BAB 39

346 75 27
                                    

HULURAN YASIN ITU disambut tanpa banyak bicara. Zinnirah terus melabuhkan punggung di atas tikar yang sudah dihamparkan oleh Absyar. Matanya sudah tertancap pada batu nisan berwarna putih yang hampir berlumut itu.

Tanpa aba-aba, Zinnirah terus memanjangkan tangannya untuk memegang batu nisan itu. Rasa sebak mula menghurung jiwanya.

Tujuh tahun berlalu dan sekalipun dia tidak pernah menziarahi pusara Nek Timah. Cucu jenis apa dia ini?

Gerangan yang baru saja duduk di sebelahnya, Zinnirah abaikan. Usapan penuh lembut dia berikan pada batu sejuk itu ibarat dia mengusap neneknya.

"Assalamualaikum nek... Ji datang... Ji dah datang, nek..." perlahan saja suara Zinnirah tika itu namun masih dapat didengari oleh Absyar.

Lelaki itu hanya diam dan memerhati saja gerak geri isterinya itu. Genggaman Zinnirah pada tanah kubur nenek dia pandang sekali lalu sebelum dia membuat keputusan untuk menegur Zinnirah untuk mengelakkan dia terus dibawa hanyut oleh perasaan.

"Sayang..." panggil Absyar sambil memegang bahu tegang Zinnirah.

"Kita baca yasin untuk nenek okey?" kata Absyar dengan kepala yang sudah terteleng memandang Zinnirah yang langsung tidak menoleh padanya.

Wanita itu terus mengesat air matanya dan mengangguk sebagai jawapan kepada arahan lembut suaminya.

Absyar tersenyum kecil lalu membuka naskhah yasin itu.

"A'uzubillahhiminasyaitonirrajim..." Dan akhirnya, sayup-sayup kedengaran suara mereka berdua menghadiahkan bacaan yasin buat Nek Timah pada petang itu.

Doa dibaca oleh Absyar dan diaminkan dengan penuh takzim oleh Zinnirah sehingga matanya terpejam rapat.

Wajah diraup lama seusai saja Absyar selesai dengan doanya. Naskhah yasin di tangan Zinnirah dia ambil dan dipegang penuh hormat.

"Nek... Ji rindu nenek... Ji rindu nenek sangat-sangat..." Tangan kembali mencengkam tanah kubur itu. Dadanya mula rasa sesak dan ketat kembali.

"Kenapa nenek pergi waktu Ji betul-betul perlukan nenek? Kenapa nenek tinggalkan Ji waktu Ji berada di titik paling bawah dalam hidup Ji? Ji perlukan nenek... Ji perlukan pelukan hangat nenek pada saat itu tapi kenapa nenek pergi tinggalkan Ji? Ji hanya nak nenek ada dengan Ji tapi nenek pergi jugak... Nenek pun benci Ji ke?" Setitis air mata kembali jatuh ke pipi gebunya. Bibir mula bergetar akibat tidak dapat menahan perasaan. Mata sudah kabur dengan air mata.

"Mereka sangat kejam dengan Ji. Mereka sangat zalim dengan Ji, nenek..." Kini suaranya sudah mula berubah akibat sakit yang dia rasakan dalam hati. Absyar yang melihat sudah berjaga-jaga dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi pada gadis itu.

"Waktu tu– waktu tu mama–mama tahu apa yang dia buat pada Ji tapi mama–mama biarkan dia. Mama tidak endahkan Ji, nenek..." Esakannya mula terbit apabila teringat tentang kejadian kejam itu.

"Sayang..." panggil Absyar lembut. Bahu wanita itu dipegang. Dia tidak mahu Zinnirah membuka cerita yang bakal menjentik traumanya sendiri.

"Awak jangan larang saya... Saya nak cerita kat nenek," kata Zinnirah penuh tegas sebelum suaminya dijeling dengan mata yang sudah bengkak.

Absyar hanya angguk tanda faham. "Luahkanlah kalau itu melegakan hati awak."

"Nek... Ji dah nikah..." Absyar tersentak seketika apabila ayat itu keluar daripada bibir isterinya.

"Suami Ji baik sangat nenek," sambung Zinnirah sambil mengesat air matanya. Bibir mula terukir senyuman tipis. Dia tidak mahu bersedih lagi.

"Kalau nenek ada mesti nenek suka dia. Oh ya, dia kawan Mus tau, nek..." Zinnirah tergelak kecil dengat ayat terakhirnya.

Badai Bahagia (OG)Where stories live. Discover now