Kereta diberhentikan di hadapan sebuah masjid. Izre membuka pintu kereta dan terus menuju ke tandas lelaki. Dia membasuh mukanya, berusaha menghilangkan rasa mengantuk yang menyelubungi.
Rambut yang serabai dikemaskan ke belakang. Sudah beberapa hari dia tidak pulang ke rumah, terlalu sibuk mencari adiknya yang hilang.
Izre merasakan suasana rumah yang sepatutnya menjadi syurga kini berubah menjadi neraka akibat Izerica yang mengadakan parti bersama kawan-kawannya. Suara bising dan tawa, mengganggu ketenangan yang sepatutnya ada di rumah mereka.
Dia membawa diri untuk duduk di tepi tangga utama berhadapan dengan pintu masuk. Izre berasa sungguh letih. Tugas-tugas di pejabat sudah menggunung, namun semua itu masih belum disentuh. Hari ini pun dia tidak masuk kerja.
Kelopak matanya perlahan-lahan bersedia untuk menutup mata. Suasana damai di sekitar masjid memberikannya rasa aman dan selesa.
Setelah beberapa jam terlena, Izre terjaga apabila seorang pakcik mengejutkannya. Lelaki tua itu tersenyum seraya membantunya bangun dalam posisi duduk. Izre menyapu mukanya berkali-kali. Berusaha untuk kembali sedar.
Dalam sekelip mata, dunia sekelilingnya kembali jelas, setelah itu dia menyedari betapa nyenyaknya dia tidur tadi. Kesan mengantuknya masih tak hilang lagi.
"Lama nak tidur dekat sini" ujar pakcik tua itu sambil tersenyum. Dia tak kisah pun jikalau ada orang muda berehat di masjid, tetapi kan lagi elok apabila berehat di dalam bukannya di tepi tangga masuk.
"Sorry, saya mengantuk. Tak apa lah, saya pergi dulu." Izre, meminta diri untuk beredar. Dia rasa tidak sesuai pula, dia yang bukan beragama Islam untuk menumpang tidur di tempat yang dianggap rumah Tuhan bagi orang Muslim.
Dia singgah di masjid itu pun hanya untuk menggunakan bilik air, setelah stesen minyak yang disinggahinya sebelum itu sedang dalam proses pembaikan. Oleh itu, dia tiada pilihan lain.
Dia juga pernah mendengar panduan untuk orang yang bukan beragama Islam, yang ingin memasuki masjid.
Bagi mereka yang ingin memasuki masjid, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Bagi umat Islam, ia lebih kepada amalan memakai pakaian sopan dan menutup aurat. Siapa yang ingin masuk perlu berpakaian bertutup.
Selain itu, mereka perlu menjaga ketenteraman, agar tidak mengganggu jemaah yang sedang beribadah, serta sentiasa memelihara kebersihan masjid.
Sesetengah masjid ada yang lebih terbuka dan menerima kedatangan orang bukan Islam dan ada juga yang lain lebih ketat mengenai peraturan masuk, terutama berkaitan dengan tujuan mereka kemari.
Izre bernasib baik kerana sewaktu dia datang kawasan masjid kosong, tiada siapa di situ. Pintu pagar pun terbuka luas.
"Eh, nak tunggu..."
Izre berhenti seketika dan memusingkan badan ke belakang.
"Mari masuk dalam. Zohor dah nak dekat." Ajak pakcik tua itu dengan senyuman.
"Tapi saya bukan..."
"Ada aircond dekat dalam, tak panas macam luar ni. Mari lah." Pakcik itu terus berlalu tanpa mendengar apa yang cuba disampaikan Izre.
Izre menggosok lehernya, rasa segan mula menyelinap masuk ke dalam dirinya, membuatkan dia merasa canggung dan tidak selesa. Entah bila kali terakhir dia merasa malu, dia sendiri sudah lupa. Tapi sekarang dia benar-benar malu.
Namun, untuk tidak menghampakan pakcik itu, Izre akhirnya mengikut juga langkah lelaki tua itu ke ruang mengambil wudhuk. Takkan dia nak masuk saja, dia sendiri pun tak tahu nak pergi mana. Silap masuk tak pasal kena halau.
YOU ARE READING
DESIRAN RINDU
RomanceTerkurung seakan burung di dalam sangkar. Ingin bebas berterbangan di luar. Muslihat orang tua menjadi penghalang dia ingin melebarkan sayapnya. Detik yang di nanti sepanjang tahun, berubah dengan sekelip mata. Sangkar yang pernah menjadi tempat kur...