Bab 4

138 14 0
                                    

SAMPAI saja di rumah opah, Dahlia terus mendapatkan opahnya sambil teresak-esak menangis. Dia menangis di riba Opah Aminah hingga membuatkan Opah Aminah menggosok ubun-ubun kepalanya.

"Kenapa mama dan papa suka paksa Dahlia untuk buat apa yang Dahlia tak rela? Kenapa papa terima pinangan kawan dia sedangkan papa tahu Dahlia sayang pada Indra? Opah... apa ni? Kenapa semua ni jadi pada Dahlia?"

"Sabarlah, sayang. Mungkin jodoh antara kamu dan Indra tak ada. Janganlah sedih," kata Opah Aminah.

"Dahlia memang nak kahwin dengan Indra. Dari dulu lagi memang itulah impian Dahlia, opah. Papa dan mama tak patut buat Dahlia macam ni, Dahlia tak nak kahwin dengan lelaki yang Dahlia tak cinta."

"Tapi manusia hanya mampu merancang, Dahlia. Selebihnya adalah ketentuan Allah. Mungkin jodoh Dahlia memang dengan Nazril walaupun Dahlia tak cintakan dia."

Dahlia memandang opahnya dengan air mata yang bersisa.

"Apa ni opah? Kenapa opah cakap macam ni? Opah patutnya pujuk papa dan mama untuk terima Indra. Indra dah buat macam-macam kerja untuk kahwin dengan Dahlia. Dia bekerja siang malam untuk kumpul duit supaya dapat kahwin dengan Dahlia."

"Ya, opah tahu. Opah sendiri pun nampak kesungguhan Indra tapi macam mana opah nak cakap dengan papa kamu kalau dia memang dah muktamadkan keputusan dia? Opah ni hanya nenek. Papa adalah papa kamu. Jadi, opah tak boleh sesuka hati masuk campur dalam keputusan dia mengenai kamu."

"Tapi bukannya papa yang menjaga Dahlia dari kecil! Semuanya opah. Opah lagi faham Dahlia daripada mama dan papa."

Opah memeluk Dahlia.

"Macam nilah... Dahlia pergi buat solat istikharah. Minta petunjuk dari Allah SWT sepanjang empat hari sebelum Dahlia kahwin dengan Nazril. Opah tak boleh nak cakap apa-apa sebab ini adalah hak papa kamu sebagai wali. Opah cuma boleh harap kamu bahagia dengan Nazril walaupun pada awalnya kamu tak cintakan dia."

Lalu, Dahlia pun membuat solat istikharah sepertimana yang disarankan oleh Opah Aminah selama tiga hari dia berada di kampung malah selama tiga hari itu jugalah dia tidak langsung berjumpa dengan Indra kerana dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu lelaki itu tentang perkahwinan yang telah diatur oleh keluarganya.

Dahlia duduk termenung di balik jendela. Esok adalah hari di mana dia akan menjadi raja sehari bersama Nazril. Segala persiapan perkahwinan tidak pernah dia ambil tahu malah apabila Nazril menelefonnya pun dia tidak pernah menjawab.

Ring! Ring!

Tiba-tiba telefon rumah opah berbunyi hingga menyedarkan dirinya dari lamunan. Dahlia mencari-cari keberadaan opah supaya biar opah saja yang menjawab panggilan itu namun tiada kelibatnya.

Akhirnya, Dahlia yang pergi menjawab telefon itu.

"Helo," katanya.

"Helo, Dahlia. Betul ke apa yang saya dengar daripada opah?"

Dahlia terkejut.

"Indra..."

"Dahlia, kenapa awak buat saya macam ni? Awak dah janji dengan saya... awak nak kahwin dengan saya tapi kenapa saya dapat kad jemputan kahwin yang tertulis nama awak dan lelaki lain?"

"Indra, saya... saya tahu saya salah. Saya tahu saya dah mungkir janji dengan awak. Saya minta maaf."

"Itu saja ayat yang awak boleh cakap? Habis tu selama empat tahun ni segala usaha saya untuk memperisterikan awak macam mana? Awak tahu saya bekerja siang malam hanya kerana nak kumpul duit untuk kahwin dengan awak kan?"

"Ya, saya tahu semua tu. Tapi saya memang tak boleh nak buat apa-apa. Saya sayangkan awak tapi saya tak boleh nak ubah keputusan mama dan papa saya. Saya sendiri pun tak nak perkahwinan ni berlaku, Indra."

Janji Setia Padamu (Completed)Where stories live. Discover now