Bab 10

15 2 0
                                    

JARI menyeret paparan pada skrin telefon pintarnya berulang kali. Berjam sudah dia memeriksa perbualan di aplikasi Whatsapp. Mesej yang masuk kebanyakannya daripada klien. Langsung tiada pesanan daripada si dia yang ditunggu-tunggu.

"Farhan ni fail kes yang kau minta. Lepas tu, ni ada dua kes baru yang Encik Safawi bagi. Dia suruh kau handle."

Tiga buah fail diletakkan di atas meja Farhan namun lelaki itu langsung tidak memberi perhatian kepada Redza. Farhan masih lagi ralit menskrol telefon pintarnya. Langsung tidak beralih mata.

"Weh, kau dengar tak?"

"Pelik. Biasanya tak sampai sehari dia dah call ajak jumpa. Tapi ni dah seminggu berlalu, chat masuk daripada dia pun tak ada."

"Hah? Chat daripada siapa?"

Telefon pintar dimatikan. Dua fail kes baru yang diberi Redza diletakkan ke tepi dan fail paling bawah dibuka.

"Ni saja ke maklumat yang kau dapat?" Soal Farhan, mengabaikan soalan Redza sebentar tadi.

"Tu kes berbelas tahun dulu. Maklumat tu pun susah nak dapat. Merata aku pergi tanya. Tu pun aku dapat dari pejabat dekat Pahang. Nasib baik aku ada kenal orang dekat situ. Demi kau, aku sanggup bawa kereta empat jam turun Pahang."

Bebelan Redza tidak mendapat sebarang sambutan. Farhan fokus menyelak helaian di dalam fail satu persatu. Redza tidak terasa hati dengan kelakuan lelaki di hadapannya ini. Bercakap dengan si Farhan ni memang kadang-kadang rasa macam bercakap dengan dinding.

"Kenapa kau tiba-tiba nak maklumat tentang kes ni?" Soal Redza.

"Siapa pendakwa raya?"

"Ahmad Rafael?"

Redza diam sejenak dan berfikir untuk beberapa ketika. Tatkala logik berjaya dicapai, meja Farhan terus dihentak.

"Sekejap, jangan kata kau nak maklumat tentang kes ni sebab ayah kau? Kau masih nak siasat tentang kes tu ke?" Soal Redza dalam nada gusar.

"Ni adalah satu-satunya kes paling releven yang ada dalam lingkungan tarikh kes SRB scheme tu. Lepas jadi pendakwa raya kes ni, Rafael terus naik jadi state prosecution director WPKL. Aku tak rasa tu kebetulan. Ayah aku meninggal dunia dan si Rafael ambil alih kes SRB. Direction perbicaraan terus berubah lepas tu," ujar Farhan.

(SRB: Sunny Rills Berhad)

"Aku tak faham. Apa kaitan kes ni dengan kes SRB?"

"OKT kes ni Dato Julia. Dia CEO SRB sekarang."

(OKT: Orang Kena Tuduh)

"Memanglah OKT dia Dato Julia. Tapi waktu ni dia belum jadi CEO. Kes ni tahun 2008. SRB scheme tu pula tahun 2015."

"Nak kenal musuh kau. Kau kena kenal asal usul dia. Manusia tak jadi jahat tiba-tiba. Pasti ada permulaannya. Untuk SRB scheme mungkin mereka boleh hapuskan bukti dengan sempurna dan kawal flow perbicaraan. Tapi waktu 2008 ni mereka masih amatur. Aku yakin mereka ada buat kesilapan. Aku cuma perlu cari kesilapan tu dan petunjuk baru pasti akan muncul."

"Farhan... kes SRB ni melibatkan individu-individu berprofil tinggi. Aku tak rasa tindakan kau untuk terus siasat tentang kes ni adalah keputusan yang bijak. Jangan cari masalah Farhan. Jangan jolok sarang tembuan dalam hutan."

Farhan angkat muka lalu pandangan ditala tepat ke muka Redza.

"Ayah aku mati. Mereka kata kemalangan. Pemandu lori microsleep. Tapi semua tu mengarut. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Dia senyum. Pemandu lori tu senyum waktu hukuman dijatuhkan."

Redza menghela nafas lemah. Dia mengenali Farhan sejak zaman universiti. Jejaka ini memang dari dulu dingin orangnya. Semuanya disebabkan trauma yang diperolehi daripada kematian sang ayah. Kata Farhan ayahnya bukan mati disebabkan kemalangan. Tetapi dibunuh. Farhan menceburi bidang undang-undang pun semata-mata mahu mencari kebenaran di sebalik kematian sang ayah.

Redza faham betapa pentingnya hal ini kepada Farhan. Namun dia tidak mampu hendak mengusir kebimbangannya. Meskipun Farhan adalah antara deputy public prosecutor terhandal di Malaysia, lawan Farhan juga bukanlah orang kebanyakan. Lawan Farhan adalah manusia-manusia yang mampu mengawal dan memanipulasi undang-undang. Undang-undang hanyalah permainan bagi mereka.

Namun Redza tahu Farhan degil orangnya. Redza nasihatlah apa pun, jangan harap Farhan nak ikut.

"Waktu aku pergi Pahang aku ada terdengar sesuatu."

Kalau Redza tak boleh nak hentikan Farhan, terpaksalah dia tolong jolokkan sarang tembuan tu sekali.

"Mereka kata Dato Julia bukan suspek utama kes ni. Suspek utama dia hilang tak dapat dikesan sampai sekarang. Tapi inspektor yang siasat kes ni berkeras cakap Dato Julia adalah pembunuhnya. Lepas kes ni tutup sebab tak cukup bukti, inspektor ni terus berhenti kerja," beritahu Redza.

Kening Farhan bertaut. Pandangannya kembali dijatuhkan ke dokumen di atas meja. Maklumat berkaitan dengan inspektor yang bertanggungjawab dicari.

"Inspektor Daeng? Aku akan cari maklumat tentang dia. Kalau kau ada maklumat lain terus bagitahu aku."

Redza mengangguk.

"By the way. Tentang lelaki yang ada waktu perbicaraan terakhir kes ayah aku tu. Kau dah jumpa siapa dia?" Soal Farhan.

"Ouh, lupa nak bagitahu kau. Aku dah dapat dah senarai yang hadir waktu perbicaraan tu dan ada seorang lelaki ni saja yang menepati ciri-ciri yang kau gambarkan. Cuma tu lah. Pelik."

"Pelik? Apa yang pelik?" Soal Farhan kembali.

"Lelaki tu..."

"Dia anak Dato Julia."




-Mubram-

6 Jun 2015

"Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun berserta denda dua puluh ribu Ringgit kepada tertuduh."

Tukul diketuk tanda tamatnya perbicaraan. Farhan tetap di tempat duduknya, memerhati tepat ke arah lelaki yang telah menyebabkan kematian sang ayah.

"Dia senyum."

Suara seseorang kedengaran.

Farhan menoleh ke tepi. Selang tiga tempat dari tempat duduknya ada seorang lelaki yang sedang turut memandang ke arah si pesalah. Farhan kembali memandang si pesalah.

Benar.

Pesalah itu sedang tersenyum.

"Adakah dia tersenyum sebab tak takutkan hukuman? Atau dia senyum sebab hukuman tu mungkin bukan hukuman. Well, lima tahun hukuman paling minimum yang dia boleh dapat. Walaupun tanpa rayuan, dia dapat hukuman minimum dengan mudah. Macam semuanya dah dirancang."

Tubuh Farhan menggeletar. Rahangnya bergesel atas bawah. Dia menoleh kembali memandang lelaki di sisinya. Jika diperhati sekali imbas, lelaki ini kelihatan seperti seumuran dengan dirinya. Farhan ada di sini kerana perbicaraan ini melibatkan kematian ayahnya. Tapi kalau benar lelaki ini seumuran dengannya, apa yang budak sekolah buat dekat mahkamah sebegini?

"Kau siapa?" Soal Farhan.

Si lelaki memandang Farhan lantas tersenyum.

"Orang yang nak cari kebenaran."

MubramWhere stories live. Discover now