BAB 23

1 1 0
                                        

Pagi di kampung itu terasa luar biasa meriahnya. Seawal subuh lagi halaman rumah kayu milik keluarga Haji Zain sudah dipenuhi orang. Bunyi suara orang berbual, bunyi periuk berlaga, dan gelak ketawa sanak saudara bercampur menjadi satu suasana yang hidup.

Hari itu keluarga besar mereka berkumpul untuk beberapa majlis sekali gus kenduri akikah, cukur jambul dan juga kenduri doa arwah untuk arwah Hajah Kalsom Di bawah khemah besar yang dipasang beberapa buah, di halaman rumah, kaum lelaki sibuk menyediakan bahan masakan. Beberapa kawah besar sudah diletakkan di atas tungku.

Encik Ariff iaitu ayah Ezlin, sedang berdiri bersama beberapa lelaki lain memotong daging di atas meja panjang.
"Ariff, daging tu potong besar sikit. Nanti masak kari sedap sikit," tegur seorang pakcik yang merupakan tukang masak pada hari itu. Encik Ariff mengangguk. "Haah lah, nanti kecil sangat orang komplen pula."

Di sebelah mereka, seorang lelaki sedang mengacau kawah minyak panas. Bunyi ayam digoreng berdesir kuat.
"Oi jangan banyak sangat letak ayam sekali gus. Nanti ayam lambat masak!" jerit seseorang dari hujung meja.

Di satu sudut lain pula, beberapa lelaki sedang menyiang bawang dan kentang untuk dimasukkan ke dalam kawah kari.
Sementara itu di beranda rumah, Haji Zain duduk di kerusi rotan sambil memerhati semua orang bekerja. Walaupun usianya sudah lanjut, suara lelaki tua itu masih kuat.
"Eh! Bawang tu potong halus sikit!" Salah seorang sepupu lelaki Ezlin terus menjawab. "Baik, atok!"

Beberapa saat kemudian Haji Zain bersuara lagi.
"Api tu jangan kuat sangat! Nanti hangus kari!" Seorang pakcik ketawa kecil. "Tok ni... tak tolong pun tapi arahan banyak."
Haji Zain terus menjeling. "Aku dah tua., tak berapa sihat. Tugas aku bagi arahan je." Mereka semua ketawa.

Di dalam rumah pula suasananya tidak kurang riuh. Dapur besar itu dipenuhi wanita-wanita keluarga mereka.
Bawang merah dan bawang putih dihiris bertimbun.Serai dan halia dikisar halus, kentang dikupas. Beberapa sepupu Ezlin duduk bersila di lantai dapur sambil mengopek bawang.
"Eh cepat sikit potong tu! Nanti lambat pula kari nak masak!" tegur Mak Teh dengan kalut.

"Alah Mak Teh, bawang ni pedih lah mata," balas sepupu Ezlin sambil mengesat mata. Ketawa kecil kedengaran. Puan Irdina iaitu ibu Ezlin, sedang berdiri di depan dapur sambil mengacau sup ayam. "Ezlin, tolong ibu potong daun sup dengan daun bawang sikit!" Ezlin mengangguk.
"Okay, bu." Balasnya dengan lembut. Mak Uda yang sedang cuci tangan berpaling kepada Puan Irdina.

"Kau buat bihun sup ke, Kak Na?"
"Haa, bihun sup. Laksa dengan pengat pisang, Kak Long yang buat..." Balas Puan Irdina. EaEzlin duduk di bangku kecil sambil memotong daun sup dengan laju. Di sekelilingnya beberapa makcik dan sepupu perempuan lain turut sibuk dengan kerja masing-masing.

Ada yang memotong bawang, ada yang mengupas kentang, ada yang mencuci pinggan, ada yang membasuh sayur dan kerja dapur yang lain. "Eh, Ezlin. Kau ni dari tadi diam je," tegur salah seorang sepupunya, Dhia. Ezlin hanya tersenyum.
"Dengar je lah." Mak Ngah yang sedang buat jelly kelapa, menyampuk. "Budak ni dari kecil memang macam tu. Mulut kurang tapi kerja laju." Semua orang ketawa kecil.

Ezlin hanya menggeleng sambil terus memotong daun sup.
Walaupun dia tidak banyak bercakap, tangannya tidak berhenti bekerja. Sesekali dia tersenyum melihat telatah sepupu-sepupunya yang riuh berbual. Di ruang tamu pula, suasana tidak kurang sibuk.

Beberapa sepupu perempuan sedang duduk di lantai menyiapkan doorgift untuk tetamu. Kotak kecil berisi manisan, kerepek, tasbih dan air kotak disusun kemas di dalam bakul besar. Miasara, adik Ezlin duduk bersila di tengah-tengah mereka.Tangannya laju dan cekap memasukkan barang ke dalam kotak. Namun matanya lebih banyak memerhati ke arah ruang tamu yang sedikit luas di hadapan mereka.

Di situ beberapa orang lelaki sedang sibuk memasang pelamin kecil untuk majlis cukur jambul. Kain putih berkilau digantung kemas di belakang pelamin. Bunga hiasan berwarna krim dan emas disusun cantik di tepi. Aircond ruang tamu pula terpasang kuat. Miasara memandang sambil menggeleng kecil.
"Ya Allah..." katanya perlahan. Seorang sepupunya yang sedang mengikat reben doorgift memandang.

AMPUNKAN AKUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang