BAB 52

184 14 4
                                    

Dua bulan berlalu. Keadaan Nek Wati kini langsung tidak dapat mengingati apa-apa bahkan butir bicaranya tidak lagi seperti dulu. Diam, sedikit kaku dan raut wajah kosong, itulah gambaran Nek Wati sekarang.

“Hati-hati mak.” Perlahan-lahan Haqif memimpin keluar dari bilik air.

Wardah di dalam bilik sudah menyediakan pakaian. Bekerjasama mengurus Nek Wati. Kuranglah sikit penat lelah suaminya itu sepulang dari kerja.

“Siap doh,” bagitahu Wardah.

Haqif pusingkan tubuh. Dia duduk melutut di hadapan Nek Wati bersama senyuman lebar. Kedua belah tangan memegang tangan Nek Wati.

“Mak lapar tak?”

Nek Wati geleng.

Kepala didongak, memandang Wardah yang sedang menyikat rambut Nek Wati. Sesudah selesai, Nek Wati dibawa ke ruang tamu.

“Masuklah opah,” pelawa Wardah saat mendengar ketukan pintu.

“Siapa ada dekat rumah?”

“Mok nge Abe Haqif jah. Afiq dok balik lagi.”

Mak Idah labuhkan punggung di atas sofa bersebelahan Nek Wati. Kerap dia datang ke sini untuk melihat-lihat Nek Wati. Kesian juga kerana hanya Wardah seorang sahaja perempuan yang menguruskan Nek Wati.

“Opah. Wardah nok gi solat kejap. Nanti Abe Haqif naik. Abe Haqif gi ambik barey tadi.”

Mak Idah angguk mengiakan. Seketika dia mengurut lengan Nek Wati. Tak ada apa nak dibuat. Layankan sajalah sahabat baiknya itu.

“Kau mungkin tak ingat semuanya. Tapi aku bersyukur, kau masih bernafas. Sekarang kau sakit. Aku tetap akan teman kau Wati. Sampai akhir nafas.” Ujar Mak Idah.

Namun, Nek Wati hanya diam tanpa sebarang tindak balas mahupun kata.

Haqif memandang Mak Idah sekilas. Kasut but yang dibawa dari belakang rumah diletak ke tepi. Bunyi seakan sesuatu jatuh mengerutkan dahinya. Macam datang dari bilik dia saja.

“Wardah. Wardah buat apa tu?” Tanya Haqif.

“Dia cakap dia nak solat tadi. Tapi, opah dengar macam ada benda jatuh tu. Cuba pergi tengok.”

Haqif berlari anak menghampiri pintu bilik. Perlahan-lahan, pintu dibuka. Bimbang mengejutkan Wardah saat sedang solat.

“Wardah!” Panik Haqif masuk ke dalam saat melihat Wardah terbaring tidak sedarkan diri di atas hamparan sejadah. Pipi isterinya ditepuk beberapa kali bersertakan panggilan, tetapi langsung tiada tindak balas.

Tidak menunggu lagi, Wardah segera diangkat. Seketika langkah dihenti di hadapan Mak Idah.

“Opah, tolong Haqif tengokkan mak sekejap. Haqif hantar Wardah ke hospital dulu. Sekejap lagi Afiq balik.”

“Jangan risaulah. Hati-hati bawa kereta.”

Haqif segera beredar.

•••

“Simple, tapi elegan. Ini bagus. Saya luluskan draft awak.”

“Terima kasih bos!” Terbias raut gembira dan lega di wajah Yaya Mahira. Selesai satu kerja, memang legalah.

“Sama-sama.”

“Em kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar sambung kerja dulu.”

Eshal angguk mengizinkan. Telefon dilihat. Belum ada mesej tentang Nek Wati.

Kebiasaan, Afiq menghantar kemas kini tentang Nek Wati. Tidak disuruh Haqif kerana tidak mahu menyusahkan pak sunya itu. Sudahlah isteri mengandung. Jaga pula emak yang sakit. Buat apa tambah beban untuk bagitahu dia tentang Nek Wati setiap hari.

SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang