"ABANG... Zayyad tak nak ikut orang tu. Kenapa pak cik tu tak nak ambik abang sekali?" tanya Zayyad sambil menangis tersedu-sedan. Tangannya erat memeluk pinggang Zayyan seperti tak mahu lepas.
"Abang pun tak tahu..." kata Zayyan perlahan sambil mengusap lembut kepala adik kembarnya. Mereka kehilangan ibu bapa mereka sejak kecil akibat kemalangan. Disebabkan kedua-kedua ibu bapa mereka merupakan anak tunggal, tiada atuk dan nenek juga menyebabkan mereka dibesarkan di dalam rumah anak yatim. Sudah enam tahun mereka dibesarkan di situ.
Berita yang mereka terima daripada abah dan umi, pasangan suami isteri yang mengusahakan anak yatim ini terus merunsingkan kepala Zayyan. Dia diberitahu yang ada sepasang suami isteri yang mahu mengambil Zayyad sebagai anak angkat. Kenapa Zayyad seorang saja? Kenapa bukan dengan dia sekali? Mereka juga tahu yang mereka kembar seiras. Sangat mirip wajah kedua-duanya. Zayyan dan Zayyad tak pernah berpisah sejak lahir. Kini selepas enam tahun, kenapa abah dan umi sanggup memisahkan mereka berdua?
"Abang tak boleh buat sesuatu ke?" kata Zayyad.
"Esok abang cakap dengan Umi dan abah. Zayyad jangan menangis okey?" Zayyan meleraikan pelukan mereka. Wajah Zayyad yang sembap itu dilihat. Perlahan-lahan tangan kecil itu mengusap air mata Zayyad lembut.
Keesokannya harinya Zayyan pergi ke pejabat milik Encik Hashim dan Puan Latifah, abah dan umi. Namun baru saja dia mahu masuk menolak pintu kaca, dia terdengar suara-suara lain. Dia terus tak jadi untuk masuk dan menyorok di sebalik dinding.
"Begini Encik Hashim, kali pertama saya tengok Zayyad, saya memang berkenan sangat untuk ambil dia jadi anak saya. Bila Zayyan dah 18 tahun nanti, saya tetap akan izinkan adik-beradik berjumpa," pujuk Yusuf. Bersungguh-sungguh dia memujuk Encik Hashim dan Puan Latifah untuk meletakkan Zayyad dibawah jagaan mereka. Tetapi Hashim dan Latifah berkeras, jika mahu mengambil Zayyad, mereka perlu menjaga Zayyan bersama.
"Tapi..."
"Saya mampu jaga Zayyad sebaiknya, tolonglah percayakan saya. Isteri saya sememangnya teringin seorang anak lelaki. Saya akan pastikan Zayyad tak ada kurangnya walaupun satu. Makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan, semuanya saya akan bagi," pintas Yusuf. Bersungguh-sungguh dia memujuk. Hashim dan Latifah saling berpandangan.
"Kami akan cuba bercakap dengan Zayyan dan Zayyad terlebih dahulu. Tapi kami masih tak menjanjikan apa-apa. Kami harap Encik Yusuf tak terlalu berharap," kata Puan Latifah pula.
"Baiklah, tolong fikirkan semula ya." Selepas itu, Yusuf bersalaman dengan Encik Hashim dan terus berlalu keluar. Ini kali ketiga dia datang ke rumah anak yatim ini untuk Zayyad. Sejak kali pertama melihat budak itu, dia tahu suatu hari nanti budak itu mampu untuk mengambil alih perniagaannya. Hanya Zayyad.
Zayyan tak jadi untuk berjumpa abah dengan umi. Baru saja dia mahu berlalu pergi, namanya dipanggil oleh Encik Hashim. Terhenti pergerakannya. Dia tahu yang Hashim pasti sudah mengagak yang dia mencuri-curi dengar perbualan mereka.
"Zayyan, Pak Cik Yusuf tu baik orangnya. Zayyad pasti hidup lebih baik dengan dia. Zayyan pun dah dengar tadi kan? Zayyan mesti nak Zayyad hidup gembira dan bahagia," pujuk Encik Hashim. Walaupun Zayyan agak muda tapi dia lebih matang dan rasional dalam berfikir berbanding Zayyad. Zayyan saja yang boleh memujuk Zayyad untuk menerima.
"Zayyan sayang Zayyad abah. Zayyan cuma ada Zayyad." Itulah satu-satunya darah daging yang dia ada. Berkongsi ruang yang sempit selama sembilan bulan dan sepuluh hari. Lahirnya mereka selang dua minit saja. Mana mungkin dia sanggup berpisah dengan Zayyad.
"Sebab Zayyan sayang Zayyad la, Zayyan kena fikir baik-baik."
Encik Hashim dan Zayyan saling bertatapan. Pandangan mata Encik Hashim penuh dengan harapan. Zayyan pula... penuh dengan kekeliruan.
Di dalam satu bilik yang gelap...
ZAYYAD baring meringkuk sambil memeluk lututnya. Lantai yang sejuk itu sudah menjadi tilamnya sejak dua hari yang lepas. Perutnya yang berbunyi kerana lapar itu pun dia abaikan. Yusuf telah menghukumnya dek kerana dia gagal ujian matematik. Tubuhnya juga sakit dipenuhi luka dan lebam. Ini bukan kali pertama dia dihukum begini, jika dia tidak dapat memuaskan hati Yusuf, dia akan dibantai dengan teruk. Yusuf mahu dia menjadi sempurna. Cukup sempurna. Tapi Yusuf lupa, dia hanya manusia biasa.
"Abang tipu Zayyad... abang kata Zayyad akan gembira... Abang tipu," kata Zayyad sambil air matanya laju mengalir. Dia memejamkan matanya dengan harapan yang dia dapat tidur ketika itu. Dia berharap, buka saja mata dia dapat melihat Zayyan dan semuanya akan kembali seperti dulu. Hanya ada Zayyad dan Zayyan.
YOU ARE READING
C | 𝐀𝐲𝐮𝐧𝐢𝐧𝐚
RomanceLima tahun lalu Ayunina terlibat dengan sebuah kemalangan yang menyebabkan dia hilang ingatan. Ayunina memilih untuk tidak terlampau menekankan diri dengan cuba mengingati masa lampau. Bagi Ayunina, setiap kenangan pasti akan kembali semula pada wak...