IRDINA melemparkan pandangannya ke luar tingkap, atau lebih tepat lagi ke arah homestay mereka yang kini sudah tidak lagi berpenghuni. Keluhan berat dihela. Dia cuba menghalang Eiyad pergi tetapi jejaka itu tidak mahu mendengar kata-katanya. Farhan juga masih belum bangun sampai sekarang. Hidup Irdina kini terasa berantakan. Apa saja yang dia buat semua rasa serba tidak kena.
"Aku patut cuba halang dia. Aku tak patut biarkan dia pergi..."
Kakinya ditarik lalu dahi disembam ke lutut. Lama dia begitu, bunyi pintu diketuk kedengaran dan Irdina kembali mengangkat kepala. Pintu Irdina dibuka perlahan dan Kamila muncul dibuka pintu.
"Mama panggil kakak turun," beritahu Kamila.
Irdina turun dari katilnya dan mengekori Kamila ke tingkat bawah. Irdina jejak saja kaki ke tingkat bawah, party popper tiba-tiba sahaja diletupkan.
"Selamat hari Irdina!"
"Hah? Hari Irdina?"
Irdina ditarik Ikhwan dan Karina ke ruang tamu lalu Irdina terus didudukkan di sofa. Kamila memakaikan Irdina topi kon dan Puan Masyitah mengangkat sebiji kek lalu diletakkan di atas meja kopi.
"Apa ni? Kakak rasa hari ni bukan hari lahir kakak," soal Irdina kebingungan.
"Memang bukan hari lahir kau. Tapi hari ini hari Irdina. Kitaorang rasa kau asyik sedih saja sejak akhir-akhir ni jadi kitaorang pun macam, apa kata kita buat makan-makan untuk Kak Ngah. Biar dia ceria sikit," terang Idham.
"Mana ada Kak Ngah sedih..." nafi Irdina.
"Hah, ya. kakak tak sedih tapi kami nak kakak ketawa semula. Jadi, apa-apa pun. Apa kata kakak makan kek dulu?"
Kek keju mangga kegemaran Irdina dipotong Encik Nukhman lalu disuap ke mulut anak perempuannya. Irdina yang masih dalam kebingungan sekadar buka mulut dan makan potongan kek yang disua.
"Kak Ngah."
Kamila duduk di sebelah Irdina lalu lengan si kakak dipeluk.
"Kak Ngah, Kam sebenarnya nak minta maaf. Kalau Kam tak buat rancangan mengarut tu, mesti Kak Ngah dengan Abang Farhan..."
Irdina menggeleng.
"Kalau akak tak minta putus dulu pun, akak rasa dia dulu yang akan minta putus. Bukan salah kau. Lagipun sekarang ni Farhan dekat hospital. Kak Ngah cuma harap dia cepat-cepat baik."
Seisi keluarga Irdina memandang Irdina dengan pandangan yang diselit beribu emosi. Jelas mereka khuatirkan Irdina tetapi tidak dalam masa yang sama mereka tidak boleh nak marah Farhan. Sewaktu mereka menerima berita tentang Farhan dan Irdina ingin memutuskan pertunangan, pasti sahaja kelurga Irdina marah.
Namun kini apabila Farhan terlantar di hospital, mereka tidak tahu hendak melampiaskan marah ke mana. Semarah-marah mereka, mengharapkan perkara tidak baik berlaku kepada Farhan adalah perkara yang keluarga Irdina tidak akan pernah lakukan. Mereka sendiri pun susah hati bila dapat tahu Farhan kemalangan apatah lagi Irdina.
"Kak Ngah tak apa-apa. Semua jangan risau okey," ujar Irdina. Tahu sangat yang ahli keluarganya kini sedang risaukan dirinya.
"Haih, Abang Farhan dekat hospital. Abang Eiyad pun tak ada sekarang. Mesti Kak Ngah sunyi." Kamila sudah tercebik-cebik bibir mahu menangis. Irdina buku mulut, mahu menafikan tetapi Idham lebih pantas mencelah.
"Kak Ngah jangan sedih. Kami dah fikir masak-masak. Untuk bantu Kak Ngah lapangkan fikiran kami dah bersepakat nak hantar Kak Ngah pergi bercuti."
Ahli keluarga Irdina saling berbalas pandangan. Idham mengangguk memberi isyarat.
"Satu, dua, tiga... surprise!"ucap mereka bersama-sama seraya sekeping tiket kapal terbang diberikan Idham kepada Irdina.
"Eh, bercuti?"
"Pergi Korea Kak Ngah," beritahu Ikhwan.
"Hah? Eh, sekejap. Tapi kenapa satu je tiket? Yang lain macam mana?"
"Ayah dengan along tak dapat cuti. Adik-adik kamu sekolah. Mama kena jaga mereka ni. Kakak pergilah seorang. Lapangkan fikiran apa yang patut," ujar Puan Masyitah.
"Tapi..."
"Tak ada tapi-tapi. Orang dah belikan tu pergi saja. Duit semua tu jangan risau. Kami bagi. Kau pergi sana. Pastikan datang sini sebagai Irdina yang ceria semula. Aku dah tak nak tengok kau hidup sememeh berkurung dalam bilik tu," tegas Idham.
Mulut Irdina memuncung. Wajah setiap ahli keluarganya ditatap seorang demi seorang.
"Terima kasih," ucap Irdina.
Pada saat jatuh bangunnya, keluarga Irdina tidak pernah biarkan Irdina sendirian. Untungnya hidup Irdina, ada keluarga seperti ini.
Karina, adik bongsu Irdina menghampiri Irdina lalu Kak Ngahnya dipeluk.
"Karina sayang Kak Ngah," ucap si kecil.
Kamila turut memeluk Irdina.
"Kam pun sayang Kak Ngah!"
"Ikhwan pun."
"Erm, aku pun sayang kau Kak Ngah. Jangan sedih-sedih dah."
Encik Nukhman memaut lengan Puan Masyitah.
"Papa dan mama pun akan sentiasa sayang kakak. Papa nak kakak tahu, walau apa pun yang terjadi kami akan sentiasa sokong kakak. Kami akan sentiasa ada dengan kakak walaupun kami tak ada bersama kakak secara fizikal. Papa dan mama sentiasa doakan kebahagian kakak."
Irdina tersenyum dengan mata yang bergenang.
"Kakak pun sayang korang. Terima kasih sebab dah jadi keluarga kakak. Kalau diberi pilihan untuk lahir sekali lagi, kakak tetap akan pilih untuk lahir dengan keluarga ni. Walaupun kita duduk bawah jambatan sekalipun. Asalkan ada dengan korang, kakak tetap nak lahir sebagai Kak Ngah," ucap Irdina, memaksudkan setiap bait perkataannya.
"So... family hug?"
"Family hug!"
"I love you!"
Suasana di rumah keluarga Encik Nukhman malam itu gamat dengan ketawa. Mereka duduk bersama, bercerita dan berborak sehingga lewat pagi. Mereka memang sebuah keluarga yang bahagia. Keluarga. Bukan sekadar hubungan darah semata-mata. Keluarga, mereka adalah individu yang akan menerima kita walau dalam apa keadaan sekalipun. Keluarga tak ada gantinya. Sekali mereka pergi, yang datang mengganti tak mungkin akan sama.
YOU ARE READING
Mubram
Romance[Bab baru setiap hari jam 9 malam.] "Kau menarik. Aku nak simpan kau. Tapi untuk simpan kau, kau kena benci aku." Ular. Di hadapan semua orang, si jejaka tidak ubah seperti malaikat. Tetapi sebaik sahaja si jejaka berpaling, topeng malaikatnya ter...