Bab 15

13 1 0
                                    

"FARHAN? Awak buat apa dekat sini? Awak kata awak sibuk?"

Beberapa hari lepas ketika Irdina mengajak Farhan datang, tunangnya ini kata dia tengah banyak kerja. Tidak mahu kelihatan seperti memaksa, Irdina biarkan saja Farhan menolak. Namun tanpa sebarang notis pemberitahuan, jejaka ini tiba-tiba muncul di Vila Percutian Sentosa. Tempat family day keluarga besar Irdina bakal dijalankan.

"Kam yang chat Abang Farhan. Kam suruh dia datang."

Kamila menapak ke arah Irdina dan Farhan lalu berdiri di sebelah kakaknya.

"Kamila hantar gambar Abang Eiyad dekat Abang Farhan. Terus Abang Farhan kata dia datang," bisik Kamila kepada Irdina dan mata Irdina serta merta membulat.

Kamila menepuk belakang Irdina, meminta gadis itu bertenang. Semua berada di dalam kawalannya.

"Sejak bila awak ada kawan lelaki? Menyewa dekat rumah awak pula tu. Siap ajak datang family day lagi."

"Erk... kami terjumpa hari tu. Lepas tu dia tak ada tempat tinggal dan.."

"Dan... apa kata Abang Farhan pergi letak beg dulu? Hah tu ada Kim. Kim! Kim! Tolong tunjuk tunang Kak Irdina ni bilik dia!"

Salah seorang sepupunya yang bernama Hakim yang kebetulan lalu dipanggil dan Farhan terus ditolak agar mengekori Hakim. Sebaik sahaja Farhan pergi, Irdina terus menampar bahu Kamila.

"Ugh! Sakitlah!"

"Ouh, tahu sakit. Yang kau bagitahu Farhan tentang Eiyad kenapa?"

"Ish, Kam nak tolong Kak Ngahlah!"

"Tolong apa? Tolong rosakkan hubungan kami? Kau nak sabotaj aku?"

"Mana ada nak sabotaj. Kam nak tolong Kak Ngah. Kak Ngah juga yang sedih hari tu kan bila Abang Farhan kata dia tak boleh datang? Jadi Kam dah buat rancangan rapi untuk Kak Ngah. Rancangan. Menambat hati. Encik Farhan."

"Menambat menambat apa kau ni? Merepeklah."

"Ish Kak Ngah ni. Dengarlah dulu. Manalah tahu kalau rancangan Kam ni boleh rapatkan hubungan Kak Ngah dengan Abang Farhan."

Irdina pandang Kamila dengan pandangan ragu.

"Rancangan apa?"

Kamila tersengih.

"Okey rancangan Kam macam ni. Kita, kena buat Abang Farhan sedar, yang Kak Ngah penting dalam hidup dia."

"Nak buat macam mana?"

Jarinya ditunding Kamila ke arah seorang jejaka yang kini sedang dikerumuni para sepupu perempuan Irdina dan Kamila.

"Kita guna Abang Eiyad. Dalam hubungan ni, kita tak boleh sentiasa tarik sahaja. Kadang-kadang kita kena tolak juga. Jadi Kak Ngah, mari kita buat Abang Farhan cemburu."





-Mubram-

IKUT jadual, family day keluarga besar Irdina akan berlangsung selama tiga hari. Dari Jumaat petang sehinggalah Ahad pagi. Selepas solat Jumaat, semua ahli keluarga belah papa Irdina berkumpul di Vila Percutian Sentosa, sebuah kawasan percutian yang berhampiran dengan Air Terjun Cenderik. Adik beradik Encik Nukman ada tujuh orang semuanya. Lima sudah berkahwin dan berkeluarga manakala dua orang lagi masih bujang. Encik Nukman anak yang ketiga.

Dua buah vila ditempah dengan setiap satu vila mempunyai enam bilik. Keluarga Irdina akan berkongsi vila dengan keluarga Pak Long Kecik dan keluarga Ngah Rahman.

Malam pertama family day, mereka rancang untuk bakar barbeku. Biasanya orang buat barbeku malam terakhir. Tapi disebabkan Pak Long Kecik yang buat jadual, terus diubah barbeku ke malam pertama. Tak sabar nak membakar katanya.

Irdina keluar dari vila setelah selesai solat Isyak. Halaman vila kini penuh dengan saudara maranya. Anak-anak saudara sibuk berlari ke sana sini. Mak cik-mak cik saudara sedang menyiapkan bahan perapan dan sepupu-sepupu lelaki Irdina pula sedang cuba menghidupkan api untuk barbeku. Halaman vila ini cerah dengan cahaya kerana pada petang tadi saudara-saudara lelaki Irdina sudah memasang beberapa lampu pendafluor dan LED. Memang meriah dan riuh rendah sungguh kawasan vila kini dengan keluarga besar Irdina.

"Kak Ngah! Kak Ngah! Kak Ngah!"

Terpandang sahaja kelibat Irdina, Kamila terus berlari anak mendapatkan si kakak dengan sebatang lidi sate di tangan. Lengan Irdina terus dipaut dan Irdina ditarik agar berdiri menghadap ke satu arah.

"Kak Ngah cuba tengok tu."

Bibirnya Kamila juih ke arah yang dia ingin Irdina tengok.

"Farhan? Kenapa dengan dia?" Soal Irdina. Pada pandangan mata Irdina, Farhan elok saja sedang mengangkat beg arang bersama-sama sepupu Irdina yang lain. Tidak ada yang pelik pun.

"Ish Kak Ngah ni. Cuba tengok betul-betul Abang Farhan tengah pandang mana?"

Matanya dikecilkan Irdina. Arah pandangan mata Farhan dituruti dan akhirnya berhenti pada seorang lelaki yang sedang memotong bawang bersama mak cik-mak cik Irdina.

"Nampak tak Kak Ngah? Dari sampai tadi, Abang Farhan tak habis-habis tanya tentang Abang Eiyad dekat Kam. Lepas tu dia tak berhenti perhatikan Abang Eiyad. Rancangan kita sedang menunjukkan perkembangan yang positif. Abang Farhan sedang berjaga-jaga sekarang ni."

"Berjaga-jaga untuk apa?"

"Berjaga-jaga untuk Kak Ngah lah. Dia tengah pastikan yang Kak Ngah dan Abang Eiyad tak ada apa-apa hubungan istimewa."

Hujahan Kamila buatkan Irdina memandang Farhan dan Eiyad silih berganti.

"Tapi Farhan bukan jenis yang kuat cemburu."

"Itu sebab Kak Ngah tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki! Kak Ngah dengar sini. Kita kena buat Abang Farhan rasa tercabar. Kita kena buat Abang Farhan sedar, dalam hidup Kak Ngah bukan ada dia seorang saja! Sekejap lagi, waktu makan Kak Ngah duduk sebelah Abang Eiyad. Biar Kam tolong. Kita tengok Abang Farhan buat apa."

Irdina pandang Kamila atas bawah.

Haih, boleh percaya ke adik dia ni?

MubramWhere stories live. Discover now