Hari berganti siang dan malam seperti biasa. Namun kali ini tiada yang istimewa lagi dalam kehidupan Manisa. Seminggu telefon dikelek bersama ke bilik air, ruang tamu bahkan ke luar rumah tetapi tiada kedengaran apa-apa bunyi deringan telefon mahupun notifikasi yang ditunggu-tunggu. Orang yang selalu melakukan semua itu seakan ghaib ditelan bumi.
Manisa sendiri tidak mengerti apa yang dimahukannya. Saat Taaqid dekat dengannya, disuruh pula menjauh. Bila berjauhan diharapkan pula Taaqid bertanya khabar. Argh! Pemikiran perempuan sangat kompleks bahkan tiada penyelesaian mengalahkan subjek Calculus.
"Nisa, angkat bag bawa masuk bilik." Suruhan Puan Mazidah membuatkan Manisa akur. Kepulangan kali kedua ke rumah datuknya semenjak dia dewasa ini mententeramkan sedikit perasaannya. Sekurang-kurangnya dia dapat menemui Taaqid di kampung ini.
Semenjak kes Manisa memberi bayangan bahawa dia tidak berminat meneruskan hubungan percintaan dengan Taaqid, lelaki itu jelas menjauhkan diri. Manisa mahu memulakan dahulu perbualan melalui mesej pun mustahil. Dia tiada perasaan cinta waima sedikit pun sekadar berasa serba-salah kerana dia menerima Taaqid atas sebab membenci Rabiatul. Tetapi kalau hubungan itu tidak diketahui sesiapa dendamnya tidak terbalas jua.
Pintu bilik kecil yang menjadi stor itu dibuka. Beg kecil yang hanya memuatkan beberapa helai pakaian milik Puan Mazidah dan dirinya diletakkan di atas bangku kecil.
Siap meletakkan beg, Manisa menutup pintu dari luar bilik. Dia kemudiannya membawa langkah ke dapur. Gelas putih di atas rak pinggan dicapainya lalu diletakkan di bawah paip aliran Coway.
Seteguk demi seteguk, air sejuk membasahi tekaknya. Lega.
"Sedap minum air dari Coway? First time ke?"
Tidak perlu berteki-teki siapa yang lancang menegur itu kerana Manisa sudah hafal perangai gerangannya. Rabiatul.
Kadang-kadang Manisa hairan kalau Rabiatul ini membenci keluarga Manisa atau membenci golongan miskin?
"Wah! Cantiknya penapis air Coway ni. Boleh guna untuk cuci baju juga ke? Tak pernah guna pun selama ni. Wah!" Manisa menceceh keriangan namun riak wajahnya cuma mendatar. Sengaja nak memerli Rabiatul.
"Well, tak pelik sebab rumah kau tak ada Coway. By the way, kau balik bila? Sebab lusa ada majlis dekat rumah atuk. Aku harap kau boleh duduk sini sampai lusa. Selepas itu kalau kau nak berambus pun boleh."
"Kenapa kau tanya? Lusa ada apa?"
"Adalah. Duduk sini sampai lusa, ya? Bye Masam." Rabitul tergelak. Memang tidaklah dia nak memanggil Manisa dengan nama yang dimiliki gadis itu. Manisa tidak manis langsung dan gadis itu masam kepam. Hehe!
Manisa membuat muka. Ada apa agaknya dengan lusa? Dia jadi tidak sedap hati pula. Jangan-jangan...hish!
🍰
Anak-beranak Pak Mahfuz berkumpul beramai-ramai di ruang tamu. Waktu bersama keluarga kali ini sangat bermakna untuk merapatkan silaturahim terkecuali hubungan mak lang dan mak uda yang sememangnya sudah retak.
Manisa dan ibunya seperti biasa mengambil tempat di penjuru dinding terlindung dengan sanak-saudara di kiri dan kanan.
"Atuk dapat berita gembira akhirnya. Lama menunggu berita macam ni." Pak Mahfuz menjadi pembuka bicara. Tidak dapat disorok perasaan gembira si tua itu.
Tangannya menepuk bahu cucu sulungnya. Cucu lelaki pertama keluarga Mahfuz.
"Terima kasih atuk. Sebelum tu Taaqid nak minta maaf kalau ambil masa semua pak dengan mak menakan untuk balik kampung semata-mata untuk dengar berita yang akan Taaqid cerita. Tapi atuk yang paksa semua balik." Seloroh Taaqid sekadar menceriakan suasana.
Riuh-rendah di ruang tamu itu dengan gelak ketawa semua.
"Apa pulak nak minta maaf? Bagitahu je Taaqid." Pak ngah bersuara menyokong Taaqid yang sudah tidak keruan di sebelah Pak Mahfuz.
"Taaqid nak bertunang." Senafas pengakuan itu terucap.
Manisa yang menunduk segera mengangkat muka. Matanya mencari muka Taaqid. Dua detik mereka saling beradu pandang sebelum Taaqid mengalihkan muka ke arah ahli keluarga yang lain.
Tidak! Manisa tidak mahu! Bertunang dengan lelaki itu? Tidak! Manisa akan membangkang kerana dia belum bersedia untuk berada dalam ikatan janji dengan Taaqid. Dia tidak mahu Taaqid menyebut namanya di hadapan ahli keluarga yang lain. Manisa ingin sahaja memekik supaya Taaqid menghentikan semua itu.
"Sudah ada calon rupanya anak along. Senyap-senyap buat kerja." Usikan mak ngah dibalas dengan tawa daripada mak long.
"Siapa orangnya Taaqid? Mak ngah kenal ke?" Mak ngah menanyakan soalan. Entah siapa gerangan gadis yang berjaya memikat hati anak saudaranya yang berusia 32 tahun itu.
"Mak ngah dah kenal. Anak saudara mak ngah juga." Tenang Taaqid menjawab tetapi Manisa pula yang resah gelisah.
"Ramai anak menakan mak ngah. Yang mana satu? Anak usu dah lima orang, anak mak lang ada tiga orang ke anak mak uda, Taaqid?"
Mak ngah semakin banyak menyoal. Kalau tolak anak menakan yang masih bersekolah dan berjantina lelaki cuma tinggal empat orang sahaja gadis yang mempunyai potensi menjadi bakal pasangan Taaqid.
"Kalau anak usu mestilah usu tahu, ngah. Ini usu pun terkejut." Pintas mak su dalam ketawa kecil. Misteri sungguh hubungan anak saudaranya.
"Bakal tunang saya..."
Berdegup kencang jantung Manisa. Dia tidak tahu apa rancangan lelaki itu sehingga membuat keputusan seperti ini.
"...Rabiatul."
Alis mata Manisa terangkat. Adakah dia tersalah dengar. Namanya? Namanya tidak disebut?
Rabiatul?
Manisa merenung pula Rabiatul yang sudah malu-malu kucing di sebelah mak lang. Tidak! Apa semua ini?
Manisa mencubit lengan sendiri. Sakit! Jadi ini bukan mimpi. Taaqid yang mempunyai hubungan dengannya sebelum ini ingin bertunang dengan wanita lain? Dengan Rabiatul?
Entah kenapa Manisa merasakan sakit. Hatinya bagai ditoreh kerana namanya tidak terluah dari bibir itu. Sedangkan tadi dia sendiri yang tidak mahu namanya disebut.
Manisa sedaya upaya menahan air mata daripada menitis. Dia tidak boleh menangis. Bukankah dia sendiri yang tidak mahu mempunyai apa-apa perhubungan dengan Taaqid?
Mungkin inilah takdir yang terbaik untuk semua. Ya, untuk dirinya juga.
🍰
Happy reading
vote n comment
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting