3 April 2015
Beg sandangnya dibetulkan. Mulut sibuk mengunyah sandwich manakala tangan Irdina pula sibuk menyelak kerja sekolahnya yang masih belum siap. Dia mengatur langkah masuk ke dataran tanpa memandang ke hadapan. Rutin SMK Cenderawasih, para pelajar akan berhimpun di dataran terlebih dahulu bagi mendengar ucapan sebelum masuk ke dalam kelas.
Dalam pada Irdina sibuk menyiapkan kerja sekolahnya sambil berjalan, buku latihannya tiba-tiba dirampas seseorang. Kepala terus diangkat memandang gerangan yang merampas kerja sekolahnya.
"Eiyad Hanafi?"
Pelajar lelaki itu tersenyum. Mata Eiyad melirik ke tanda nama yang tersemat di tudung sekolah gadis di hadapannya.
"Irdina Fazira. Waktu rehat nanti jumpa aku dekat belakang makmal kimia," ujar Eiyad.
"Dan... jawapan nombor enam kau salah," tambah jejaka itu lalu buku latihan Irdina dikembalikan semula.
Sisa sandwich yang ada di dalam mulutnya ditelan Irdina. Tubuh Eiyad yang sudah berlalu pergi dipandang dengan perasaan tidak begitu senang.
"Kenapa firasat herbivor aku rasa aku macam baru terjebak dalam radar karnivor?"
-Mubram-LANGKAHNYA dihentikan apabila dia tiba betul-betul di hadapan pintu wad. Dari pintu wad itu sahaja Irdina dapat melihat dengan jelas Eiyad yang berada di katil paling hujung. Jejaka itu sedang bersandar di kepala katil seraya melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Si jejaka kelihatan seperti sedang tenggelam dalam dunianya. Wajahnya jelas menunjukkan dia sedang dibelenggu masalah. Riak yang jarang-jarang dipamerkan Eiyad sewaktu Irdina pernah mengenali lelaki itu dahulu.
Berdasarkan penampilan sahaja, Eiyad dahulu dan kini memang jauh berbeza. Dahulu Eiyad boleh dikatakan antara pelajar lelaki yang paling kacak di Cenderawasih. Rambut ikal mayangnya sentiasa tersikat rapi. Bajunya langsung tak ada sebarang kedutan. Tali kasutnya terikat kemas, bukan gaya butterfly. Dia juga sentiasa berbau harum.
Namun Eiyad yang ada di hadapan Irdina sekarang nampak berserabai. Rambutnya panjang sampai ke bahu. Misai dan jambangnya tidak bercukur. Wajahnya penuh dengan calar balar. Berbagai persoalan berputar di dalam fikiran Irdina setiap kali melihat penampilan baharu Eiyadnamun sekadar dipendam. Tujuan Irdina datang ke hospital hari ini adalah untuk menyelesaikan segala urusannya. Dia tidak mahu ada kena mengena dengan si Eiyad lagi.
Langkah yang dihentikan tadi disambung sehingga dia tiba betul-betul di hadapan katil Eiyad.
"Ekhem."
Dehaman Irdina menghentikan lamunan Eiyad. Jejaka itu menoleh.
"Hai."
Sebelah tangan diangkat Irdina, sekadar menyapa dalam keadaan canggung.
"Irdina?"
Riak wajah Eiyad sedikit berubah, langsung tidak menjangkakan kehadiran Irdina.
"Kau buat apa dekat sini?" Soal Eiyad.
Plastik limau mandarin yang dibawa bersama diletakkan di atas kabinet di sebelah katil Eiyad.
"Yang hantar kau dekat sini. Orang tu adalah aku," ujar Irdina.
"Hah? Jadi yang langgar aku tu kau?"
"Bukan langgar. TERLANGGAR. Sumpah aku tak sengaja langgar kau hari tu. Walaupun aku pernah berikrar nak langgar kau, tapi yang ni sumpah tak sengaja."
Wajah penuh dengan kejujuran ditayang Irdina namun sekadar dibalas dengan kebisuan Eiyad. Eiyad merenung Irdina lama sehingga gadis itu jadi tidak selesa.
Sebelum Irdina sekali dipukau dan dibelit, Irdina perlu segera pergi dari sini!
"Erm. Aku tak kenal penjaga kau. Jadi aku tak tahu nak call siapa. Dah alang-alang kau pun nampak macam dah sihat wal afiat ni, aku rasa aku dah tak perlu buat apa-apa untuk kau. Bil hospital semuanya aku dah bayar. Pampasan sebab buat kaki kau patah. Jadi rasanya macam kita dah tak ada urusan dah. Aku balik dulu."
Irdina berpaling. Dia mahu cepat-cepat angkat kaki. Namun malang untuk Irdina, suara garau milik Eiyad tiba-tiba kedengaran.
"Irdina Fazira binti Nukhman."
Bulu roma Irdina tegak berdiri. Dalam fikirannya Irdina memang sudah serta merta meraung. Macam mana tak meraung? Nama penuh dia terus si Eiyad sebut.
"Nak pergi mana? Kau dah buat aku jadi macam ni, kau kenalah bertanggungjawab," ujar Eiyad.
Irdina menoleh kembali.
"Aku dah bayar ganti rugi."
"Duit tak boleh nak selesaikan semua benda."
"Semua benda dah selesai. Kau tak payah nak cuba panjangkan cerita. Aku bagi amaran dekat kau Eiyad. Aku bukan Irdina yang kau pernah kenal dulu. Aku tak akan terkena lagi dengan kau!" Jari ditunding tepat ke muka Eiyad. Memberi amaran.
Namun si jejaka buat wajah tidak kesah.
"Kereta kau jenama apa?"
"Dah kenapa tiba-tiba nak tahu tentang jenama kereta aku pula?"
"Sebab aku nak tahu kau pasang dashcam ke tak. Tapi aku yakin kau tak pasang. Kalau ikut perangai kau, aku yakin kau tak pasang."
"Kalau aku tak pasang pun kenapa?" Irdina sudah mula hendak menggelabah tapi riak wajahnya cuba dikawal. Eiyad pula masih dengan riak tenangnya.
"Seingat aku, waktu aku kena langgar tu cuma kereta kau saja yang lalu jalan tu. Jalan kampung dan terpencil. Tak ada cctv, tak ada saksi."
Sengihan syaitan ditarik Eiyad. Irdina yang faham sangat dengan maksud senyuman itu terus merapati katil Eiyad.
"Kau, kau! Kau nak buat apa hah? Kau nak frame aku lagi ke?"
"Melanggar dengan niat. Plot yang menarik. It will be easy to make up the story."
"Eiyad!"
Tubuh Irdina turun naik menahan geram. Patutnya hari tu Irdina langgar saja si ular ni sampai lunyai. Sampai dia tidak boleh bercakap! Dia tak patut bawa ular ni pergi hospital! Daripada tak ada niat nak mencederakan sekarang terus ada niat!
Buku limanya yang menggeletar hebat digenggam Irdina. Mata dipejam dan dirinya yang hampir meletus cuba ditenangkan.
"Aku... sumpah benci kau."
Eiyad mengangguk.
"Tahu."
"Sejak hari kau frame aku hisap rokok sampaikan aku kena sebat dekat bilik disiplin, aku benci kau."
"Obviously."
"Dalam senarai orang yang aku paling benci dekat dunia ni, kau berada di tangga kedua."
"Siapa yang pertama?"
"Itu bukan isunya sekarang!" Marah Irdina sehingga pesakit-pesakit lain sudah mula menjeling mereka. Eiyad pasang senyuman kekok sambil bergumam maaf. Tirai di kawasan katil Eiyad ditarik Irdina sejurus setelah itu.
"Aku benci kau Eiyad. Dah nak dekat lapan tahun aku benci kau. Dan lepas lapan tahun jumpa kau semula, kau masih tetap juga nak buat aku benci kau. Kau memang tak ada kerja lain ke?"
"Tak ada. Hari tu aku kerja jadi editor novel tapi sekarang ni aku menganggur."
Darah Irdina terasa menggelegak sampai ke kepala. Bercakap dengan Eiyad boleh buat Irdina yang silap hari bulan masuk hospital.
"Janganlah stress sangat Ird. Aku cuma minta kau bertanggungjawab saja. Kalau kau bertanggungjawab. Aku akan kunci mulut aku."
Irdina merenung Eiyad tajam. Si jejaka mungkin nampak berserabai dan tidak teratur. Namun perangai syaitannya sedikit pun tak berubah. Tak pasti jika dia ada pilihan lain, Irdina ambil keputusan untuk mengalah terlebih dahulu.
"Kau nak aku bertanggungjawab dengan cara apa?"
Eiyad tersengih.
"Jaga aku dengan penuh kasih sayang."
Kaki kanannya yang bersimen ditunding Eiyad.
"Selama tiga bulan."
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...