Air sejuk diteguk berkali-kali. Rasa segar dan hilang perit pada anak tekaknya yang kehausan itu. Gelas yang diguna kemudiannya dibawa ke singki untuk dibersihkan. Siap mencuci diletakkan pula gelas itu di atas rak kayu.
"Adik memang betul-betul nak bercerai ke?" Mastura yang musykil dengan keputusan Manisa mendadak menyiasat keabsahan tekad adiknya. Semacam ada perkara yang tidak kena dengan pemikiran wanita muda itu selepas kepulangan dari kampung Pak Mahfuz dua minggu yang lepas.
"Kalau tak ada jodoh, mungkinlah." Mudah balasan Manisa kerana dia memang tidak mengambil serius tentang hubungan antara dia dan lelaki yang dinikahinya itu. Tempoh tiga bulan lamanya usia perkahwinan mereka. Dia sendiri sudah jadi pengantin basi bukan pengantin baru lagi.
"Manisa. Kahwin dan cerai bukanlah hal yang boleh dibuat main. Ikatan perkahwinan tu suci. Kalau tiada noda dan dosa sepanjang dalam ikatan, lebih elok kalau batalkan saja hajat nak bercerai."
"Kak Mas tak faham. Nisa kahwin sebab atok yang paksa. Perkahwinan ni bukan kemahuan Nisa sendiri. Nisa tak pernah pasang angan-angan untuk jadi seorang isteri."
"Kenapa? Sebab adik tengok perkahwinan Kak Mas berakhir dengan cerai-berai? Ke sebab mak ayah kita?" Tebak Mastura.
Niatnya sekadar mahu serkap jarang sahaja. Yang mengsahihkan tekaannya itu adalah air muka Manisa yang berubah kelat.
Manisa terkedu. Dia tergamam tidak mampu mengeluarkan jawapan kerana hujah Mastura itu ada benarnya. Dia takut perasaannya terus terbuai dan apabila dia menyerahkan kepercayaannya kepada pasangan 100% untuk bahagia, badai derita akan melanda. Manisa, si overthinker.
"Nisa, tak semua manusia sama. Taaqid bukan macam bekas suami akak dan bukan macam arwah ayah. Mereka lain dan Manisa tak boleh jump to conclusion yang semua orang itu akan berperangai sama." Sambung Mastura. Kalau boleh dia nak membasuh otak adiknya itu cukup-cukup. Baginya Manisa terlalu paranoid sedangkan perkara yang difikirkan belum berlaku dan mustahil untuk terjadi.
"Kenapa Kak Mas back-up dia? Dia ada telefon akak ke?" Hairan juga Manisa. Mastura bukanlah seorang kakak yang suka memaksa dan mengarah. Tetapi kalau berkaitan dengan Taaqid pasti cepat sahaja kakak kandungnya itu memberi respon. Adakah Taaqid yang meminta Mastura untuk memujuk Manisa?
"Tak perlu dia susah-susah nak telefon. Akak cuma berharap Nisa takkan sia-siakan orang yang betul-betul ikhlas nakkan Nisa." Nyata Mastura.
Dia mahu Manisa menyimpan baik-baik nasihat seorang kakak. Mastura yakin dan dia jelas melihat keikhlasan Taaqid dalam mengejar cinta adiknya. Disaat Mastura masih terumbang-ambing dalam meneruskan urusan penceraian dan menstabilkan kehidupan selepas bercerai, Taaqid lah yang paling banyak memberikan pertolongan tanpa diminta.
Dia pun tidak mahu menceritakan hal itu kepada sesiapa waima kepada Manisa dan Puan Mazidah. Dia mahu adiknya melihat kebenaran itu tanpa paksaan ataupun desakan daripada orang lain. Biarlah Manisa menilai sendiri keikhlasan dan cinta Taaqid dengan mata hati.
"Adik pun satu. Dah berlaki masih nak berkepit bawah ketiak mak. Sepatutnya ikut sajalah Taaqid balik. Kesian pula akak tengok dia semalam masa dia hantar kau ke sini." Mastura menghela nafas perlahan.
"Biarlah dia kak. Dia pun tak ada marah ke tegur ke. Kalau dia tak suka dia berterus-teranglah. Ini nampak okey. Kalau dia nak marah pun tak munasabah sebab Nisa pun bukannya duduk rumah orang lain." Ucap Manisa.
"Lantak kau lah, dik." Balas Mastura pula.
Kadang-kadang Mastura tertanya-tanya juga setebal apa agaknya kesabaran Taaqid dalam melayani tingkah Manisa? Kalau Mastura sendiri yang perlu menghadap fiil Manisa, dari awal lagi dia sudah berputus asa dan berserah. Bukan sekali dua perasaan Taaqid ditolak tetapi lebih 10 kali. Mungkin juga sudah mencapai bilangan tiga angka.
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting