Sudah berbulan-bulan berlalunya perjanjian yang dimeterai oleh Manisa dan Taaqid. Semenjak tinggal bersama, boleh dikatakan hubungan suami isteri itu semakin erat secara fizikalnya. Entah jampi serapah apa yang Taaqid amalkan, Manisa langsung tidak mahu berenggang dengan suaminya. Setiap kali Taaqid perlu berangkat kerja di waktu pagi, pasti ada sahaja drama air mata daripada Manisa.
"Abang, abang kata abang cuti half day hari ni? Abang tipu. Sebenarnya abang dah tak suka Nisa kan? Abang dah ada perempuan lain kan?"
Hari-hari menghadap drama sama, Taaqid jadi lali. Pada mulanya ada juga dia beristighfar sambil mengurut dada. Lama-lama semakin terbiasa dan menjadi kebiasaan. Dia pun malas sebenarnya nak ke pejabat. Hari ini dia pulang sewaktu makan tengah hari dan sepatutnya dia tidak lagi perlu ke pejabat kerana bekerja separuh hari. Tetapi ada client yang membuat tawaran secara peribadi untuk menggunakan kemahirannya. Oleh sebab itulah dia tidak dapat menolak. Mesyuarat dan gerak kerja di pejabat juga perlu dikawal selia setiap masa untuk memastikan sebarang projek dapat dilaksanakan dan berjalan lancar.
"Tak, Manis sayang. Abang minta maaf. Abang memang nak cuti tapi ada mesyuarat penting. Abang janji lain kali abang luangkan masa lama-lama dengan Manis." Jari kelingking dihulurkan mahu membuat pinky promise.
"Janji?" Soal Manisa menginginkan kepastian.
"Ya, sayang. Abang pergi dulu. Jaga diri."
Selesai berpelukan, Manisa memberi lambaian kepada si suami. Saat kereta Taaqid sudah meluncur pergi pintu rumah terus ditutup. Manisa terus ke bilik air yang berdekatan dengan dapur. Beg plastik yang disorok di dalam laci di bawah singki itu dicapai dan dikelek ke tandas.
Tiga kotak alat penguji kehamilan dibuka satu-persatu. Teragak-agak Manisa untuk memegangnya. Dia melabuh duduk di mangkuk tandas. Satu demi satu alat penguji kehamilan itu digunapakai. Setelah siap dia meletakkannya berhampiran singki. Muka dipalingkan ke arah bertentangan. Dia tidak bersedia untuk melihat keputusan akhir daripada kit penguji kehamilan itu.
Seminit, dua minit dan waktu berlalu sehingga 10 minit. Manisa meneguk air liur dan menggapai kit ujian kehamilan yang pertama. Ada satu garis kelihatan jelas manakala satu lagi samar-samar. Okey, mungkin ada kesilapan teknikal. Manisa beralih pula ke kit ujian kehamilan yang kedua. Kali ini dua garis merah terlihat jelas. Semakin gabra Manisa jadinya. Mustahil. Mustahil. Think positive, Manisa. Mungkin alat ujian kehamilan ini ada kesilapan. Kit terakhir diambil dan harapan Manisa terus berkecai.
Dia duduk mencangkung sambil memeluk lutut. Sebenarnya Manisa tidak menyangka dia akan mengandung secepat ini. Entah apalah yang tidak disangka kalau aktiviti suami isteri antara mereka berjalan hampir setiap malam.
Manisa memang terkena buatan orang. Buatan suaminya sendiri. Patutlah dia selalu nak berdamping dengan Taaqid, duduk rapat-rapat dan yang dia paling suka memeluk Taaqid selepas lelaki itu pulang dari pejabat. Wangi!
"Manisa, patutlah kau berubah macam ni sekali. Semuanya sebab pembawakan budak." Manisa memandang pantulan perutnya yang masih kempis. Bila-bila masa sahaja perut Manisa akan membulat dan bila tiba masanya dia akan melahirkan zuriat. Mengetahui hakikat itu, bulu roma Manisa terus meremang.
Dia mengingat kembali aksi-aksi kelakuannya saat bersama Taaqid. Setiap hari kalau boleh dia mahu dimanjakan oleh lelaki itu.
Sudahlah dia pernah memuji Taaqid di hadapan lelaki itu sendiri. Mana Manisa nak letak muka selepas ini?
"Abang, kenapa abang handsome ya? Nisa tak pernah jumpa lelaki yang handsome macam abang. Abang wangi, baik, dan romantik. Lengkap pakej suami idaman."
Itu pujian Manisa pada minggu lepas dan semalam. Rambut diraup kasar ke belakang. Malu betul kalau diingat kembali.
Sekarang ni macam mana dengan masalah kehamilannya? Perlu ke Manisa menyembunyikan berita ini daripada Taaqid atau memberitahu lelaki itu? Kukunya digigit resah.
Tetapi kalau mengikut kesepakatan mereka jika Manisa mengandung, dia boleh meminta perpisahan. Aduh, semakin rumit pula jadinya!
Bunyi loceng pintu rumah kedengaran memeranjatkan Manisa yang tidak menjangkakan akan mendapat kunjungan tetamu. Dia terus keluar dari tandas tanpa sempat untuk membuang alat penguji kehamilan miliknya.
Saat pintu rumah terbuka terjengul muka mak long dari celahan daun pintu yang terbuka.
"Assalamualaikum Manisa."
"Wa...waalaikumussalam. Jemputlah masuk dulu aa..." Lidah Manisa kelu untuk membahasakan mak long sebagai apa. Nak dipanggil mak long takut ditegur, nak dipanggil ibu pula Manisa sendiri tidak terbiasa. Sudahnya dia mengelak sehabis boleh untuk membahasakan nama panggilan mak long.
"Taaqid tak ada dekat rumah?"
"Abang balik tengah hari tadi. Lepas makan terus dia pergi pejabat"
"Oh. Erm. Ibu datang ni nak melawat Manisa sebenarnya. Dah lama Taaqid tak bawa kamu jumpa ibu. Ibu takut Manisa ada terasa hati dengan ibu dengan ayah. Kalau ada ibu harap Manisa boleh maafkan kami."
"Tak. Tak ada terasa apa-apa. Nisa okey. Abang Taaqid yang sibuk sikit. Kami minta maaf kalau tak sempat nak melawat ibu dengan ayah." Jujur agak kekok bagi Manisa memanggil mak long dengan 'ibu'.
Suasana sunyi seketika. Mungkin masing-masing sudah kehilangan idea untuk berbual.
"Err ibu nak tumpang guna bilik air sekejap."
"Ibu ke dapur je. Ada bilik air dekat dengan dapur."
"Terima kasih." Mak long bangkit dari duduk dan membawa langkah ke bilik air.
Air muka Manisa yang pada mulanya beriak tenang berubah pucat. Tunggu! Alat penguji kehamilan yang telah digunakannya masih ada di atas singki.
Manisa tidak sempat bertindak apabila mak long terlebih dahulu memasuki bilik air dan tidak sampai lima minit wanita lebih separuh abad itu keluar kembali dengan riak muka tidak terkata-kata.
"Nisa... Nisa mengandung ke?" Mak long menyoal separuh tidak pwrcaya dengan apa yang dilihatnya.
Lantas perlahan-lahan kepala Manisa bergerak atas dan bawah memberi anggukan sebagai simbol jawapan.
"Alhamdulillah. Tahniah sayang." Tubuh Manisa ditarik dalam pelukan erat membuatkan Manisa sendiri terkejut dan tidak menyangka mak long akan memberi respon seperti ini.
"Ibu akan jadi nenek nanti." Rasa bahagia memang tidak dapat diselindung langsung oleh mak long.
"Taaqid dah tahu ke yang Nisa mengandung?" Tanya mak long sambil meleraikan pelukan.
Soalan itu memacu rasa getar di hati Manisa sendiri. Kalau sebegini reaksi mak long. Agaknya apa reaksi Taaqid nanti?
"Abang Taaqid belum tahu. Tapi boleh ke kalau ibu sembunyikan hal ini dari dia? Nisa... Nisa nak buat surprise." Dalih Manisa.
Mak long mengangguk laju. Sekali lagi tubuh menantunya itu dirangkul erat. Semua perasaan bergabung menjadi satu. Ada rasa bersyukur, rasa bahagia dan rasa bersalah dengan Manisa.
Syukurlah semuanya akan baik-baik sahaja selepas ini. Alhamdulillah.
🍰
Happy reading
Oh ye. Dah nak tamat. Kekeke
YOU ARE READING
Manis Abang
ChickLitNur Manisa & Taaqid Qalbi Yang kelihatan manis itu adakalanya sepahit hempedu. Siri 1: Manis Abang Special Chapter: Suara Hati Lelaki Bisu p/s: sedang disunting