23 Ogos 2015
Pinggan berisi nasi lemak diletakkan di atas meja. Baru sahaja dia menghempas punggung ke kerusi, rakan-rakan sekelas yang duduk di meja yang sama terus bangun dan beredar. Irdina mengemam bibir lantas menunduk. Sudu dicapai dan dia mula makan seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
"Tu kan budak yang bocorkan soalan exam? Disebabkan dia satu batch kena ulang peperiksaan."
"Aku dengar cerita dia kena paksa dengan geng Hajar."
"Eh, bukan dia pun geng Hajar ke?"
"Dia yang sibuk nak join geng Hajar. Hajar tu guna dia waktu perlu saja. Terdesak sangat nak dapat kawan. Sampai curi kertas soalan. Macam orang bengap pun ada."
Suara para pelajar berbicara tentang dirinya kedengaran jelas di telinga Irdina. Mencaci dan menghina hanya berdasarkan khabar angin. Sudu yang baru dicapai kembali diletakkan di dalam pinggan. Air mata yang ingin keluar ditahan lalu Irdina terus sahaja berdiri tegak.
"Tentang kertas curi tu!"
Keriuhan kantin sekolah reda apabila Irdina tiba-tiba memekik di tengah-tengah ruangan. Semua mata pelajar yang ada kini memandang ke arah Irdina, dengan pandangan yang penuh dengan syak wasangka dan kebencian. Irdina menggenggam buku limanya. Keberanian cuba dikumpul untuk mengungkap perkara sebenar namun matanya tanpa sengaja bertemu dengan mata Hajar.
Hajar Qistina.
Mereka berdua sudah berteman baik dari kecil.
Namun di saat Irdina terpalit dengan fitnah dan khabar angin mengarut, rakannya itu terus sahaja mengabaikan dirinya. Seolah-olah mereka berdua adalah dua orang asing yang saling tidak mengenali.
"Tentang kertas curi tu..."
Hajar menggeleng dengan wajah meraih simpati. Memberi isyarat agar Irdina tidak memberitahu perkara sebenar.
Irdina jadi serba salah. Di saat semua mata kini tepat memandang dirinya, Irdina tidak tahu apa yang dia patut lakukan. Lidahnya kelu dan fikirannya tiba-tiba jadi kosong.
"Tentang kertas curi tu, semua khabar angin yang berlegar semuanya tak betul!"
Suara seseorang kedengaran menyambung kata-kata Irdina. Irdina terkedu sejenak. Punca suara itu dicari dan Eiyad tiba-tiba muncul dari celah-celah pelajar. Si ketua pelajar melangkah ke arah Irdina lalu berdiri di sebelah sang gadis.
"Yang curi kertas soalan tu bukan pelajar ni seorang saja!" Pekik Eiyad.
Si ketua pelajar memerhati setiap wajah yang ada di kantin dengan sengihan sinis di bibir. Tangan disilangkan ke belakang.
"Bukan dia seorang saja yang curi sebab semua budak tingkatan lima bersubahat."
Kantin kini sunyi sepi tanpa sebarang suara. Tiga detik diambil, senyuman Eiyad lantas hilang. Wajah cerianya berganti dengan riak menggerunkan dan suasana di sekeliling kantin serta merta berubah menyesakkan. Sebuah objek berbentuk segi empat dicampak ke lantai.
Sebuah telefon pintar.
"Mengaku. Korang pun dapat kertas bocor tu malam sebelum exam kan?"
-Mubram-
"BETAPA bahagianya, hatiku saat ku duduk berdua denganmu..."
Baris pertama lirik Akad oleh Payung Teduh didendangkan Eiyad sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta Irdina. Irdina menjeling Eiyad dengan pandangan maut.
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...