berjaya menyedarkan kami bahawa kemungkinan yang sama akan berulang lagi di kemudian hari. Jadi buat masa ini, Rich memilih untuk tidak ke rumahku sekerap sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga.

          Kami masih berhubung seperti biasa, cuma bila tidak selalu berjumpa hati akan mula tertanya-tanya. Adakah semuanya masih baik-baik saja? Atau sebenarnya dia juga sudah mula mempersoalkan sejauh mana hubungan kami ini boleh pergi. Sama seperti yang semakin kerap aku fikirkan. Walaupun kecil, perbalahan hari itu tetap berkali-kali kembali menerjah mindaku. Cuma satu yang aku pasti, aku masih belum bersedia melepaskannya. Walaupun kemungkinan itu ada, aku tahu hatiku masih belum mahu kehilangannya.

          Jika diikutkan hati, ingin sahaja aku kembali melelapkan mata, namun mengingati bahawa kunci kedai ada denganku, maka aku memaksa diri untuk bangun. Lagipula, jika di tempat kerja, aku berpeluang untuk menyibukkan diri dengan urusan kerja dan pastinya ia dapat menghalang mindaku daripada sentiasa menerawang kembali padanya.

          Sesampai di kedai, Nina dan Rubi sudah pun menunggu di depan pintu. Betapa aku bersyukur aku dan Reia punya pembantu sebaik mereka. Cukup bertanggungjawab dan berdedikasi. Walaupun me&u Florist tidaklah sebesar mana, namun pelanggannya yang semakin bertambah dari hari ke hari membuatkan kami tidak menang tangan. Pendek kata kehadiran mereka berdua telah banyak membantu memudahkan urusan kami.

          Untuk memastikan mataku segar sepenuhnya. Aku ke pantry. Menyiapkan secawan kopi pekat sebelum membawanya kembali ke kaunter. Berharap ia dapat membantuku nanti.

"Good morning Hana." Tegur suatu suara tiba-tiba, mengejutkanku. Aku mengurut dada sebelum menghadiahkan pandangan tidak puas hati padanya. Dia menayangkan wajah tidak bersalah bersama sengihan kecil di hujung bibirnya.

"Morning Hans, awal hari ni." Komenku sambil melirik jam tangan. Baru pukul 8.30 pagi.

"I baru habis shift. Terus ke sini. Nak belikan bunga untuk my mum sebelum I balik tidur." Terangnya.

"Wah.. tidur. Bestnya." Komenku spontan membuatkan dia ketawa kecil. "You nak bunga apa? Bouquet?" Soalku ingin tahu.

"Eh tak, I cari pokok bunga hiasan." Balasnya. "My mum tengah ada hobi baru sekarang ni. Tanam bunga hiasan yang rare." Jelasnya sambil tersengih. Aku mengangguk. Turut tersenyum melihat wajah cerianya. Mungkin melayan dia mampu membuatkan mataku kembali segar. Jadi apa salahnya kan.

"I rasa, kami ada bunga yang you nak. Jom kita ke sana." Ujarku sambil membawanya ke nursery di luar kedai yang menempatkan pelbagai jenis pokok bunga hiasan itu. Lama juga aku membantunya memilih beberapa jenis bunga yang masing-masing mempunyai kecantikan dan keunikkan tersendiri. Seperti biasa aku tidak lupa memberikan sedikit info tentang bunga tersebut serta tips penjagaannya kepada Hans yang nampaknya cukup fokus memberikan perhatian kepada setiap butir kata yang keluar dari mulutku. Melihat caranya memberikan sepenuh perhatian kepada kelas tidak formalku itu, aku yakin bunga-bunga yang dibelinya nanti akan hidup subur dan mendapat penjagaan yang baik oleh dia dan ibunya.

"Semuanya cantik-cantik. Rare, macam you." Pujinya membuatkan aku tersipu-sipu sendiri.

"Lain macam you punya pujian. Tapi sorry, harganya tetap sama. Tak ada diskaun. I cuma boleh bagi you free plastic bag." Balasku, berseloroh sekaligus membuatkan dia ketawa.

Jerat Hati Dia ✔Where stories live. Discover now