BAB 1

820 90 13
                                    

KELUHAN BERAT DILEPASKAN. Zhafran memandang dulang di tangannya dengan rasa hiba. Kehidupannya kini sangat sebati dengan keluh-kesah yang semakin memberat jiwa. Langkah perlahan dibawa ke arah meja makan yang diduduki oleh ahli keluarganya yang lain.

"Ji tak makan pun, bang?" soal Zulaikha dengan intonasi yang sangat lembut. Zhafran menggeleng lalu menjatuhkan duduk berhadapan Mustaqim. Badan disandarkan ke belakang sebelum keluhan sekali lagi terlepas daripada bibirnya.

"Abang tak tahu nak buat apa lagi dengan Ji. Dah seminggu dia terkurung je dalam bilik, tak nak keluar. Abang kejut, dia tak bangun. Diri dia langsung tak terjaga," adu Zhafran dengan jemari yang laju memicit dahi sendiri. Sakit kepalanya memikirkan keadaan Zinnirah yang pada dirinya tiada perubahan sejak pulang dari hospital minggu lepas.

"Biar Mus yang pujuk Ji nanti. Abang bolehlah masuk kerja. Macam dah lama sangat abang cuti," kata Mustaqim sebelum menolak pinggannya yang sudah licin ke hadapan sedikit.

Zhafran terus memandang adiknya dengan dahi berkerut.

"Abang jangan risau, Acad pun ada kat sini. Don't worry too much, abang." Mustaqim cuba meyakinkan abang sulungnya yang kelihatan agak serabut ketika itu. Absyar yang berada ditepinya terus disiku perlahan.

Bagaikan faham dengan tindakan Mustaqim, Absyar terus menyokong kata-kata sahabatnya itu.

"Betul tu bang, jangan risau sangat. Saya dan Mustaqim ada untuk jaga Zinnirah dan juga untuk pantau keluarga abang."

Zhafran memandang wajah Mustaqim dan Absyar berulang kali bagai mendapatkan kepastian daripada dua lelaki di hadapannya itu.

"Abang pegang kata-kata kamu berdua. Don't break my trust." Zhafran berkata dengan nada yang agak tegas.

"Abang... Jangan risau sangat," ujar Zulaikha yang dari tadi hanya menjadi pemerhati. Namun pada ketika itu, dia yakin dia perlu membuka mulut apabila melihat keraguan dalam diri suaminya. Kura tangan Zhafran disentuh dan diusap perlahan untuk mengurangkan rasa resah sang suami yang semakin menebal.

Mustaqim dan Absyar terus mengangguk laju dengan ayat Zulaikha ketika itu.

"Okeylah kalau macam tu..."

Akhirnya, Zhafran mengalah.

"Mus tahu cara nak jaga adik Mus, abang. Be at ease, insya-Allah I know how to handle her," kata Mustaqim dengan wajah bersahaja. Bukan untuk memanaskan Zhafran tapi untuk menyedarkan abangnya bahawa selama ini, hanya dia dan Zinnirah saja yang selalu bersama.

Hanya ada mereka berdua ketika segala keperitan yang semakin lama semakin teruk menghentam gadis yang bernama Zinnirah binti Alwie itu.

Sentiasa bersama sehingga dia turut merasakan sakit dengan apa yang terjadi pada Zinnirah, satu-satunya adik kesayangannya.




MUSTAQIM menatang dulang berisikan bubur nasi dan juga sup ayam yang sudah dipanaskan kembali oleh Zulaikha sebentar tadi. Tangga didaki dengan penuh berhati-hati sebelum langkahnya berhenti pada bilik Zinnirah yang tertutup rapat.

"Cad, tolong bukakan pintu bilik Ji boleh?" pinta Mustaqim sambil menoleh ke belakang, melihat Absyar yang hanya berdiri tegak di belakangnya.

Dengar saja ayat Mustaqim, terus Absyar berjalan laju dan memulas tombol pintu bilik gadis itu. Mata dia hanya memandang ke luar kamar tanpa sedikit pun menoleh ke dalam bilik Zinnirah yang gelap itu.

"Thank you, Cad," ucap Mustaqim dengan senyuman segaris.

"Tak ada hal lah, Mus. Aku tunggu kat luar bilik tau, kalau ada apa-apa panggil je aku."

Badai Bahagia (OG)Where stories live. Discover now