2 April 2015
HELAIAN kertas peperiksaan matematik tambahan miliknya diselek satu persatu. Tatkala dia sampai di helaian pertama semula, Irdina terus mengangguk. Kertas itu direnyuk lalu terus dibuang ke dalam tong sampah berdekatan.
Markah peperiksaannya tidaklah bagus mana. Jadi lebih baik dia hapuskan bukti yang ada sebelum keputusan ini sampai ke pengetahuan orang tuanya.
Setelah selesai menghapuskan bukti, Irdina terus mengatur langkah ke pintu pagar belakang sekolah. Jam sudah menunjukkan pukul 5.40 petang. Kebanyakan pelajar sudah pulang. Yang tinggal cuma para pelajar tingkatan lima yang baru selesai kelas tambahan.
Kawasan pintu pagar belakang sekolah agak lengang kerana para pelajar lebih banyak pulang melalui pintu hadapan. Rumah Irdina hanya beberapa kilometer saja dari belakang sekolah jadi Irdina memang lebih sering menggunakan pintu belakang.
Tatkala sampai di kawasan pintu pagar itu, kewujudan sebuah Rolls Royce hitam menarik perhatian Irdina. Namun perkara yang lebih menarik Irdina lagi adalah kewujudan ketua pelajar, merangkap pelajar lelaki paling popular di sekolah.
Si ketua pelajar sedang berdiri di tepi kereta mewah tersebut. Di hadapan si ketua pula ada seorang wanita yang kelihatan begitu elegan bersama pakaian berjenamanya sedang bercekak pinggang. Irdina tidak dapat melihat wajah wanita itu memandangkan si wanita berdiri membelakangi dirinya.
"Kau ni memang tak kenang budikan?"
Kedengaran suara si wanita memarahi si ketua pelajar. Sejurus setelah itu si wanita terus mengangkat tangannya dan menampar wajah si ketua pelajar sehingga terteleng ke tepi.
Irdina kejung. Terkejut dengan adegan yang baru dilihatnya.
"Dasar budak tak tahu diuntung!" Herdik si wanita lagi lalu dia terus meloloskan diri ke dalam Rolls Royce. Kereta mewah itu kemudiannya terus dipandu pergi meninggalkan pelajar lelaki tersebut.
Si ketua pelajar menunduk. Beg serta barang-barangnya yang bertebaran di tanah dikutip satu persatu. Tatkala dia menegakkan tubuhnya kembali, mata si ketua pelajar tidak semena-menanya bertembung dengan mata Irdina.
-Mubram-
"EIYAD Hanafi?"
"Ya. Eiyad Hanafi. Kacak, bijak, baik hati. Semua benda yang elok dekat dunia semuanya dialah. Budak-budak SMK Cenderawasih waktu tu panggil dia malaikat tanpa sayap. Semua orang suka dia. Cikgu suka dia. Mak cik kantin suka dia. Pak cik guard suka dia. Malah budak-budak sekolah sebelah pun bersusun-susun lepak depan sekolah aku semata-mata nak tengok dia."
"Ouh, jadi dia ni serba serbi sempurna macam watak utama novel lah kiranya?"
"Betul. Watak utama novel."
Mug kopinya dihentak Irdina ke atas island.
"Novel psiko." Ayatnya disambung Irdina dengan wajah serius. Dahi Alia berkerut.
"Novel psiko? Aik, tadi kau kata dia malaikat tanpa sayap?"
"Malaikat tanpa sayap bila depan semua orang! Bila dia berpaling, dia buka topeng malaikat dia tu, boom! Terus keluar muka syaitan! Lupakan malaikat tanpa sayap. Bagi aku, ada satu perkataan saja yang sesuai gambarkan diri dia. Ular! Mamat tu ular! Dia pukau kau lepas tu dia belit kau. Dia akan telan kau sebelum kau sempat sedar yang kau dah kena belit."
Alia garu kepala.
"Jadi... dia ada kecelaruan identiti?"
"Bukan! Dia ular kau faham tak? Ular! Dia tu pakar bermain kata-kata. The greatest manipulator ever. Dia boleh kawal kau dengan hanya kata-kata. Seumur hidup aku, dia adalah orang paling bahaya aku pernah jumpa. Disebabkan dia, tahun terakhir sekolah menengah aku jadi huru hara. Kalau kau dah kena belit dengan dia, jangan harap kau boleh lepaskan diri!" Tegas Irdina sepenuh hati.
"Dari cara kau bercerita, dengan air liur terpercik merata, aku boleh nampak yang dia tu teruk orangnya."
Air liur Irdina yang terpercik ke mukanya dilap Alia dengan belakang tapak tangan.
"Biar aku teka. Dia mesti mamat yang kau kata kalau kau jumpa dia sekali lagi kau akan langgar dia kan? Mamat yang buatkan kau lepas ujian memandu sekali uji saja."
Irdina mengangguk. Mug kopinya dicapai dan kopinya kembali dihirup.
"Okey, faham. Jadi apa kaitannya kau tak datang semalam dengan kisah lama sekolah menengah kau ni?"
"Aku terlanggar dia semalam."
Alia tersedak.
"Siapa? Eiyad Hanafi tu? Kau betul-betul langgar dia?!"
"Aku TERRRRLANGGAR. Bukan sengaja langgar. Dia tiba-tiba melompat depan kereta aku."
"Uish. Pertemuan semula yang ekstrem. Sekarang ni aku tak tahu nak cakap kau ke dia yang bahaya."
Irdina menjeling Alia.
"Jadi macam mana keadaan dia sekarang? Teruk ke kau langgar dia?"
"Untuk kali kedua aku ulang, aku terlanggar. Terrrrrrlanggar." Tekan Irdina.
Rengusan dihela kemudian kopinya dihirup Irdina.
"Tadi hospital ada telefon aku. Dia kata mamat tu dah sedar dah. Petang nanti lah aku pergi tengok. Selesaikan apa yang patut secepat yang mungkin. Aku tak nak terlibat dengan mamat tu lama-lama," ujar Irdina.
Hampir lapan tahun berlalu. Irdina kalau boleh sudah tak mahu ada kaitan dengan si ular sawa.
"Nak kata jodoh, kau dah ada Farhan. Tapi dah macam bukan kebetulan pula dia muncul balik dalam hidup kau. Petandakah?"
Irdina angkat bahu. Alia angkat bahu. Kedua-dua sahabat itu angkat bahu. Untuk masa sekarang, Irdina hanya mampu berdoa agar pertemuan ini cuma satu kebetulan.
"Ird, lah dekat pantri rupanya awak. Ird kalau saya nak minta tolong awak ganti shift saya hujung minggu ni boleh?"
Wardah, salah seorang rakan sekerja Irdina muncul di pantri dengan sengihan.
"Hujung minggu ni?"
Alia bagi isyarat kepada Irdina agar menolak permintaan Wardah namun Irdina tetap Irdina.
"Erk... boleh."
Alia menghela nafas lemah. Ya. Irdina tetap Irdina.
"Lepas tu Kak Ani minta awak buatkan kopi sekali. Hantar dekat meja dia," beritahu Wardah lantas terus berlalu pergi.
"Ish tengok tu. Dah lah tak ada terima kasih ke apa. Kau ni pun lagi satu. Orang suruh kau buat. Boleh tak sekali sekala tolak saja permintaan diorang? Bukannya gaji kau naik pun kalau kau buat kerja lebih," bebel Alia.
Tidak puas hati sungguh dia dengan perangai Irdina yang begitu mudah diarah-arah.
"Aku tak nak cari masalah. Malas nak bermasam muka dengan sesiapa. Daripada bertelingkah lebih baik aku mengalah saja."
Mug kosong yang tersangkut di kabinet dicapai Irdina.
"Ya, faham. Tapi janganlah sampai jadi pushover. Semua orang layan kau macam kuli awam tahu tak? Ird, tak boleh ke kau jadi keras sikit. Yang si Eiyad ular tu kau boleh pula marah-marah. Kau kata nak balas dendam lah apalah. Yang diorang ni cuba lah kau marah juga sekali sekala."
Irdina menggeleng. Kopi dibancuh.
"Eiyad lain."
"Apa yang lain?"
Irdina diam.
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...