"AKU tahu kau pakar dalam bab please orang. Tapi tak kan lah kau nak jadi people pleaser seumur hidup kau?"
Kepalanya digeleng-geleng Irdina. Ucapan mengarut Eiyad dibuang jauh. Irdina perlu fokus pada misinya sekarang iaitu misi menambat hati Puan Izzrin, ibu kepada Farhan. Dalam kata yang lain, bakal ibu mertua Irdina.
"Ini saja yang kamu bawa?"
Kotak berisi donat susu dibelek-belek Puan Izzrin. Irdina mengukir senyum sopan.
"Ird ingat nak singgah beli kek span yang mak suka tu. Tapi kedai dia tak buka pula hari ni."
Puan Izzrin tidak membalas. Peti ais dibuka lalu donat susu Irdina diletakkan di bahagian bawah sekali.
"Tolong angkat lauk pauk tu letak dekat meja," arah Puan Izzrin.
Irdina mengangguk lalu arahan Puan Izzrin segera dituruti. Sebuah mangkuk kaca berisi kari kepala ikan diangkat dengan penuh berhati-hati. Di ruang makan, kelihatan Farhan baru pulang dengan sepeket gula. Senyuman Irdina terus memekar tatkala melihat Farhan. Mangkuk berisi kari kepala ikan itu diletakkan di atas meja.
"Bila sampai?" Soal Farhan.
"Baru lagi."
"Mak dah siap masak?"
"Dah, tinggal nak angkat makanan saja."
Farhan menapak ke dapur dan Irdina segera membuntuti tunangnya itu dari belakang.
"Mak, ni gula."
"Hah, suruh si Irdina tu buat air," arah Puan Izzrin.
"Mak, Irdina ni tetamu. Tak kanlah dia datang dia yang nak kena buat air."
"Tetamu tapi bakal isteri kamukan? Kenapa? Bakal isteri kamu tu tak pandai buat air ke?"
Irdina ketawa kekok. Plastik gula di tangan Farhan dirampas.
"Eh, tak mak. Irdina boleh buat. Mak nak air apa?"
"Ikut kamulah," ujar Puan Izzrin kemudian dia terus berlalu ke ruang makan bersama semangkuk nasi putih.
Farhan menghela nafas lelah. Sebiji jag diambil dari dalam kabinet dapur dan diserahkan kepada Irdina. Setelah itu peti ais dibuka dan sepeket ais dikeluarkan.
"Nak bancuh air apa ni awak?" Soal Irdina.
"Awak bancuh je air sirap. Pati sirap ada dekat tepi tu. Saya nak angkat makanan yang ada ni pergi depan dulu," ujar Farhan.
Atas cadangan Farhan, Irdina pun terus membancuh air sirap. Setelah itu, mereka bertiga pun duduk di meja makan dan mula makan tengahari bersama. Puan Izzrin adalah seorang ibu tunggal dan Farhan adalah satu-satunya anak Puan Izzrin. Setelah kematian suaminya beberapa tahun yang lalu, Puan Izzrin menyara dan membesarkan Farhan seorang diri.
Disebabkan Farhan adalah satu-satunya anak Puan Izzrin, wanita lewat 40-an itu memang agak teliti dalam pemilihan pasangan Farhan. Atau dalam erti kata yang tidak begitu berselindung, Irdina masih lagi berada dalam tempoh ujian. Meskipun Irdina sudah bertunang dengan Farhan hampir tiga tahun, Puan Izzrin tetap tidak mahu menerima Irdina sebagai bakal menantunya. Irdina boleh makan semeja dengan Puan Izzrin pun kerana Farhan semata-mata.
"Kamu ingat Izara? Anak kawan mak yang selalu datang rumah main dengan kamu dulu? Mak dengar dia dah balik Malaysia dah. Sekarang tengah buat housemanship. Cantik budaknya. Dah lah sopan. Bakal doktor pula tu. Memang sesuai sungguh dengan kamu."
Bicara Puan Izzrin tidak dilayan Farhan. Jejaka itu sekadar tekun menghabiskan makanannya.
"Kamu rasa macam mana? Sesuai tak dia dengan Farhan?" Soal Puan Izzrin kepada Irdina tatkala Farhan mengabaikannya.
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...