Bab 5

174 15 1
                                    

2010

BERITA kemenangan Indra Ashraf sebagai juara program realiti nyanyian One In A Million musim ketiga pada 2009 lalu kembali menjadi tajuk utama di setiap dada akhbar di Malaysia sebaik saja dia mengumumkan bahawa album solo pertamanya sudah mula berada di pasaran.

Siapa sangka pemuda yang dahulunya mempunyai latar belakang yang susah kini sudah bertukar kepada seorang penyanyi lelaki yang mula terkenal di Malaysia seiring dengan bakat nyanyian yang dia ada.

Indra sudah mula diburu oleh semua pengamal media serta para peminat yang menggila apabila berada di luar. Lagunya yang kian popular di corong-corong radio bertajuk Bagaikan Bidadari itu pula sering saja menjadi juara carta pada setiap minggu.

Sungguh, populariti yang dia punya saat ini amat luar biasa.

"Tahniah, Indra! Lagu kau jadi juara carta radio lagi," maklum Ali, pengurusnya.

Indra senyum.

"Alhamdulillah, ini semua berkat hasil kerja keras kita dan doa daripada keluarga aku," jawabnya.

"Hmm... lepas ni bolehlah kau fokus pada lagu-lagu lain pulak."

Indra mengangguk.

"Betul tapi itu semua kita hold dulu. Sebab aku nak balik kampung jenguk mak aku. Bulan depan kita start dengan official launching album terbaru aku."

Indra mengambil kunci keretanya dan memasukkan bagasi pakaian ke tempat duduk belakang.

"Aku balik dulu. Nanti apa-apa, kau BBM ajelah," katanya pada Ali.

Ali mengangguk faham.

Setelah dua jam memandu, akhirnya Indra tiba di kampung. Rumah keluarga yang dahulu daif dan buruk kini telah bertukar menjadi sebuah rumah batu yang besar dan selesa. Apabila terima saja wang kemenangan One In A Million, dia terus mengupah artikek dan jurubina yang bagus untuk mengubahsuai rumah keluarganya.

"Assalamualaikum, mak! Ada dekat dapur ke tu?" soalnya sambil membawa dua plastik penuh dengan barangan keperluan dapur.

"Waalaikumussalam! Ya, mak ada dekat dapur ni. Tengah parut kelapa," sahut Mak Esah dari dapur.

Indra senyum lalu berjalan menuju ke dapur dan di dapur, dia mendengar lagunya dimainkan di radio. Barangan keperluan dapur tadi dia letakkan saja di atas meja.

"Amboi mak! Tak jemu-jemu langsung ya dengar lagu tu dari pagi sampai petang."

"Lagu anak mak kan? Mestilah tak jemu."

Melihat Mak Esah sedang sibuk memarut kelapa membuatkan Indra menggeleng.

"Mak, kenapa tak guna blender yang Indra belikan tu? Haih... nak juga parut kelapa sendiri. Pakai blender aje kan senang."

"Kalau pakai blender, tak sedap kelapanya. Santannya tak cukup berlemak. Eh, banyaknya beli barang dapur. Barang dapur yang kamu beli bulan lepas pun masih ada dan tak terpakai tau."

"Oh, tak apa... ini boleh buat simpanan untuk dua atau tiga bulan lagi. Alaa... mak kan suka jamu orang kampung ni makan? Nanti mak boleh aje masak lebih lepas tu agihkan pada jiran-jiran."

"Yalah... terima kasih. Ini kamu balik sebulan juga ke?"

Indra mengangguk.

"Yalah, mak. Macam sebelum-sebelum ni juga. Kenapa mak tanya?"

"Tak adalah, mak suka kamu balik sini lama-lama tapi tak menganggu kerja kamu di bandar tu ke? Nanti ramai pulak yang cari kamu."

"Tak adalah, mak. Diorang semua tu dah faham dan tahu cara kerja Indra. Walau sesibuk mana pun Indra dekat bandar tu, Indra tetap akan balik sini jenguk mak."

Janji Setia Padamu (Completed)Where stories live. Discover now