30 minit yang lalu...
PINTU uber ditutup dan uber itu pun terus meluncur pergi. Kunci mangga dikeluarkan. Baru sahaja Eiyad mahu memasukkan kunci ke dalam lubang mangga, beberapa buah Sedan hitam tiba-tiba berhenti dan parkir betul-betul di hadapan rumah sewa Eiyad.
Lihat sahaja kereta itu, tangan Eiyad serta merta menggeletar. Beberapa orang lelaki turun dari kereta mewah itu, dan diakhir dengan seorang wanita dalam lingkungan 50-an. Wanita tersebut turun dari salah sebuah kereta setelah pintu dibukakan oleh anak buahnya Tangan yang mula menggeletar segera disembunyikan Eiyad ke belakang tubuh.
"What is this? Are you not going to escape this time?" Soal wanita tua yang anggun bergaya itu. Kaca mata hitamnya dibuka.
"I guess you are not going to run this time around since the evidences now in other people hands. Well, I heard you met up with a prosecutor. Trying to stab me from the back, huh?"
Eiyad menunduk. Terasa lemah serta merta dirinya kini tatkala berhadapan dengan wanita tersebut. Wanita itu tersenyum sinis.
"Sebab ni lah orang kata jangan jaga anak serigala. Kecil mungkin dia menurut, besar dia baham tangan yang bagi dia makan. Aku jaga kau dari kecil. Bagi kau makan, tempat tinggal. Tapi kau cuba nak masukkan aku dalam lokap? Kau memang... tak sedar diri."
Si wanita memberi isyarat tangan kepada orang suruhannya. Lelaki-lelaki itu pantas menceroboh masuk ke dalam rumah sewa Eiyad. Barang-barang yang ada di halaman habis dilontar dan dicampak. Pasu-pasu bunga yang ada dipecahkan hingga bersepai di tanah.
Barang-barang di dalam rumah pula habis diselongkar orang suruhan si wanita. Beberapa ketika berlalu, orang suruhan si wanita kembali berkumpul. Salah seorang dari lelaki-lelaki itu menggeleng. Tanda tidak menemui apa-apa dari dalam rumah Eiyad.
"Mana lagi kau sorok bukti-bukti tu? Lebih baik kau bagi aku sekarang," ujar si wanita.
"Tak ada."
Eiyad menjawab dengan suara yang bergetar. Si wanita menggenggam buku limanya. Tidak terfikir mahu menahan baran, tangan terus diangkat tinggi dan dihayun kuat ke wajah Eiyad.
"Fasal pendakwa raya tu aku dah bengang. Tapi kau tahu apa yang buat aku datang sini sedangkan aku boleh saja hantar orang-orang aku untuk kerjakan kau?"
Wanita itu menapak setapak mendekati Eiyad dengan senyumam menakutkan.
"Aku dapat gambar kau. Kau ketawa. Kau bahagia? Berani-beraninya kau bahagia? Berapa banyak kali aku kena ingatkan kau? Kau tak boleh bahagia!"
Wajah Eiyad dilempang lagi.
"Kau ni memang tak kenang diuntung!"
Pang!
"Sentiasa menyusahkan aku!"
Pang!
Tangan diangkat tinggi lagi, masih belum puas memukul Eiyad tetapi tangannya tiba-tiba sahaja ditepis seseorang.
"BERHENTI PUKUL DIA!" Jerit seorang gadis yang lantas berdiri di hadapan Eiyad. Gadis itu mendepakan tangannya, seolah-olah sedang cuba melindungi Eiyad.
"Dato."
Orang-orang suruhan si wanita segera ke hadapan mahu membantu tetapi si wanita yang digelar Dato itu memberi isyarat agar mereka tidak ikut campur.
"Kamu siapa?" Soal si wanita dengan senyuman.
"Mak cik tu siapa? Kenapa tiba-tiba datang rumaH orang lepas tu pukul orang? Gangster ke?" Soal Irdina kembali langsung tidak takut.
"Saya ibu Eiyad. Boleh panggil saya Dato Julia."
"Ibu?"
Irdina memandang ke sekeliling homestay rumah mereka yang kini berselerakan.
"Saya tak rasa macam tu. Ibu apa yang datang rumah anak dia. Buat sepah. Lepas tu pukul anak dia?"
Dato Julia memandang Irdina lalu tawanya pecah.
"Kalau anak kita ada buat salah. Mestilah kita kena betulkan salah dia. Didik dia semula. Pukul anak, itu adalah salah satu cara mendidik."
Wajah Irdina berkerut. Wanita di hadapannya ini langsung tidak nampak seperti manusia yang ada akal normal. Jauh lagi jadi ibu kepada seseorang. Irdina mengerling ke arah Eiyad yang berada di belakangnya. Lelaki itu tidak bersuara. Sewaktu wanita ini memukul dirinya pun Eiyad langsung tidak melawan.
Eiyad takutkan wanita inikah?
"Salah apa yang dia buat sampai mak cik pukul dia?" Soal Irdina.
Senyum lagak orang gila diukir Dato Julia untuk sesaat dan sesaat kemudian diganti dengan riak wajah menggerunkan.
"Dia ketawa."
Dahi Irdina makin berkerut.
"Untuk pengetahuan kau, dia ni tak sepatutnya bahagia. Sampai dia mati, aku tak akan benarkan dia bahagia. Aku tak akan benarkan sesiapa mencintai dia. Aku tak akan benarkan dia cintai sesiapa. Sepanjang hidup dia, aku nak dia terseksa!" Mata Dato Julia memerah dan terbeliak bagaikan hendak terkeluar.
Wajahnya didekatkan dengan wajah Irdina.
"Orang yang buat dia ketawa, aku pastikan orang tu hancur sehancur hancurnya. Jadi lebih baik kau pergi. Dan jangan masuk campur urusan keluarga kami."
Irdina menelan liur. Sedar yang dia kini sedang berdepan dengan seorang psikopat. Namun kaki tetap teguh dipasak, berdiri dan tidak mahu berganjak.
"Saya tak nak pergi," ujar Irdina.
"Saya akan buat dia ketawa. Saya akan buat dia dicintai dan saya akan mencintai dia. Saya tak tahu kenapa makcik nak dia terseksa tapi saya tak akan benarkan makcik apa-apakan dia. Saya akan ada dekat sini dengan Eiyad. Saya tak akan pergi. Kalau makcik nak hancurkan saya, silakan. Saya tak takut," cabar Irdina. Mata langsung tidak dikerdip saat bertarung dengan dengan mata Dato Julia.
Cabaran Irdina disambut dengan senyuman sinis Dato Julia. Dato Julia menjarakkan balik wajahnya. Dia memandang Eiyad dan Irdina bersilih ganti dengan kepala terangguk-angguk. Tanpa sebarang kata, Dato Julia memberi isyarat kepada anak buahnya dan mereka beredar pergi dari situ.
Usai Dato Julia beredar, Irdina terus berpaling.
"Eiyad. Kau okey? Siapa dia tu? Betul ke dia ibu kau?" Soal Irdina.
Eiyad mengangkat kepala dan ternyata wajah jejaka itu kini pucat lesi dengan bibir yang pecah akibat ditampar berulang kali. Nafas Eiyad nampak tidak teratur dan anak mata lelaki itu langsung tidak fokus.
"Eiyad. Tenang. Bernafas. Tak apa. Dia dah pergi. Dia dah tak ada. Bernafas Eiyad."
Nafas ditarik dan dihembus oleh Eiyad. Puan Masyitah yang tadi hanya memerhati dari jauh segera mendekati mereka berdua.
"Kenapa ni? Apa yang jadi sebenarnya?Siapa mereka semua tu?" Soal Puan Masyitah.
"Ma, ma tolong ambilkan air kosong boleh?" Pinta Irdina. Puan Masyitah yang perasan akan keadaan Eiyad mengangguk dan segera masuk ke dalam rumah semula.
"Eiyad, duduk dulu. Tenangkan diri kau. Nanti ma..."
"Farhan."
Eiyad bersuara. Matanya yang tadi langsung tidak boleh fokus kini memandang Irdina.
"Kita kena pergi dekat Farhan sekarang."
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...