PROLOG

1.1K 108 58
                                    

MATA BERIAK KOSONG. Rumah yang baru dia jejaki itu dipandang tanpa perasaan. Entah reaksi apa yang perlu dia tonjolkan pada waktu itu, dia tidak tahu. Dia hanya berasa kosong. Kaki terpasung lama pada lantai marmar itu tanpa bergerak sedikit pun.

"Ji... mulai hari ini Ji tinggal dengan keluarga abang ya?" Teguran daripada Zhafran itu menyebabkan Zinnirah menoleh ke kirinya sebelum mengangguk perlahan.

"Kenapa berdiri aje Ji, duduklah di sofa tu." Zulaikha pula membuka mulut menegurnya. Zinnirah mula membuka langkah perlahan dan duduk di sofa dua berangkai itu. Wajah abang dan kakak iparnya hanya dijeling sekilas lalu pandangannya diubah ke arah televisyen yang terpasang.

"Ji, dengar apa yang abang nak cakap ni. Ji baru keguguran jadi Ji kena berpantang sampailah keadaan Ji baik semula. Sepanjang tempoh berpantang Ji, Kak Ikha yang akan jaga Ji," ujar Zhafran sambil memandang wajah Zinnirah yang sudah hilang keceriaannya.

"Pantang?"

Hanya satu perkataan namun mampu membuatkan semua yang berada di situ terkejut. Zinnirah... akhirnya dia bercakap jua.

Zulaikha dan Zhafran mengangguk serentak.

"Kenapa kena pantang?" soal gadis itu sekali lagi.

"Sebab Ji baru lepas keguguran jadi Ji kena berpantang untuk kebaikan badan Ji dalam tempoh masa yang panjang nanti," balas Zulaikha dengan lembut.

"Gugur?" Sepatah lagi soalan itu keluar daripada bibir yang kering itu. Zhafran sudah berkerut pelik.

"Sejak bila Ji mengandung?" Zulaikha terus tersentak dengan soalan Zinnirah itu. Kepalanya terus menoleh menghadap wajah Zinnirah yang memandang tepat pada suaminya.

"Ji tak ingat atau Ji buat-buat tak tahu sekarang ni?" Soalan dibalas dengan soalan. Zhafran bingung. Wajah Zinnirah itu betul-betul membuatkan dia berasa keliru dengan soalan adik bongsunya itu.

"Ji... tak ingat," jawab Zinnirah perlahan.

Secara tiba-tiba, suasana menjadi hening. Hanya kedengaran suara televisyen saja ketika itu.

"Ji ingat tak Ji masuk hospital sebab apa?" Zhafran mencuba sekali lagi.

"SLE, radang Ji makin tinggi." Jawapan Zinnirah itu menyebabkan Zhafran dan Zulaikha berkerut sambil memberikan pandangan pelik.

Apa sudah jadi dengan adiknya? Kenapa dia tidak mengingati langsung berkaitan hal itu?

"Abang... mana nenek? Takkan nenek tak ikut tidur di rumah abang?" soal Zinnirah dengan dahi berkerut. Dari tadi dia mencari kelibat Nek Timah namun tidak dijumpai gerangan tua itu.

Mana mungkin Nek Timah tidak mengikuti mereka untuk tinggal bersama keluarga Zhafran kerana wanita itu sangat sayangkan cicit sulungnya, Zarif.

Zhafran terkejut mendengarkan soalan Zinnirah yang itu. Adiknya... tampak tidak main-main dengan intonasinya tadi. Gadis itu benar-benar sedang mencari gemulah nenek mereka yang sudah meninggal.

"Zinnirah... Sekarang umur Ji berapa?" Sengaja Zhafran menyoal adiknya untuk memastikan ingatan Zinnirah tidak tersangkut di masa lalu.

"20 tahun," balasnya dengan dahi berkerut. Kenapa Zhafran menyoalnya seperti itu?

Zhafran menelan liurnya. Betullah umur yang disebutkan Zinnirah tadi. Tapi kenapa memori gadis itu seakan-akan hilang?

"Ji betul-betul tak ingat apa yang dah jadi kebelakangan ni?"

Zinnirah hanya menggeleng dengan dahi yang berkerut seribu. Tindak-tanduk abangnya sangat pelik. Dia dapat rasakan itu.

"Nenek mana ab--" 

Percakapannya terhenti apabila suara pemberita itu lebih menarik perhatiannya

"Pasangan suami isteri yang ditahan reman sejak dua minggu yang lalu kini dijatuhkan hukuman di Mahkamah Seksyen pada pagi tadi. Si bapa dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) atas tiga kesalahan jenayah seksual, termasuk sumbang mahram terhadap anak kandungnya, penderaan fizikal dan melakukan serangan seksual kepada mangsa. Tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama 25 tahun dengan 15 sebatan bagi pertuduhan yang pertama. Kesalahan itu dilakukan di tempat yang sama iaitu di rumahnya sendiri sebanyak dua kali sehingga menyebabkan mangsa yang masih berumur 20 tahun itu mengandung."

Dunia terasa seperti berhenti berputar apabila mendengar berita itu sehingga matanya tertancap pada skrin televisyen. Jantung bagai mahu pecah apabila berdegup terlalu laju melihatkan gerangan yang menunduk di sebalik kaca televisyen itu.

Itu baba dan mama.

Bayangan baba yang melakukan hal gelap itu padanya secara tiba-tiba muncul dalam minda sehingga menyebabkan Zinnirah berpeluh dan bergetar hebat.

"Wanita yang turut bersubahat dalam kes rogol anak kandung mereka sendiri turut didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama dan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah. Hukuman yang telah dikenakan ialah penjara selama 15 tahun dan 10 kali sebatan--"

Belum sempat ayat itu dihabiskan, Zhafran terus mematikan televisyen dan terus bergerak ke arah Zinnirah yang sudah seperti sesak nafas. Kedua-dua tangan sudah berada di tepi kepala, cuba menutup telinga. Mata sudah terpejam rapat serta mulut bergetar hebat tanda takut.

"Ji..." Lengan adiknya dipegang perlahan.

"Abang... apa ni abang..." sayu suara itu kedengaran di telinga Zhafran. Lelaki itu hanya mampu terdiam dan memeluk kemas bahu adik bongsunya itu.

Badan bergetar lebih hebat sebelum air matanya jatuh ke pipi. 

Kenapa? 

Kenapa dia terlupa akan tindakan durjana mama dan baba terhadapnya?

Kenapa dia boleh terlupa tindakan syaitan-syaitan itu?

Badan Zhafran ditolak kuat sebelum Zinnirah berdiri pantas. Dia mulai rasa takut dengan abangnya. Dia takut dengan lelaki. Lelaki... mereka tidak boleh dipercayai.

Zinnirah dapat merasakan bahawa dia berada di bawah tekanan yang sangat kuat sehingga telinganya terasa bengang. Tanpa sedar, dirinya dipanggil oleh gerangan di situ namun Zinnirah tidak dapat mendengarinya.

Kaki mula berasa lembik sebelum Zinnirah jatuh pengsan di situ juga.

"Ji!" jerit Mustaqim kuat. Baru saja dia melangkah masuk ke rumah abangnya, matanya sudah terhidang dengan Zinnirah yang meleyot jatuh.

Absyar hanya mampu tergamam sebelum memimpin tangan Zarif mendekati Zulaikha. Mata masih tertancap pada Zinnirah yang tidak sedarkan diri dan digendong oleh Mustaqim untuk dibawa ke biliknya.

Keluhan secara tiba-tiba terbit daripada bibirnya.

'Zinnirah, tolong bertahan.'


Ha nah prolog! 20/2/24 baru saya start publish lain-lain bab okieeee!

Here the playlist untuk Badai Bahagia! Jemputlah dengar hehe.

Here the playlist untuk Badai Bahagia! Jemputlah dengar hehe

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Btw, doakan saya ada final exam dari 3/2 - 14/2. Doakan tau!

Badai Bahagia (OG)Where stories live. Discover now