Bab 28

8 1 0
                                    

BEG milik Irdina diletakkan di ruang atas tempat duduk. Eiyad membiarkan Irdina duduk di bahagian tingkap lalu dia mengambil tempat di sebelah si gadis. Beg sandangnya diletakkan di bahagian kaki lalu sehelai selimut dibawa keluar dan diberikan kepada Irdina.

"Terima kasih," ucap Irdina.

Seplastik pau yang dibeli di stesen bas turut dibawa keluar oleh Eiyad dari dalam beg.

"Nak?" Soal Eiyad.

Irdina menggeleng. Sebiji pau diambil Eiyad lalu lebihannya disimpan semula di beg.

"Eiyad."

"Hm?"

"Macam mana kau boleh datang jumpa aku?"

Soalan yang disimpannya sejak bertemu kembali dengan Eiyad akhirnya diaju. Dalam tempoh enam bulan Eiyad pergi, Irdina ada datang ke rumah agam Dato Julia. Rumah wanita kaya itu dikawal ketat dengan oleh para pengawal. Irdina cuba untuk bertemu dengan Eiyad tetapi tidak berjaya. Salah seorang orang gaji Dato Julia memberitahu Irdina bahawa Eiyad sedang dikurung dan dia tidak boleh ke mana-mana.

Kebakaran yang berlaku di rumahnya enam bulan lalu, Irdina syak ada kaitan dengan Dato Julia. Irdina cuba berbagai cara untuk mendedahkan kebenaran namun gagal. Dia tidak berjaya menuntut bela atas kematian keluarganya dan dia juga tidak berjaya untuk menyelamatkan Eiyad daripada Dato Julia.

Namun apabila Eiyad tiba-tiba muncul di hadapannya, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bahagianya Irdina sekarang.

Lelaki itu tidak apa-apa.

Sekurang-kurangnya mereka berdua tidak apa-apa.

Keluarga Irdina mungkin gagal untuk menepati janji mereka di mana mereka akan sentiasa bersama dengan Irdina tetapi janji Eiyad masih utuh. Eiyad menjaga dirinya seperti mana yang dia janjikan dulu pada Irdina. Lihat Eiyad, harapan baru mula bersinar dalam hidup Irdina.

Walaupun Eiyad datang tanpa notis dan tiba-tiba ajak dia lari, Irdina tidak kesah. Jika Irdina memang sudah tidak boleh hidup dengan tenang di hari mendatang, sekurang-kurangnya Eiyad ada di sisi.

"Ada orang tolong aku lepaskan diri," jawab Eiyad.

"Tapi kau jangan risau. Tak ada sesiapa ikut kita sekarang," tambah Eiyad lagi.

Tubuh disandarkan Eiyad ke tempat duduknya. Pau dicebis dan disuap ke mulut.

"Aku minta maaf," ucap Eiyad perlahan.

"Aku dah cakap tu bukan salah kau. Kalau ada yang nak dipersalahkan pun, orang tu Dato Julia," ujar Irdina.

Eiyad tidak memandang Irdina. Meskipun Irdina tidak membenci dan menyimpan sebarang dendam terhadap Eiyad, tetap sahaja Eiyad rasa bersalah. Irdina menghela nafas lemah.

"Kalau kau rasa bersalah sangat, apa kata kau lindungi aku dengan nyawa kau? Jangan biarkan Dato Julia tu apa-apakan aku," cadang Irdina.

"Kau datang jumpa aku semula pun sebab kau nak lidungi akukan? Kau boleh saja lari seorang diri, lebih senang untuk kau lari seorang diri. Tapi kau takut Dato Julia apa-apakan aku jadi sebab tu kau ajak aku lari samakan? Aku sentiasa dalam pemerhatian Dato Julia. Datang jumpa aku, mesti banyak benda yang kau risikokan."

"Aku bagitahu kau Eiyad. Hari di mana aku berdiri di depan Dato Julia untuk pertahankan kau, aku tak pernah menyesal dengan keputusan yang aku buat waktu tu. Walau waktu boleh diulang sekalipun, aku akan tetap buat keputusan yang sama. Kau tak masuk dalam hidup aku. Aku yang pilih untuk masuk dalam hidup kau. Sama macam sekarang, aku pilih untuk ikut kau."

"Jadi berhenti buat muka sedih. Kalau kau nak lindungi aku, kau kena jadi lebih kuat daripada Dato Julia."

Pandangannya perlahan-lahan Eiyad talakan kepada Irdina. Irdina mengukir senyuman.

"Senyum. Dato Julia nak kau menderita tapi aku nak kau bahagia. Jangan biarkan aku kalah dengan setan tu," ujar Irdina.

"Baru enam bulan aku tak jumpa kau, makin kasar pula bahasa kau."

"Untuk Dato Julia, itu bahasa paling sopan yang aku ada."

Mereka berpandangan dan tawa kecil terlepas. Ketawa mereka reda apabila pembantu bas datang memeriksa bilangan penumpang. Tatkala pembantu bas yang merupakan pak cik dalam lingkungan umur awal 40-an itu melepasi tempat duduk mereka berdua, si pembantu berhenti sebentar. Irdina dan Eiyad dipandang silih berganti.

"Laki bini ke?" soal si pak cik.

Irdina dan Eiyad tersenyum kekok lalu serentak menggeleng.

"Dah agak dah. Tu, tempat duduk belakang tu ada kosong. Lebih elok yang lelaki pindah sana. Tak cantik mata memandang duduk rapat-rapat macam ni," tegur pak cik tersebut lantas terus menghilang ke bahagian hadapan bas. Eiyad menghabiskan paunya kemudian barang-barang dikemas, mahu berpindah ke tempat yang dimaksudkan oleh pak cik tadi. Irdina memandang Eiyad. Otak ligat berfikir sesuatu.

"Kau akan lindungi akukan Eiyad?" soal Irdina.

"Kalau kau tak minta aku lindungi kau sekalipun, aku tetap akan lindungi kau. Walaupun badan aku tercerai berai hancur lumat, aku akan lindungi kau. Semut pun aku tak akan bagi gigit kau," tekad Eiyad. Irdina tersengih.

"Bagus. Tapi sebelum kau lindungi aku nampaknya ada sesuatu yang kau kena buat dulu."

Eiyad angkat kepala memandang Irdina.

"Apa dia?"

"Kau kena dapatkan pengesahan."

Dahi Eiyad berkerut.

"Jadikan aku isteri kau."


MubramWhere stories live. Discover now