Manisa. Sebaris nama itu cukup istimewa. Nama yang terletak tinggi dalam takhta hati Taaqid. Katakanlah apa sahaja, gadis itu pencuri ke peniru ke, Taaqid tetap akan memandang gadis itu dengan pandangan cinta.
Tetapi hati yang penuh terisi dengan cinta buat gadis itu retak. Tangis sedih Manisa buatkan Taaqid rasa dia gagal sebagai seorang pencinta.
"Manis, kenapa ni? Apa yang jadi?" Taaqid melutut berdekatan Manisa. Buat kali pertama, bahu gadis itu disentuhnya.
"Abang..." Suara Manisa tersekat kerana sedu-sedan menangis tanpa henti.
"Manis cuba bagitahu abang kenapa? Abang risau." Rintih Taaqid. Mana mungkin dia tidak risau jika dia menemui Manisa yang menangis dalam gelap di dapur Pak Mahfuz. Apa sebenarnya yang terjadi kepada gadis itu?
"Tolong Nisa, bang. Sekali ini saja."
"Ya, tapi Manis kena berhenti menangis dulu. Apa pun Manis cakap, abang akan tolong. Tapi berhenti menangis dulu." Gusar hatinya melihat Manisa yang tidak seperti diri sendiri. Pipi gadis itu yang comot dengan air mata dilap.
"Nisa nak abang peluk. Nisa takut."
Taaqid tidak faham kenapa Manisa membuat permintaan seperti itu. Punca ketakutan Manisa tidak jelas bagi Taaqid. Namun dia turutkan jua. Tubuh Manisa kemudiannya diraih kekok ke dalam pelukan. Mungkin Manisa menginginkan perasaan dipujuk dan ketenangan.
Taaqid cuma memberi pelukan longgar tetapi lingkaran tangan Manisa pada tubuhnya semakin erat. Sangat utuh seumpama tidak ingin dilepaskan. Wajah Manisa juga tersembam pada dadanya.
"Apa yang kamu berdua buat ni?!"
Suara yang memetir itu spontan membuatkan Taaqid kecut. Rona mukanya berubah pucat umpama kantoi selepas melakukan perkara jahat. Memang jahat pun. Sudah bertunang tetapi merangkul gadis lain dalam pelukan. Dasar pencurang!
"Ma...mak lang," gagap tutur Taaqid menunjukkan dia gabra dalam situasi ini. Pelukan pada Manisa segera dibebaskan.
Mak lang memandang Manisa dengan renungan benci. Jijik! Mak dan anak sama-sama menggunakan cara licik untuk merampas pasangan orang.
"Jadi inilah rancangan engkau, ya?" Mak lang meluru mendapatkan Manisa. Tangannya laju mencengkam rambut anak saudaranya itu.
Mak lang tidak akan membiarkan Manisa mencapai kejayaan itu. Dia tidak mahu Rabiatul menerima nasib sama seperti dirinya yang dikhianati oleh kakak sendiri kerana seorang lelaki bernama Sumbul.
"Sakit!" Manisa menjerit kecil. Tangan mak lang cuba ditahan namun tidak berjaya. Sebaliknya makin kuat mak lang menarik rambutnya.
"Mak lang, cukup. Bukan salah Manisa." Taaqid juga tidak tinggal diam. Sedaya upaya dia meleraikan mak lang dari terus menggomol Manisa dengan kekerasan.
Kekacauan itu membuatkan beberapa ahli keluarga yang lain terbangun dan menuju ke dapur. Kesemuanya sudah semestinya terkejut dengan aksi yang berlaku di hadapan mata. Mak lang bak dirasuk amarah bertalu-talu memukul. Taaqid pula memeluk Manisa menghalang tubuh lemah itu daripada menjadi mangsa kekejaman mak lang.
"Astagfirullahalazim." Pak Mahfuz beristighfar panjang. Bencana nampaknya akan menimpa keluarganya lagi.
Mak lang menghentikan kelakuannya. Turun naik dadanya kerana marah yang masih tersisa.
"Kenapa ni alang? Apa yang jadi? Taaqid?" Soal mak long keliru. Entah apa yang telah berlaku antara tiga orang manusia itu.
"Aku nampak dorang berpeluk dekat dapur dalam gelap. Along rasa apa yang diorang buat? Perempuan ni sama saja macam mak dia. Sanggup jadi murah untuk merampas hak orang lain." Pekik mak lang puas. Tidak cukup sekadar menarik rambut saja dia mahu mencakar dua beranak itu. Mak yang jalang melahirkan anak perempuan yang sebiji sama perangainya.
Puan Mazidah menelan air liur kesat. Dia tidak menyangka sejarah bakal berulang untuk kali yang kedua.
"Betul ke Taaqid? Manisa? Apa yang mak lang sebut tadi tu betul ke? Taaqid, Manisa cuba perangkap kamu ke?"
Pertanyaan mak long itu membuatkan Manisa mendongak. Dari anak matanya terpancar riak tidak percaya. Mak long cuba menyalahkan Manisa dan meletakkan kesalahan 100% pada bahunya seorang!
"Nisa..."
"Taaqid yang salah. Taaqid yang jadi punca semua ni terjadi, ibu. Mak lang, Taaqid minta maaf. Tapi Taaqid memang tak cintakan Rabiatul." Pintas Taaqid memotong percakapan Manisa yang belum selesai.
Pang!
Terteleng pipi pemuda itu kerana tamparan seorang ibu.
Mak long mengetap geraham. Mukanya seakan menahan tangisan daripada pecah.
"Apa yang ada dalam kepala otak kamu ni? Taaqid ingat hal kahwin ni boleh main-main ke? Rabiatul tu anak mak lang, sepupu kamu! Sampai hati kamu malukan ibu dengan ayah macam ni."
"Taaqid minta maaf, ibu. Tapi anak ibu ni cuma... cintakan Manisa. Tiada orang lain selain Manisa. Taaqid nak Manisa."
Pang!
Kali ini wajah Taaqid terteleng pula ke sebelah kanan.
Terketar-ketar tangan mak long. Belum pernah sekali pun sepanjang dia membesarkan anak terunanya, dia menggunakan kekerasan. Namun malam ini kesabarannya teruji asbab terlalu kecewa. Anak yang diberi pendidikan dan tunjuk ajar sanggup bertingkah dan berfikiran dangkal seperti itu kerana cinta. Kerana Manisa!
"Ibu takkan izinkan. Sama ada Taaqid teruskan pertunangan dengan Rabiatul atau kalau kamu pilih Manisa, ibu takkan mengaku Taaqid sebagai anak ibu lagi. Pilih!" Gertak mak long.
Taaqid menunduk memandang mozek yang menjadi lantai dapur. Dalam hidup sentiasa ada pilihan yang memberikan risiko. Kalau dia pilih Manisa, hubungan kekeluargaannya akan dipertaruhkan. Sama halnya jika dia memilih untuk taat dengan keputusan ibunya. Dia bakal kehilangan Manisa buat selama-lamanya. Cuma ini sahaja jalannya untuk mengikat Manisa.
Taaqid meraih tangan mak long. Dikucup tangan wanita yang menjadi syurga kepadanya itu. Tangan yang telah membesarkannya, menjaganya dan merawat dengan penuh kasih sayang.
"Taaqid sayang ibu dan sayang keluarga kita. Tapi Taaqid juga tak nak kehilangan Manisa lagi."
Setitis air mata mak long tumpah jua.
🍰
Lama betul tak update.
Busy class, busy buat task
Semoga dilapangkan urusan
Tak suka busy.
Btw cerita ni fast track sebab busy+malas
Hmm bye
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting