Bunyi notifikasi bertalu-talu daripada telefon pintar. Manisa cuma melirik sekilas tidak berminat untuk membalasnya. Bukan apa dia sudah kenal dan sedia maklum isi kandungan mesej yang dihantar kepadanya itu. Kalau tidak berisi teks seperti I love you atau I miss you memang hari itu hari yang ajaib.
Manisa tahu bahawa dirinya dikejar oleh Taaqid. Sepupunya itu memang sudah berkenan dengan dia. Tetapi itulah yang menjadi masalah Manisa. Dia rimas. Setiap perlakuan Taaqid yang terlalu mengambil berat dan sangat menyayangi itu membuatkan dia berasa tidak nyaman. Seperti ada sesuatu yang silap dari sudut pandang Manisa. Hubungan istimewanya dengan Taaqid tidak mencabar seperti kebiasaan. Manisa sendiri sukar untuk menjelaskannya tetapi dia mahukan rasa hangat dan cabaran untuk meneruskan hubungan ini.
"Manis, kenapa tak reply mesej abang?"
Seperti sekarang, Taaqid akan muncul secara tiba-tiba di Perpustakaan Negara untuk mencari Manisa. Jejaka itu akan bertindak seperti Manisa itu tidak bekerja.
"Nisa tak sempat nak tengok telefon. Hari ni sibuk dan orang ramai sangat."
"Kenapa Manis kena menipu? Abang tahu air muka Manis kalau menipu. Staf dekat kaunter tengah main telefon takkan Manis dekat rak ni banyak kerja?"
"Abang pula? Tak kerja? Bos abang tak kata apa-apa ke kalau abang selalu hilang?"
"Bos abang pun suka Manis. Jadi dia benarkan abang datang sini untuk jumpa dengan Manis." Selamba respon daripada Taaqid.
Manisa menepuk dahi. Dia terlupa bahawa Taaqid memiliki syarikat sendiri. Pekerjaan orang kaya lebih fleksibel dan sangat berbeza dengan dia yang miskin.
"Abang mesej Manis pasal ibu dan abang nak bagitahu yang abang rindukan Manis. Seminggu kita tak berjumpa. Manis nampak macam tak rindukan abang pun." Rajuk Taaqid sambil mencebik bibir.
Manisa pula yang tertekan. Sejak bila lelaki itu berubah manja seperti ini? Tidak pasal-pasal dia kena memujuk. Kalau tidak memujuk semakin melarat. Kalau sudah memujuk pula demand mahukan lebih lagi. Dasar lelaki gilakan perhatian!
"Kenapa dengan mak long?" Malas nak memujuk rayu, Manisa mengalih tumpuan kepada persoalan yang timbul dari benaknya.
"Ibu tanya abang ada kawan perempuan tak? Suspicious pula abang rasa sebab ibu asyik tanya kalau-kalau abang ada berkenan dekat sesiapa."
"Abang jawab apa?" Mata tertunak pada rambut Taaqid yang tersisir rapi. Kacak pula sepupunya hari ini.
"Abang jawab tak ada. Sebab Manis minta rahsiakan hubungan kita."
"Bagus. Agak-agak abang lah kan, mak long akan restu ke hubungan kita?" Sengaja dia menyoal soalan itu.
"Mestilah. Ibu abang sukakan Manis tahu. Ibu teringin sangat nak anak perempuan dulu tapi tak ada rezeki. Jadi bila ibu berkesempatan untuk jaga Manis, dia rasa bersyukur sangat. Manis jangan bimbang. Ibu dengan ayah akan restu hubungan kita. Yang abang takutkan Manis."
"Kenapa pula? Nisa ada buli abang ke sampai abang takutkan Nisa?"
"Abang takut Manis tak ambil serius tentang kita. Perasaan abang memang ikhlas cuma abang tak pasti Manis terima abang sebab Manis suka abang atau sekadar...," bicara Taaqid tidak sempat dihabiskan.
"Main-main." Potong Manisa. Firasat lelaki itu memang tepat. Kalau Taaqid sendiri nampak dan dapat merasakan semua itu tiada guna dia merahsiakan lagi. Taaqid yang naif sekali dalam percintaan.
"Manis?"
"Abang baliklah ofis. Nisa nak sambung kerja." Tali leher Taaqid yang sedikit senget dibetulkan kembali oleh jemari runcing Manisa.
"Oh, sebelum Nisa lupa. Nisa dah transfer balik duit abang. Thanks."
Belum sempat mengorak langkah bersama, hati sudah tergores luka. Itu natijahnya kalau Taaqid masih degil mahu mencintai Nur Manisa.
🍰
Happy reading
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting