HARI kedua family day, semua ahli keluarga akan berkelah di air terjun berhampiran dengan vila. Irdina pagi-pagi lagi sudah bangun dan bertolak ke air terjun. Sampai sahaja di air terjun, perkara pertama yang menarik perhatian Irdina ialah Eiyad yang berkepit dengan Farhan.
Ke mana-mana Farhan pergi Eiyad pasti ada.
"Eh mamat ni. Dia suka aku ke dia nak rampas semua orang yang aku suka?" Bebel Irdina.
"Perkembangan positif."
Kamila tiba-tiba muncul di sebelah Irdina sehinggakan Irdina tidak semena-menanya mengucap panjang.
"Abang Farhan ikut Abang Eiyad ke mana-mana sahaja. Dia mesti tengah rasa tercabar dengan Abang Eiyad sekarang. Sebab itu dia cuba kawal Abang Eiyad."
"Kau merepek apa ni? Dah sah-sah si Eiyad tu yang asyik ikut Farhan."
"Ish, akak ni. Cuba tengok tu. Buka mata tu luas-luas. Abang Eiyad pergi kiri, Abang Farhan pun pergi kiri. Bila Abang Eiyad pergi kanan, Abang Farhan pun ikut pergi kanan. Lagipun Kam dengar tadi, Abang Farhan asyik cakap, tolonglah aku. Kali ni saja. Hah, dia mesti minta tolong Abang Eiyad, supaya jangan dekati Kak Ngah!"
"Tak payah nak buat spekulasi. Satu-satunya perkara yang boleh buat Farhan tu keluarkan perkataan tolong adalah kerja dia. Si Eiyad tu, kerja pun tak ada. Nak minta tolong apa?" Bebel Irdina.
Bebelan Irdina masuk ke telinga kanan lalu keluar ke telinga kiri Kamila. Tangannya disilang Kamila ke belakang.
"Kalau Ka Ngah tak percaya. Itu masalah Kak Ngah. Tapi Kam ada satu idea bernas. Langkah terakhir dalam rancangan untuk buat Abang Farhan sedar yang Kak Ngah ni penting dalam hidup dia."
Irdina buka langkah, tidak mahu mendengar rancangan mengarut Kamila. Namun Kamila lebih pantas memaut tangan Irdina dan menghalang kakaknya dari pergi.
"Jom minta putus."
"Hah?"
"Minta putus tunang dekat Abang Farhan."
-Mubram-
DENGAR nasihat Kamila adalah antara benda paling tidak bijak Irdina boleh buat. Namun di sini Irdina berdiri. Berhadapan dengan Farhan. Bersiap sedia untuk melaksanakan langkah terakhir dalam rancangan Kamila.
Kata orang, kita cuma akan sedar betapa berharganya seseorang dalam hidup kita apabila kita kehilangan orang itu. Jadi itulah yang cuba dilakukan Irdina sekarang. Irdina mahu Farhan rasa kehilangan Irdina dan akhirnya sedar betapa pentingnya kewujudan seorang Irdina dalam hidup seorang Farhan.
Di akhir rancangan ini, apabila Farhan sudah takut kehilangan Irdina, Irdina akan terus bangkitkan tentang tarikh perkahwinan mereka.
Skrip sudah disiapkan oleh Kamila iaitu, 'saya nak kita putuskan pertunangan kita. Supaya kita boleh bergerak ke fasa seterusnya.'
Ayat itu dipraktikkan berulang kali dalam fikiran. Walau apa pun yang terjadi Irdina akan pastikan misi dia berjaya.
"Awak nak cakap apa?"
Soalan dilontar Farhan sekaligus mengganggu konsentrasi Irdina yang sedang mengulang-ulang skrip di dalam fikiran. Irdina memandang Farhan. Dalam cuba untuk bersiap sedia menuturkan skrip, entah macam mana Irdina boleh pula terleka memandang si tunang.
Hari ini Farhan mengenakan oversized windbreaker berwarna putih bersama dengan short tracksuit hitam bawah lutut. Rambut yang kebiasaannya disikat ke atas dibiarkan Farhan jatuh menutupi alisnya yang tebal. Bulu matanya yang panjang tersusun rapi menghiasi pandangan redupnya. Kulit Farhan yang sawo matang pula tampak berkilau tatkala terkena terik mentari pagi.
Bunyi air terjun memenuhi suasana di antara mereka berdua. Tatkala menatap wajah Farhan, Irdina serta merta hanyut dalam sepasang mata redup itu. Terlupa terus tujuan utama dia memanggil Farhan jauh dari kawasan saudara mara yang lain berkumpul.
Tatkala menatap wajah Farhan, rama-rama terasa berterbangan di mana-mana sahaja. Dunia terasa milik Irdina seorang kini. Ketika itu, satu soalan lantas muncul dalam fikiran Irdina.
My dear Lord.
Is it really possible?
Is it really posibble to love someone this much?
"Aduh. Dia dah mula dah. Parahlah akak aku ni. Baru pandang terus angau. Aku suruh tolak bukan tarik. Ni macam mana nak minta putus ni?" Bebel Kamila, si mastermind yang sedang menyorok di belakang batu besar. Pening terus kepala dia apabila tengok kakaknya yang mudah sangat cair apabila nampak si tunang.
"Buat apa tu?"
Suara seseorang menegur dari arah belakang kedengaran. Kamila menoleh. Kelihatan Eiyad sedang berdiri memandangnya pelik.
"Abang Eiyad. Menyorok cepat!"
Eiyad ditarik agar turut sama menyorok di belakang batu. Eiyad yang tidak bersedia terus melutut dengan muka yang hampir melekat di batu sungai.
"Tengah buat apa ni?"
Soalan diulang Eiyad kepada Kamila.
"Shhtt! Jangan banyak tanya. Tengok saja."
Eiyad melemparkan pandangan ke arah yang diperhatikan Kamila dan sepasang pasangan kekasih terus muncul di kornea mata Eiyad. Riak wajah Eiyad perlahan-lahan berubah.
"Ird? Irdina?"
Farhan mengibas-ngibas tangannya di hadapan muka Irdina, cuba menyedarkan gadis itu daripada terus angau.
"Hah? Apa? Ouh, maaf."
Irdina berdeham. Kepala digeleng-geleng. Irdina yang baru tersedar daripad angau pantas cuba mengawal riak wajahnya. Dia memandang ke arah lain sebentar dan cuba untuk menenangkan diri sendiri. Nafas dalam ditarik. Skrip yang sudah dipraktik bersama Kamila diulang untuk kali terakhir di dalam fikiran. Apabila diri dirasakan sudah bersedia dengan mental yang lebih kuat, Farhan kembali ditatap.
"Farhan. Sebenarnya saya panggil awak ni sebab nak bagitahu awak sesuatu."
Farhan sekadar mendengar. Ayat seterusnya daripada Irdina ditunggu.
"Saya..."
Liur ditelan Irdina. Sisi seluar tracksuitnya digenggam.
"Saya nak kita putuskan pertunangan kita," ucap Irdina sekali nafas.
Farhan terdiam. Riak wajah Farhan tidak berubah. Irdina menunggu reaksi daripada si tunang. Namun setelah beberapa ketika menunggu, Farhan masih sama. Langsung tidak bersuara. Rasa gusar mula menyelebungi diri Irdina. Dia mula berkira-kira sama ada dia patut atau tidak melontarkan ayat seterusnya kepada Farhan.
Sejenak berlalu, Irdina sudah tidak betah lagi menunggu. Mulut dibuka ingin membetulkan semula keadaan namun Farhan terlebih dahulu bersuara.
"Okey."
Mata Irdina tidak berkerdip. Bunyi air terjun yang tadi kedengaran jelas mengetuk gegendang telinga entah mengapa perlahan-lahan hilang.
"O... key?"
"Saya setuju. Mari putuskan pertunangan ni."
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...