"ALAMAK! Tinggal dua, tak cukup satulah pula."
Wardah pandang Irdina yang sedang menunggu gilirannya untuk mengambil donat susu. Hari ini pengurus mereka berbaik hati membelanja semua staf bahagian khidmat pelanggan dengan donat susu. Sekali sekala katanya. Nak bagi para pekerja bersemangat.
Irdina pandang Wardah lalu pandang Haziana. Hanya mereka bertiga saja lagi yang belum mengambil bahagian mereka.
Perutnya Irdina pegang.
"Erk... rasa kenyanglah pula. Tak apalah. Korang makanlah. Saya tak nak," tipu Irdina seperti biasa.
"Tak apa ke Ird?" Soal Haziana serba salah.
"Eh, tak apa. Saya tak minat sangat donat susu. Lagipun saya sakit perut sikit hari ni. Makan, makan. Jangan kesahkan saya," ujar Irdina lagi lantas terus beredar ke tempat duduknya.
"Wah, sejak bila kau tak minat donat susu ni? Rasanya dekat gerai depan tu muka kau saja yang beli donat susu hari-hari."
Alia datang lalu duduk bertenggek di meja Irdina. Donat miliknya dicebis lalu disumbat ke dalam mulut Irdina. Irdina tersengih.
"Terima kasih cinta."
"Sama-sama kasih baby."
Donat yang tersisa dihabiskan Alia lalu tangan ditepuk-tepuk, membuang habuk donat.
"Si ular sawa jadian tu apa cerita? Kau dah berjaya larikan diri daripada dia ke belum?" Soal Alia.
"Dia sewa homestay keluarga aku tiga bulan."
"Hah? Homestay yang depan rumah kau tu ke?"
Irdina mengangguk.
"Bukan kau kata dia tak ada duit ke?"
"Ya, aku ingatkan dia tak ada duit. Tapi dia siap bayar sewa rumah tu tiga bulan terus. In cash. Aku ada bagitahu kau hari tu kan? Yang waktu aku langgar dia tu, dia tak ada dompet tak ada apa-apa. Aku ingatkan dia kena rompak. Tapi dia kata dia tak kena rompak. Dia kata dia tertinggal dompet dekat hotel."
"Dah tu lelaki-lelaki yang kejar dia tu?"
Irdina tukar riak wajah, memimik riak wajah Eiyad.
"Hah? Lelaki apa?"
Riak wajahnya Irdina tukar semula ke biasa.
"Itu yang dia cakap bila aku tanya tentang lelaki-lelaki tu."
Alia silang tangan.
"Hm... mencurigakan. Tapi macam mana dia boleh sewa homestay kau? Bukan mama kau tak bagi orang sewa ke rumah tu?"
"Kau tahulah mama aku macam mana. Dengar cerita sedih sikit terus jatuh kasihan. Aku tak tahulah si ular tu goreng apa dengan mama aku. Tapi mama aku baik gila dengan dia. Sampai aku rasa si Eiyad tu anak kandung. Aku ni anak pungut."
Alia mengangguk-angguk.
"Mama kau dengan kau lebih kurang. Baik sangat. Jadi sekarang kau nak buat apa?"
Kepalanya disembam Irdina ke meja kerja.
"Tak tahu..."
Irdina sudah rasa seperti hendak menyerah. Walaupun Irdina cuba menghalau Eiyad, tetapi jejaka itu ada saja akalnya untuk tetap berada di hadapan dua biji mata Irdina. Irdina tidak pasti apa yang dirancangkan Eiyad sebenarnya. Yang Irdina tahu Eiyad memang sengaja nak buat Irdina sakit hati.
"Tapi Ird. Aku tak rasa kehadiran Eiyad ni teruk mana. Sejak dia muncul, kau dah mula nampak macam manusia. Kau nampak lebih positif."
"Hah?"
"Yalah. Kau yang sebelum ni sentiasa senyum, senyum, senyum, senyum. Itu sajalah yang kau tahu. Tapi sejak Eiyad datang..."
Jari telunjuknya Alia talakan ke muka Irdina.
"Kau dah pandai berkerut muka," ujar Alia.
Irdina menegakkan kembali tubuhnya.
"Sejak bila berkerut muka boleh buat aku nampak lebih positif?"
"Positif lah weh. Manusia tak lahir dengan satu emosi saja. The fact that you are not supressing your emotion when it comes to him is big green flag. Dont you feel it too? Bila ada dengan dia kau boleh jadi apa saja yang kau nak? Cakap apa saja yang kau mahu. Tanpa ada rasa takut. Tanpa kesah apa yang dia fikirkan tentang kau."
Tubuhnya Irdina sandarkan ke kerusi. Meskipun kata-kata Alia ada yang benar, Irdina tetap tidak mahu mengakui fakta tersebut. Jika ada hal berkaitan dengan Eiyad, entah mengapa ego Irdina tiba-tiba mencanak naik.
Dia tidak mahu kalah dengan lelaki itu.
Sebab lelaki itu Eiyad.
Eiyad Hanafi.
"Sejak Eiyad muncul ni. Aku dah lama tak dengar kau cakap tentang Farhan. Kau dah bincang belum dengan Farhan fasal tarikh kahwin korang?"
Topik diubah Alia.
"Entah. Kami tengah bergaduh."
"Bergaduh? Wah, kau tengah bergaduh dengan Farhan tapi muka kau langsung tak nampak macam risaukan Farhan. Keajaiban apakah ini?"
Alia tayang wajah takjub. Kebiasaannya kalau mereka bergaduh Irdina pasti tak senang duduk. Tapi sekarang boleh pula si Irdina tenang dan langsung tidak menggelabah. Seperti yang Alia jangkakan. Kehadiran Eiyad kemungkinan besar akan membolak balikkan kehidupan seorang Irdina.
"Entahlah," jawab Irdina acuh tak acuh.
Telefon pintarnya dicapai Irdina. Selama ini jika bergaduh, memang Irdina sentiasa jadi yang pertama menjernihkan semula keadaan. Namun kali ini, Irdina tidak rasa hendak buat apa-apa. Kata-kata Farhan tempoh hari agak melukakan hati Irdina. Untuk waktu sekarang, Irdina kalau boleh tak nak berfikir.
Eiyad atau Farhan.
Kalau boleh dia nak hapuskan kedua-dua manusia itu dari fikirannya untuk seketika.
"Mama kau sewakan dekat Eiyad rumah tu berapa sebulan?"
Ya. Irdina tak nak fikir. Tapi si Alia terus terusan buat Irdina berfikir.
"Seribu rasanya."
"Dan Eiyad bayar semua tu dalam cash? Bukan bankin?"
"Haah. Aku nampak dia bagi duit tu dalam sampul."
"Mak bapak dia kaya ke? Eiyad tu kerja apa?" soal Alia dengan wajah berminat sungguh ingin tahu tentang Eiyad.
"Entah. Aku tak tanyalah pula."
Alia mengusap dagu.
"Pelik."
"Apalagi yang peliknya Alia oi?"
"Tak. Cuba kau fikir. Kau kata kau nampak ada beberapa lelaki kejar dia waktu kau terlanggar dia hari tu. Dia bayar mama kau pakai cash. Lepas tu kau kata perangai dia macam ular. Entah-entah..."
"Entah-entah?" Irdina menunggu hujahan Alia.
"Entah-entah dia scammer! Dia join kongsi gelap lepas tu dia berhenti tapi orang-orang kongsi gelap tu tak bagi berhenti. Dia guna duit cash sebab tak nak orang-orang kongsi gelap tu dapat jejak dia sekarang dekat mana."
Mata Irdina naik ke atas berfikir.
"Aku tak rasa macam tu. Eiyad tu memanglah tak baik tapi aku tak rasa dia sertai benda-benda macam tu. Lagipun aku tak rasa dia daripada keluarga susah sampaikan nak jadi scammer. Waktu sekolah dulu aku pernah nampak dia turun dari kereta mewah."
"Siapa mak ayah dia?"
"Itu... aku tak tahu. Tak ada orang tahu tentang keluarga Eiyad. Yang pasti, Eiyad tu nampak kaya."
"Kalau macam tu dia mungkin gigolo. Kau kata dia hensem lepas tu mulut maniskan? Sah! Mungkin kereta mewah tu sebenarnya kereta mummy sugar dia."
Irdina menggeleng sambil buat muka tak percaya.
"Tak mungkinlah," ujar Irdina namun sedikit syak wasangka mula terbit dalam diri.
Tak mungkinlah
Kan?
Tak mungkinkan?
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...