Bab 27

8 1 0
                                    

API marak menjulang seolah-olah ingin mencecah langit. Trak bomba serta ambulans terparkir di tepi jalan dan bunyi siren memenuhi suasana. Dia turun dari uber lalu berlari ke arah rumahnya yang marak ditelan api. Air mata sudah berjejehan jatuh di pipi. Sekeliling dipandang. Ramai manusia sedang berkumpul di hadapan rumah yang terbakar itu namun tiada satu wajah yang ingin dia temui pun kelihatan di pandangan.

Dia mencari-cari di kalangan manusia yang ada. Mungkin keluarganya ada di antara mereka namun hampa. Jantung dia berdegup makin kencang. Tidak berfikir panjang, kaki terus dihayun cuba untuk merempuh masuk ke dalam rumah yang terbakar tersebut.

"Mama! Papa! Along!"

Belum sempat dia masuk, dirinya dihalang terlebih dahulu oleh jiran-jirannya. Dia meronta-ronta keras dalam cuba meloloskan diri. Kaki sudah terasa lemah tidak berdaya tetapi tetap dipaksa berdiri.

"Lepas! Lepas! Adik-adik saya! Mama saya! Mereka ada dalam dulu! Saya kena selamatkan mereka! Saya kena selamatkan mereka!"

Boom!

"Stesen seterusnya, Sungai Udang. The next station is Sungai Udang."

Lena Irdina terganggu disebabkan pengumuman dari corong pembesar suara. Irdina membetulkan totebag di bahunya lalu dia terus berdiri, bersedia untuk turun di stesen berikutnya. Sebaik sahaja pintu monorel dibuka, Irdina terus turun bersama beberapa orang penumpang. Jam menunjukkan pukul 10 pagi jadi monorel tidaklah begitu sesak dengan manusia memandangkan sekarang bukan wkatu puncak.

Langkah diatur ke arah salah sebuah bangku besi kosong yang tersedia di stesen tersebut. Punggung dilabuh di atas bangku kosong lalu wajah terus ditekup. Irdina menekup wajahnya untuk beberapa ketika kemudian duduk termenung seorang diri. Kepala ditunduk memandang kasut converse putihnya yang sedikit kotor.

Enam bulan sudah berlalu sejak berlakunya tragedi yang meragut nyawa kesemua ahli keluarga Irdina. Berbulan lamanya Irdina cuba mencari bukti dan saksi bagi mengetahui bagaimana kebakaran di rumahnya boleh berlaku namun hampa. Tidak ada sebarang petunjuk langsung yang dia perolehi.

Kata pegawai bomba, rumah Irdina kemungkinan besar terbakar disebabkan litar pintas tetapi Irdina tidak percaya. Rumah Irdina baru sahaja diselenggara ketika mereka menyelenggara semula homestay keluarga. Mana mungkin litar pintas boleh berlaku.

Siang malam kebenaran cuba dicari, Irdina akhirnya kelelahan. Keluarga yang sebelum ini sentiasa ada memberi semangat kini sudah tidak bersamanya. Irdina kini ditinggalkan seorang diri, cuba menempuhi hari yang langsung tidak terlihat seperti ada cahaya. Hidupnya kosong. Sudah tidak ada apa yang menarik untuk dilakukan. Irdina cuba mencari pekerjaan baru bagi mengisi harinya tetapi ke mana saja dia pergi permohonannya pasti ditolak.

Hidup Irdina juga rasa tidak begitu tenteram sekarang. Ke mana-mana dia pergi pun dia tetap rasa seperti dia diekori dan diperhatikan seseorang. Pasrah dengan semua yang berlaku. Irdina sudah tidak hiraukan lagi apa yang bakal terjadi kepada dirinya. Hidup sudah tidak terasa bermakna lagi jika diteruskan sekali pun. Apa-apa yang berlaku dia relakan saja.

Dalam pada Irdina termenung memandang kasutnya, sepasang kasut converse hitam tiba-tiba muncul, berdiri di betul-betul di hadapannya. Irdina mengangkat muka dan wajah jejaka yang sudah lama tidak ditemui itu muncul di layar penglihatan. Lelaki itu kini memandang Irdina dengan mata yang memerah. Bibir si jejaka bergetar halus seolah-olah sedang menahan emosinya.

Tahu benar apa yang lelaki itu fikirkan, Irdina lantas bersuara.

"Bukan salah kau," ucap Irdina.

Manik-manik jernih mula jatuh dari tubir mata sang jejaka.

"Mereka pergi... sebab dah sampai masa mereka pergi," tambah Irdina lagi.

Si jejaka memalingkan wajahnya ke lain. Air mata yang membasahi pipi dilap dengan belakang tapak tangan. Nafas ditarik dalam sebelum dia kembali memandang Irdina.

"Aku nak lari dari sini. Kau nak ikut aku?"

Irdina pandang si jejaka lama. Berfikir. Sejenak berlalu, kepala diangguk.




-Mubram-

IV drip beg diperiksa bagi memastikan alirannya berfungsi dengan baik. Kedudukan bantal dan selimut pesakit dibetulkan, memastikan kedudukan pesakit yang sudah enam bulan tidak sedarkan diri itu sentiasa rapi. Sedang si jururawat membetulkan selimut, jari jemari si pesakit tiba-tiba bergerak. Si jururawat terkedu. Dia memandang si pesakit. Kelopak mata si pesakit perlahan-lahan terbuka.

"Encik?"

Farhan memandang jururawat yang memanggil dirinya dengan pandangan yang masih kabur. Si jururawat serta merta menutup mulut.

"Doktor! Pesakit dah bangun! Pesakit dah bangun!" Pekik si jururawat dan dia pantas berlari keluar dari wad. Tangan yang bergetar diangkat perlahan-lahan oleh Farhan lalu diletakkan ke dada. Memori pada hari dia kemalangan kembali bermain di dalam minda.

Dia berbisik seorang diri.

"Dah berapa lama aku ada dekat sini?"

MubramWhere stories live. Discover now