Epilog

427 15 2
                                    

    ANGIN petang berhembus lembut membawa dedaun kering yang berserakan. Tangannya menggenggam erat sekuntum bunga mawar putih. Matanya terpaku pada sebuah batu nisan di hadapannya.

Nama sahabatnya terukir di situ bersama tanggal lahir dan wafat. Rasa seperti baru semalam mereka tertawa bersama, meluahkan apa yang dipendam di dalam hati dan berkongsi detik pahit dan manis. Kini, yang tersisa hanya memori yang terus bermain di benaknya.

Irene meletakkan bunga itu di atas pusara tersebut. Tangannya memegang buku kecil. Dia baru sahaja selesai membacakan surah Yassin untuk sahabatnya yang sudah bersemadi di dalam tanah. Inilah satu cara bagi dia untuk melepaskan rindu.

"Assalamualaikum, Hazel. Hari ni aku datang melawat kau. Kau mesti dah bahagia dekat sana kan? Setiap hari aku tunggu kalau-kalau kau jenguk aku dalam mimpi tapi kau tak datang pun." Ujar Irene. Dia bicara seolah-olah Hazel berada di depan mata.

"Kau nak dengar cerita tak, Hazel? Harini Ian cakap dia nak bawa aku pergi jumpa keluarga dia. Nak berkenalan dengan lebih rapat sebelum kami bertunang. Tapi aku takutlah. Aku tak sebaik kau. Kalau mama Ian tak suka aku macam mana?"

Irene senyum simpul. Kelakar. Jejaka yang dulunya dianggap paling menjengkelkan akhirnya mendapat tempat di dalam hati. Benarlah apa yang dikata, Gaduh-gaduh akhirnya terjatuh suka.

Cuma sekarang, Irene rungsing. Benarkah apa yang dipilih kali ini? Dia takut bahkan trauma dalam menjalinkan hubungan. Tak mahu peristiwa dua tahun lalu dimana dia terlalu menaruh kepercayaan pada seorang lelaki akhirnya bertukar tragedi. Luka dari peristiwa itu masih kekal berparut sehingga kini.

Meski dia tahu luahannya tak akan pernah dibalas, Irene tidak pernah jemu. Malah segala aktiviti yang dibuat hari-hari Irene ceritakan satu persatu. Dulu, Hazel pernah menjadi tempat untuk bersandar selain dari tuhan. Kehilangan wanita itu memberi impak yang sangat mendalam sama ada dari segi emosi mahupun perbuatan. Irene rasa terkilan. Kecewa. Bahkan sebersalah. Dia hanya mampu berdoa sedangkan Hazel bertarung nyawa tika melahirkan anak.

Namun Irene tetap meneruskan kehidupannya meski dengan rasa sunyi dan rasa bersalah. Dia sudah mampu menerima hakikat walau terasa berat.

Satu buku nota dikeluarkan dari dalam beg. Isi muka surat dibelek satu persatu. Diarinya. Segala luahan akan ditulis disini termasuk rindunya terhadap sahabatnya itu.

Sedar tak sedar, di depan pusara Hazel, air matanya bergenang. Belum sempat dia menulis, tangannya sudah bergetar hebat. Rasa rindu yang tidak berbelah bagi.

23 ogos,

'Genap empat bulan kau tinggalkan aku, Hazel. Tapi mengapa rasanya masih sama? Sakit, sunyi dan sulit untuk aku percaya kau benar-benar tiada.  Apa yang paling aku nak ialah untuk mendengar suara kau lagi. Mendengar suara kau, gelak tawa kau bahkan celoteh kau setiap kali aku buat salah. Aku rindu semua tu.'

Irene berhenti sejenak sebelum mengigit bibir. Menatap kata-kata yang baru ditulis tadi. Mata terasa panas. Tapi menolak untuk menitiskan air mata lagi. Sudah terlalu banyak air mata yang jatuh selepas kepergian sahabatnya.

Irene tertawa kecil. Teringat wajah putih bersih itu bertukar merah setiap kali membebel. Kemudian dia sambung menulis lagi. Kali ini rasa sebak di dada semakin tinggi.

'Aku cuba untuk kuat, tapi setiap kali aku duduk seorang diri, kenangan tentang kita kembali berputar dalam kepala aku. Tapi sekarang, tak ada yang boleh dibuat selain teruskan hidup. Jujur, aku tak pasti aku mampu... Tapi aku tahu kau tak mahu tengok aku macam ni. Kau pasti marah kalau aku terus terkurung dalam kesedihan ni. Jadi, aku akan cuba. Aku akan teruskan hidup dan akan selalu bawa kenangan kita bersama aku. Aku janji.'

Stellina: The Hidden Truth [ COMPLETE ]Where stories live. Discover now