Kotak baldu yang berisi cincin perkahwinan itu dibukanya. Kilauan permata yang terukir indah pada lingkaran cincin itu direnung lama. Manisa tersenyum tipis. Cantik. Tapi sayang bukan sepenuhnya miliknya.
Kotak itu kembali ditutup dan Manisa menyorongkannya ke arah mak long. Manisa tahu cincin itu asalnya memang bukan milik dia dan takkan pernah menjadi milik dia.
"Taaqid tahu ke kamu datang sini hari ini?" Mak long selamba menyoal walaupun dia sendiri tidak faham kenapa menantunya menyerahkan cincin itu kembali.
"Tak. Nisa tak bagitahu. Saja datang sini nak melawat mak long. Lagipun Nisa datang sebab nak pulangkan cincin ni."
"Itu...itukan cincin kahwin kamu." Sikap aneh Manisa semakin membuatkan mak long tidak sedap hati.
"Hmm ya. Nisa pulangkan balik sebab Nisa silap buat keputusan. Sepatutnya Nisa bukan jerat Taaqid tapi pak long."
"Apa yang kamu mengarut ni?!" Suara mak long meninggi. Gila tak marah bila seorang perempuan yang merangkap anak sedara sendiri mengeluarkan ayat-ayat seperti itu.
"Mak long, tak kesian dekat Taaqid? Mak long masih nak ke Taaqid memperisterikan perempuan macam saya? Ataupun mak long memang tak ambil kisah sebab Taaqid bukan anak kandung mak long?"
Manisa dengan berani mencabar mak long secara halus. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau mak long terpengaruh dengan kata-kata Manisa mungkin mak long akan memujuk Taaqid supaya melepaskan ikatan suci yang termeterai antara mereka.
"Cukup! Kamu jangan melampau, Manisa! Mak long masih berlembut sebab kamu anak menakan. Kalau tak mengenangkan hubungan keluarga..."
"Mak long, ini semua terjadi sebab salah mak long juga. Mak kahwin dengan abah dan rampas tunang mak lang sebab mak long kan? Mak long tak rasa nak minta maaf ke dekat mak? Sujud merayu minta ampun sebab ulah mak long hidup kami melarat? Ataupun sekurang-kurangnya jelaskan hal sebenar dekat mak lang."
"Apa yang kamu cakap ni?" Mak long sudah tergagap-gagap. Tidak mungkinlah Manisa boleh mengetahui hal yang sebenar.
"Nisa tahu semuanya, mak long. Mak long yang rancang untuk perangkap mak dengan abah. Mak long juga yang hasut atok dengan nenek supaya diorang kahwin. Lagi kejam bila mak long biarkan mak lang hina kami bertahun-tahun."
Pucat muka mak long mendengar keterangan dan kebenaran yang terbentang di hadapan mata.
"Ma...macam mana Nisa tahu?"
Manisa terlepas ketawa. Geli hatinya mendengar soalan itu. Sangkanya mak long akan meminta maaf tapi silapnya kerana mengharapkan manusia akan memohon maaf.
"Macam mana Nisa tahu tak penting pun mak long. Masalah yang berlaku sekarang semuanya berpunca daripada mak long." Balas Manisa tanpa kompromi.
Tiada guna dia bertimbang rasa melayan mak long kalau semua kebaikan yang ditabur selama ini palsu. Dia sendiri mendengar kebenaran itu keluar dari mulut mak long saat ibu saudaranya itu berbual dengan Pak Mahfuz.
Manisa sendiri tidak menyangka langsung yang mengkhianati dan menyusahkan kehidupan Puan Mazidah sekeluarga rupanya tak lain tak bukan ialah kakak ibunya sendiri.
"Kalau tak mengenangkan Taaqid yang anggap mak long tak ubah macam mak sendiri, Nisa tak rasa Nisa akan melepaskan mak long semudah ini. Nisa sepatutnya balas dendam dan layan mak long dengan lebih biadap lagi. Jadi, mak long perlu berterima kasih dekat Taaqid. Tanpa dia, mak long takkan hidup tenang sekarang."
🍰
Wajah keruh Puan Mazidah menggamit perhatian kornea Manisa. Ada sesuatu yang terselindung di sebalik raut muka itu. Entah pilu ataupun pasrah dengan percaturan takdir, Manisa tidak dapat meneka.
"Hentikan semua ini, Manisa. Mak tak nak masalah keluarga kita makin bercelaru macam ni. Tolonglah." Puan Mazidah merayu kepada anak sendiri. Satu situasi yang agak langka bagi Manisa.
"Mak yang tak ceritakan semua Nisa dengan Kak Mas. Mak punca semua ni berlaku. Sekarang ini mak nak Nisa hentikan semuanya? Mak!"
"Habis kamu nak mak buat apa? Meratap hari-hari sebab takdir kita macam ni? Ataupun balas dendam dekat adik-beradik mak sendiri? Apa yang kamu nak mak buat? Mak pun penat. Mak yang mengalami semua ni. Mak penat, Manisa." Puan Mazidah tenggelam dalam tangisan. Mengonggoi dia di sofa kayu yang sudah berusia sedekad itu.
Manisa mula serba-salah. Dia sendiri tidak pernah melihat Puan Mazidah menangis sederas itu. Manisa menyaksikan wanita yang melahirkannya itu tumbuh menjadi sosok cekal dan tabah walaupun dicerca saban waktu oleh keluarga sendiri.
"Mak."
"Nisa minta maaf. Nisa terlalu ikutkan perasaan sampai Nisa dah hancurkan harapan mak untuk berbaik dengan adik-beradik mak." Jelas Manisa penuh ikhlas.
"Nenek kamu yang rancang semuanya. Nenek taknak mak lang kamu berhenti belajar yang masa itu dia mabuk cinta dengan ayah kamu. Dan atas sebab itulah mak yang menjadi kambing hitam. Atok kahwinkan mak dengan ayah kamu lepas kami ditangkap basah. Sampai sekarang kebencian mak lang, adik mak sendiri tak pernah berkurang. Mak tahu bukan salah dia, tapi kamu faham kan apa perasaan kita kalau dibenci oleh darah daging sendiri? Perasaan itulah yang mak rasa bertahun-tahun. Dibenci walaupun itu bukan salah mak sepenuhnya."
Manisa terpaku. Diam tidak memberi respon. Dia berasa kesal kerana dendam mudarat yang dirangka sebenarnya menggali luka di hati ibu sendiri. Luka yang berparut itu semakin parah.
"Mak dah lupakan semuanya, Manisa. Mak dah maafkan arwah nenek, mak long dan mak lang. Mak tak nak berdendam dengan keluarga sendiri. Baik buruk yang terzahir, mereka tetap darah daging mak."
"Manisa janji mak. Manisa akan betulkan semua perkara yang terjadi. Kita akan hidup bahagia macam dulu. Manisa janji."
Dan entah untuk kali yang keberapa, Manisa sekali lagi melafaz janji. Sebuah janji untuk membahagiakan keluarga kecil mereka.
🍰
Busy sebenarnya tapi terpaksa update sebab malas. See malas pun update sbb nak update malas. Bye tenkiu. Happy reading
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting