BAB 12 (TW)

425 70 18
                                    

TW: Suicidal thoughts, panic attack

ZINNIRAH HANYA MEMERHATI siling bilik yang sudah berbulan lamanya dia tinggalkan semenjak dia berpindah masuk ke wad itu.

Matanya terkedip-kedip memandang tanpa rasa. Kedua-dua tangan diletakkan di atas perut tanpa ada pergerakan langsung daripada dirinya sendiri.

Majlis hari jadinya yang disambut oleh abang, kakak iparnya dan juga Mustaqim hanya menarik senyuman penuh kepalsuan pada wajah itu.

Semua yang terzahir pada dirinya tadi hanyalah penipuan semata-mata. Hanya untuk mengaburi mata Zhafran yang sudah menganggap dirinya sebagai beban sedangkan Zinnirah hanya punya dia sebagai tempat bergantung.

Mustaqim pula, dia sudah tidak mahu susahkan kembarnya itu. Lelaki itu sudah banyak berkorban sebagai seorang abang untuknya.

Tapi tetap juga lelaki itu mahu membuat sambutan hari lahir yang tiada makna langsung buat dirinya.

Buat apa mahu meraikan umur yang bertambah sedangkan hidupnya semakin merana?

Tiada apa tinggal. Maruahnya juga sudah tiada, direnggut insan durjana bergelar baba yang sepatutnya menjadi pelindung dan mama yang sepatutnya mencurahkan kasih sayang buat diri itu.

Zinnirah yang dahulu mungkin sangat menantikan detik-detik seperti ini. Zinnirah yang mahukan 'a forehead kiss from baba and a warm hug from mama' yang pada akhirnya memakan diri sendiri.

Hidupnya hancur.

Apa yang dihajatkan dulu, dia sudah dapat lebih daripada itu. Lebih dan menghancurkan.

Racun yang memakannya dari dalam.

Mentalnya punah.

Fizikalnya rosak.

Penyakitnya semakin teruk.

Doktor Liza, doktor di hospital lamanya itu berjaya berpindah ke sini demi mahu menjaga gadis sepertinya.

Terharu. Ya. Tetapi hanya sedikit.

Entah kenapa, dia sudah tidak tahu untuk mengekspresikan perasaannya. Terasa sukar dan dia tidak tahu bagaimana dan mengapa ini berlaku.

Berita daripada Doktor Liza minggu lepas sering saja mengganggu fikirannya. SLEnya sudah mula menyerang pada kawasan buah pinggang namun masih dalam keadaan terkawal.

Entah betul atau tidak kata-kata doktor itu, dia sudah malas ambil tahu.

Nyawanya juga seperti sudah tiada harga. Organ yang ada semakin merosak. Apa yang tinggal untuknya?

Tiada.

Jadi, apa keperluan dia untuk meneruskan hidup?

Tiada. Bagi Zinnirah, dia tiada keperluan untuk meneruskan hidup.

Dia sepatutnya mati.

Jika dia mati, dia tidak perlu susahkan Mustaqim lagi.

Jika dia mati, dia dapat berjumpa dengan nenek.

Jemarinya mula menggeletar hebat apabila fikirannya mula kacau seperti itu. Nafasnya mula terasa pendek sebelum dia cuba bangun daripada perbaringannya.

Kedua-dua tangannya digenggam kuat dan pernafasan cuba dikawal seperti apa yang telah diajar ketika berada di wad psikatri dulu.

Dada terasa semakin sesak sehingga langsung tiada ruang yang tersisa. Dia berasa seperti ditindih dengan sesuatu yang berat walaupun pada ketika itu dia sedang duduk.

Peluh mula membasahi wajah Zinnirah. Bebola matanya mula naik ke atas mencari langit. Mulut mula terbuka mencari udara.

Pada masa yang sama, tangannya turut naik ke leher dan cuba menarik leher ke atas supaya ruang pernafasannya bertambah.

Badai Bahagia (OG)Where stories live. Discover now