BAB 21

326 35 5
                                        

Bunyi siren masih tidak henti berbunyi. Asap hitam berkepul-kepul ke udara akibat letupan kereta seketika tadi. Situasi di kawasan itu hiruk pikuk kerana kemalangan berlaku yang melibatkan dua buah kereta, sebuah lori dan sebuah bas. Anggota bomba yang ada masih sibuk mengeluarkan mangsa-mangsa di tempat kejadian.

Bum!

Keadaan menjadi huru hara apabila kereta tersebut meletup sekali lagi sehingga salah seorang anggota bomba terpelanting ke belakang. Rata-rata orang sudah menunduk sambil menutup telinga.

Haffeen yang berada di kawasan itu menghampiri mangsa yang sudah dikeluarkan dan dihimpun setempat. Dia perlu jalankan tugas untuk memeriksa mangsa-mangsa tersebut bersama rakan sekerjanya.

“Yang cedera ringan, buat satu barisan dekat sini. Kami akan utamakan mangsa yang cedera teruk dahulu bagi mengelakkan sesuatu yang lebih serius berlaku.” Tutur seorang doktor.

Mata diliarkan memandang sekeliling. Dahi Haffeen berkerut halus memandang kereta yang renyuk di hadapan lori terbabit. Macam kenal, namun hatinya cuba menidakkan apa yang sedang difikir.

Dada mula berdetak tidak enak. Jangan cakap apa yang dia fikir itu betul.

“Feen, cari apa?” Syahir menegur. Tangan dijatuhkan ke bawah daripada memegang bahu Haffeen.

“Tak ada apa. Aku cuma tengok-tengok je.” Haffeen bergerak ke arah mangsa untuk diperiksa.

“Bawa stretcher ke sini. Ada seorang perempuan cedera parah dekat sini,” ujar anggota bomba tersebut.

Tali pinggang kaledar dibuka. Eshal cuba ditarik keluar perlahan-lahan, kemudian diletak di atas stretcher.

Saat Eshal dibawa ke ambulans, Haffeen cuba untuk melihat. Namun, mendengar namanya dipanggil membuatkan dia menoleh ke hadapan semula tanpa sempat melihat. Langkah diatur menghampiri doktor.

“Ada seorang mangsa cedera parah. Paramedik tak cukup tangan. Awak pergi tengok. Dia dah masuk ambulans sana,” tutur Doktor Ernina. Tangannya menunjuk arah kepada Haffeen.

“Baik doktor.” Haffeen melangkah pergi. Dia masuk ke dalam ambulans lalu duduk.

“Mangsa alami terlalu banyak pendarahan. Doktor Ernina khuatir dia takkan dapat bertahan lama.”

Haffeen hanya mendengar kata-kata paramedik itu. Matanya kaku sesaat saat melihat cincin di jari manis mangsa. Perlahan-lahan dengan penuh debar, mata naik memandang raut wajah itu. Mulut ternganga kecil. Apa yang difikirkan tadi menjadi benar. Eshal turut terlibat! Kereta tadi memang kereta isterinya.

“Eshal.... Astaghfirullah!” Cecair darah di pipi dan hidung Eshal dilap dengan tangan. Terasa lemah kakinya ketika ini.

Namun, Haffeen cuba sabarkan dirinya. Tiada guna dia beremosi di saat-saat seperti ini kerana dia mempunyai tanggungjawab penting iaitu merawat Eshal sepanjang perjalanan ke hospital.

“Abang kenal?” Paramedik itu menyoal.

“Kenal. Isteri saya.”

Paramedik itu terkedu. Tahu-tahu isteri sendiri ada dalam ambulans dengan keadaan setengah nazak. Pasti Haffeen terkejut besar.

“Semoga terus kuat, bang.” Tutur paramedik itu. Dia tak dapat buat apa-apa melainkan beri sedikit kekuatan.

Haffeen pejamkan mata seketika. Hatinya tersayat melihat keadaan Eshal ketika ini. Ada cermin tertusuk di bahagian paha. Lengan baju dan tudung sudah dicemari darah.

•••

Belakang leher yang terasa tegang diusap. Sesekali dia menelengkan kepala untuk menghilangkan rasa tegang itu. Syahir di sebelah turut melakukan hal yang sama.

SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFITempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang