"YA, saya pergi hari tu memang ikan-ikan tu diorang angkat terus dari laut. Murah, segar. Tapi tu lah biasanya nelayan-nelayan ni tak bagi kita beli terus. Melainkan kalau kita kenal diorang. Kalau acik-acik pergi sana, acik sebut je nama saya. Diorang kenal saya, memang dia akan bagi acik beli punya."
Sebuah kerusi ditarik Kamila lalu diletakkan di sebelah Eiyad. Setelah itu Irdina pula ditarik dan dipaksa duduk. Nampak saja Irdina, Eiyad yang rancak berborak terus menoleh ke tepi dan senyuman serta merta menguntum di bibirnya.
"Dari mana?" Soal Eiyad dalam nada berbisik.
"Baru habis solat. Kau dah solat?"
"Dah tadi. Dengan papa."
"Boleh tak berhenti panggil papa aku papa?" Irdina menjengilkan mata.
"Tak nak. Nak panggil papa juga," sakat Eiyad. Sengaja nak buat Irdina marah.
"Haih, tengok Abang Eiyad dengan Kak Ngah ni. Nampak macam sepadan sangat. Betul tak Mak Teh? Mak Andak?"
Kamila mencelah di antara ibu-ibu saudaranya dengan suara yang sengaja dikuatkan.
"Betul lah kan. Kalau si Irdina ni belum bertunang. Memang elok sangat dipadankan dengan Eiyad. Dah lah baik, peramah, pandai buat kerja dapur pula tu." Kata-kata Mak Teh disokong dengan anggukan Mak Andak.
"Tapi disebabkan Irdina dah bertunang, melepaslah Kak Mas, untunglah kita! Eiyad boleh jadi menantu kami! Hahahahaha!"
Tawa makcik-makcik saudara Irdina pecah dan Eiyad turut ikut ketawa. Nampaknya bukan keluarga Irdina sahaja yang berada dalam belitan Eiyad kini. Keluarga saudara-saudara Irdina pun sama.
"Saya senang hati sangat mak cik nak jadikan saya menantu. Tapi mak cik. Sayangnya... hati! Saya! Ni! Dah ada yang punya..." Beritahu Eiyad sambil mengerling ke arah Irdina. Irdina buat tak nampak.
"Lah ya ke?"
"Melepaslah kita nak menantu hensem."
"Tak pe Mak Andak. Lelaki boleh kahwin empat."
Dalam riuh berborak, sepinggan daging yang sudah siap dibakar diletakkan di hadapan Irdina. Kerusi ditarik lalu gerangan penghantar daging terus duduk bersebelahan Irdina. Sebagaimana senyuman Eiyad menguntum tatkala melihat Irdina, bibir Irdina terus naik sampai ke telinga apabila si jejaka duduk di sebelahnya.
"Ouh, Abang Farhan tunang Kak Ngah dah sampai!" Kamila bersuara, mengalihkan perhatian saudara-saudaranya ke arah Farhan. Kamila memberi isyarat kepada Irdina agar segera memulakan rancangan mereka.
"Uish Farhan lama tak nampak. Makin segak ya sekarang."
"Biasa-biasa saja acik."
"Dengar cerita kamu dah jadi apa tu? Balai raya? Eh tak benda yang macam peguam tu."
"Pendakwa raya."
"Hah, ya pendakwa raya! Mesti gaji banyak masukkan?"
"Tak adalah acik. Kerja kerajaan. Buat kerja banyak mana pun. Gaji tetap macam tu juga."
Sedang sibuk Farhan berborak dengan mak saudara Irdina, Irdina menyiku Eiyad di sebelahnya secara sembunyi.
"Weh."
Eiyad angkat kening. Mulutnya sudah penuh dengan daging bakar yang Farhan bawa tadi.
"Nanti... aku tersedak daging. Kau buat-buat care fasal aku tau. Tu, tu. Air kau tu, bagi dekat aku nanti," bisik Irdina.
"Hah?"
Sekeping daging diambil lalu terus disumbat masuk ke dalam mulut. Kamila dipandang dan adiknya itu mengangguk, memberi isyarat agar Irdina terus memulakan rancangan mereka.
"Erm... sedapnya daging ni uhuk! Uhuk uhuk!"
Irdina buat-buat tercekik. Sesuai dengan apa yang diberitahu oleh Irdina tadi, Eiyad terus beri air kepada Irdina. Farhan yang sedang berborak dengan mak saudara Irdina lantas menoleh.
"Terima kasih Eiyad. Nasib baik kau ada." Suaranya dilembutkan Irdina.
"Erk... sama-sama?"
Irdina mengerling ke arah Farhan dari ekor mata. Tunangnya itu memandang Irdina seketika. Kemudian sambung berborak dengan mak saudara Irdina. Langsung tidak memberi perhatian kepada Irdina lagi. Irdina memandang Kamila lalu mata dibulatkan.
'Ini bukan macam apa yang kau cakapkan!'
Kamila angkat bahu.
'Jangan salahkan Kam. Tunang akak yang hati batu.'
Selepas buat muka tak bersalah, Kamila terus beredar pergi seolah-olah dia tidak ada kaitan dengan Irdina. Irdina mendengus. Dia tidak patut percayakan Kamila. Adiknya yang satu tu memang tak boleh diharap!
Pisau bekas potong bawang dan sebiji buah epal yang ada di atas meja dicapai. Irdina mengupas kulit buah itu dengan amarah yang cuba ditahan. Dalam tidak sengaja, jarinya tiba-tiba terhiris dengan mata pisau dan Irdina terus berdesis.
"Ugh!"
Darah keluar dari jari Irdina dan Farhan yang perasan akan hal tersebut segera bangun ingin mencapai tisu yang ada berhampiran tetapi Eiyad lebih pantas bertindak.
"Eh, Ird kau ni. Hati-hatilah," marah Eiyad.
Jari telunjuk Irdina dibungkus dengan segumpal tisu lalu pisau dan epal di tangan Irdina dirampas Eiyad.
"Aku tak sengajalah. Manalah aku tahu pisau tu tajam." Irdina mencebik.
"Ngek lah dia ni. Mana ada pisau tak tajam. Biar aku kupaskan. Kau duduk diam-diam. Nanti dah siap aku bagi," ujar Eiyad dengan tangan yang sudah lincah mengupas buah epal untuk Irdina.
"Okey..."
Farhan memandang Eiyad dan Irdina bersilih ganti dengan pandangan yang tidak dapat dibaca maksudnya. Buku limanya digenggam.
"Farhan? Ouh, Farhan? Dengar tak?"
Mak Teh mengipas-ngipas tangan di hadapan muka Farhan. Cuba menarik perhatian lelaki itu.
"Ya?"
Tumpuannya Farhan beri semula kepada ibu saudara Irdina.
"Mak Teh tanya. Kamu dengan Irdina ni, dah tiga tahun dah bertunang. Bila nak kahwinnya?"
Soalan ibu saudara Irdina menyebabkan Farhan terdiam seketika. Irdina yang turut mendengar soalan itu memandang Farhan dari sudut mata. Sejujurnya mereka berdua tidak pernah berbincang tentang tarikh perkahwinan mereka. Meskipun sudah hampir tiga tahun bertunang, Irdina sukar untuk membangkitkan hal tentang pernikahan kepada Farhan. Kerana Irdina tahu Farhan tidak suka.
"Farhan tengah stabilkan kerjaya dia lagi sekarang ni. Bila dah tiba masa yang sesuai, nanti kami bagitahu. Mak Teh doakan lah yang baik-baik untuk kami," jawab Irdina bagi pihak Farhan setelah kejanggalan mula menguasai suasana.
Eiyad memerhati Irdina dan Farhan sambil tangan masih sibuk mengupas buah epal.
Sejujurnya.
Tidak kira banyak mana Eiyad pandang mereka berdua sekali pun.
Pasangan di sebelahnya ini langsung tak nampak macam pasangan bercinta.
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...