BAB 50

314 75 11
                                    

MATANYA TUNAK MEMANDANG kiub hitam di hadapan dengan mata yang berkaca-kaca. Dirinya kini bersila di atas lantai setelah menunaikan solat sunat sebentar tadi. Walaupun terik mentari menikam tajam wajahnya, dja tetap tidak berganjak dari tempat itu.

Jemarinya tidak diam daripada menekan tasbih digital yang tersarung di jari bersama bibir yang tidak kering melafazkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Zinnirah hanya membiarkan pipinya mula basah dengan air mata yang jatuh. Hatinya mula terasa sebak dan dalam pada masa yang sama, rasa kesyukuran mula meresap dalam jiwa apabila semakin lama memandang kaabah itu.

Sungguh dia tidak menyangka, dia masih diberikan nyawa dan dapat menyaksikan tempat suci ini dengan mata kepalanya sendiri. Pembedahan dua bulan lepas, berjaya.

Kini Zinnirah sedang hidup dengan satu-satunya ginjal yang masih bertahan dalam tubuhnya. Awalnya terpaksa, akhirnya dia reda dengan takdir yang ditetapkan buat dirinya.

Absyar cakap selagi diri kita sentiasa diberikan dugaan dan ujian, itu bermaksud Allah sayang akan kita. Allah mahu kita terus-terusan bergantung dan memohon bantuan kepada-Nya. Dan yang paling penting, Allah sentiasa ingat akan diri kita.

Lelaki itu sungguh bijak berkata-kata untuk memujuk kembali hatinya yang hampir terpesong ke jalan lama; arah yang bagai mencabar takdir Allah. Dia bersyukur dikurniakan Absyar sebagai suaminya walaupun dia sangat kecewa dengan dirinya sendiri.

Dia... Masih tidak dapat cintakan lelaki itu. Sedangkan Absyar memandangnya seolah-olah Zinnirah adalah segalanya buat dia. Zinnirah ialah nyawanya. Zinnirah adalah kebahagiaannya. Padahal Zinnirah hanya mempunyai rasa sayang seperti seorang adik kepada abangnya yang membuat dirinya selesa dengan lelaki itu. .

Mata Zinnirah kembali berkaca apabila perkara itu bermain dalam mindanya. Kejamnya seorang Zinnirah memperlakukan sang suami seperti itu. Dia sudah cuba tapi hatinya masih belum mampu terbuka. Dia takut akan kesakitan dan kekecewaan. Dia takut bila dia sudah mencintai, dirinya akan disakiti.

Walaupun dia tahu kebarangkalian untuk Absyar melakukan itu terhadapnya ialah kosong namun dia tetap trauma dengan masa lalunya. Disakiti fizikal dan mental dengan orang yang paling dia percaya... Benar-benar memberikan kesan yang sangat besar pada hidupnya sehingga sekarang.

Butiran tangis itu kembali membasahi pipi dengan dada yang kembali berasa sesak apabila wajah Absyar mula melekat dalam mindanya. Senyumannya, tawanya, percakapannya... Dia cukup sempurna untuk bergandingan dengan Zinnirah yang banyak cacat celanya.

Dengan terketar-ketar, dia menadahkan tangan dengan kepala yang sedikit menunduk apabila kulitnya terasa seperti hampir terbakar dengan suhu ketika itu. Dia mahu berdoa sepuas hatinya sementara Absyar masih belum tiba.

"Bismillahhirahmanirahim... Alhamdulillah hi rabbil alamin wassollatu wasalamu a'la asyrafil amya iwal mursalin wa a'la alihi wasohbihi wabarik wasalim. Ya Allah Ya Maha Pengampun, aku di sini dengan rendah hati memohon keampunan kepada-Mu, Ya Allah. Ampunkanlah segala dosaku, dosa masa lampauku, dosaku yang sekarang dan dosaku pada masa akan datang. Aku terlalu banyak melakukan dosa besar, aku banyak melawan takdir-Mu sehingga aku sanggup menyakiti diriku berkali-kali. Bahkan aku turut hampir memutuskan nyawaku sendiri beberapa kali. Aku mohon ampun Ya Rahman Ya Rahim... Aku hanyalah hamba-Mu yang hina, yang sentiasa terhasut dengan bisikan syaitan, yang nipis imannya, yang sentiasa menyalahkan takdir yang Engkau telah tuliskan padaku. Ampunkan aku Ya Allah..." Bahu Zinnirah mula terhinjut perlahan apabila dia membuka doa pengampunan buat dirinya yang penuh dengan dosa silam. Mukanya sudah basah dengan air mata bahkan tudung yang dia pakai turut menjadi lembap.

"Ya Allah..." Bibirnya menggeletar sehingga dia berhenti seketika.

"Ya Allah, terima kasih atas semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku. Terima kasih atas nikmat nyawa yang masih terkandung dalam badanku. Terima kasih atas kurniaan iman dan nikmat Islam ini terhadap diriku. Pada hari ini, aku sangat bersyukur dalam menjejakkan kaki di rumah-Mu, Ya Allah. Engkau telah berikan aku banyak kesempatan dalam hidupku daripada kecil sehingga sekarang.

Badai Bahagia (OG)Where stories live. Discover now