Kain batik yang tersarung diperkemaskan. Pakaian dilipat dan dimasukkan ke dalam bagasi. Memandangkan dua hari sahaja dia tidur di rumah Mak Idah, kemudian terus balik ke Kuala Lumpur, elok dia kemas saja semua barangannya.
Pandangan mata dikalih ke arah pintu sesaat apabila Haffeen menolak daun pintu. Lelaki itu menghampirinya lalu melabuhkan punggung di atas katil.
"Banyak barang kau. Seriuslah balik kampung dua minggu, dua beg bagasi besar kau bawa?"
"Aku tak ada baju dekat rumah nenek. Kadang-kadang datang, malas nak basuh baju kotor. Nasib baik aku jenis tak cerewet sangat pasal pakaian. Kalau tak, dua minggu lima beg besar aku bawa." Eshal ketawa kecil.
"Naya kereta penuh dengan beg." Haffeen turut ketawa.
Saat Eshal berdiri daripada duduk bersila, Haffeen kalih pandangan ke arah lain.
"Kenapa kau pakai kain batik? Tak pernah-pernah aku tengok," kata Haffeen.
Eshal kerutkan dahi. Itu pun jadi soalan ke?
"Salah ke aku pakai kain batik? Memanglah kau tak pernah tengok sebab aku biasa pakai waktu malam dekat rumah je. Jarang keluar pakai kain batik."
"Lepas ni tak payah pakai depan lelaki lain. Kalau nak pakai juga, baju mesti bawah punggung. Atas daripada tu, tak boleh."
"Cuba cakap, kenapa?" Eshal bercekak pinggang.
"Sebab kau nampak seksi. Kain batik tu melekap sikit dekat bahagian belakang." Ujar Haffeen.
Eshal pandang sisi belakangnya sedikit. Tak adalah melekap hingga menampakkan bentuk. Mungkin masa dia nak duduk tu nampak kot.
"Gatal!" Betis Haffeen ditendang perlahan membuatkan lelaki itu ketawa.
"Aku cakap betul ni tau. Depan aku bebaslah kau nak pakai."
Eshal mencebik. Nak cuci matalah tu!
"Aku malas nak pakai seluar sekarang." Pakaian di dalam bagasi dibelek. Mungkin dia boleh tukar baju dengan yang lebih labuh.
"Tak apalah. Kali ni dimaafkan. Lagipun, dah lewat ni. Terus masuk tidur je nanti. Orang lain pun mesti dah nak masuk tidur." Ujar Haffeen. Jam yang berdetak menghampiri angka 12 tengah malam dipandang sekilas.
"Suami yang baik." Bahu Haffeen ditepuk beberapa kali. Lelaki itu hanya melorek senyuman nipis.
"Letak dalam beg tu," pinta Eshal. Satu plastik besar dihulur kepada Haffeen. Berkerut dahinya melihat isi plastik tersebut.
"Kain batik?" Soalan Haffeen dibalas anggukan.
"Hadiah perkahwinan daripada nenek. Ada kain pelikat untuk kau juga."
"Banyaknya."
"Itulah. Nasib nenek tak borong satu kedai." Eshal ketawa kecil. Beg bagasinya diperkemaskan lalu dizip. Siap pun kemas!
Pintu bilik ditolak seraya mengheret beg bagasi keluar. Haffeen bawa satu, dia bawa satu. Langkah kaki Eshal terhenti di hadapan bilik Nek Wati. Lantas, beg bagasi yang dipegang ditolak masuk.
Lebih selamat tinggal di situ memandangkan sepupunya masih ada. Bimbang pula ada yang buat bukan-bukan pada barangannya.
"Tak bawa sekali?" Haffeen menyoal hairan.
"Tak. Barang dalam bagasi tu dah cukup untuk dua hari. Nanti nak balik Kuala Lumpur, datang ambil semula."
"Okey." Tangan Eshal ditarik dan digenggam. Mereka berdua berjalan menghampiri ruang tamu. Penuh lagi dengan orang! Cucu-cucu Nek Wati mana pandai tidur awal.
KAMU SEDANG MEMBACA
SEHINGGA CINTA + BIDADARI HAQIF LUTHFI
Romansa[COMPLETE] [ROMANCE] Dua kisah dalam satu buku. *SEHINGGA CINTA* Tersilap calon lelaki? Macam mana boleh terjadi? Keputusan dibuat secara terburu-buru menjerat Eshal Naurah dalam keadaan yang dia tidak mampu keluar. Mahu membatalkan perkahwinan, itu...
