Haziq merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat memproses makanan ringan. Oleh sebab sifat introvertnya, ditambah pula dengan sikap workaholicnya, Haziq walaupun sudah berumur pertengahan 30-an masih belum berkahwin. Pada suatu hari, Haziq ditugaskan oleh pegawai atasannya untuk meninjau kerja-kerja membaik pulih salah sebuah kilang dibawah jagaannya di Pekan Lama. Perjalanan ke kilangnya di Pekan Lama memerlukan dia melalui jalan lama yang sangat sunyi.
Perjalanan ke Pekan Lama dari rumahnya mengambil masa tiga jam. Haziq memilih untuk bertolak selepas maghrib, kerana dia berfikir untuk terus tidur dihotel sejurus sampai di Pekan Lama. Alkisah dalam perjalanannya, hujan turun dengan lebatnya. Haziq hanya mampu melihat beberapa meter sahaja di hadapannya. Tiba-tiba kenderaan milik syarikat yang digunakan Haziq rosak di tengah jalan. Oleh sebab hujan yang sangat lebat, Haziq enggan membuka hud kereta untuk memeriksa kerosakan. Takut-takut air hujan yang mencurah bakal menambah kerosakan.
Memandangkan jarak ke Pekan Lama hanya tinggal beberapa kilometer sahaja, Haziq memilih untuk turun dalam hujan dan berjalan kaki ke Pekan Lama, dengan harapan bakal ada kereta yang lalu untuk menumpangkannya ke Pekan Lama. Masa berlalu dengan perlahan dan tiada kereta berlalu.
Tiba-tiba dia melihat lampu sebuah kereta menghampirinya. Kereta itu dengan perlahan menaiki cerun bukit tempat Haziq berdiri. Kereta itu bergerak perlahan-lahan, mendekati dan muncul seperti hantu dalam hujan. Kerana hujan yang sangat lebat, Haziq membuka pintu belakang kereta tersebut dan terus masuk; setelah dia duduk dan menutup pintu barulah dia sedar bahawa tiada sesiapa di dalam kereta tersebut, malahan tiada langsung bunyi enjin. Kereta itu seakan-akan tidak dihidupkan langsung.
Kereta tersebut terus bergerak perlahan-lahan ke depan. Haziq mulai takut. Dia mula berfikir untuk keluar dan berjalan tetapi takut jika hantu kereta itu akan mengganggunya. Dari dalam kereta, Haziq dapat melihat kereta itu menghampiri selekoh yang tajam dan dek kerana masih terlalu takut untuk keluar, dia mula berdoa. Dia terus membaca segala ayat suci yang terlintas difikirannya. Beliau pasti kereta hantu itu akan terkeluar dari jalan dan menjunam ke dalam sungai bersebelahan.
Tetapi sebelum kereta itu tiba di selekoh, tiba-tiba sebuah bayangan muncul di sebelah tingkap pemandu. Sepasang tangan mencapai kedalam dan mula menggerakkan stereng kereta itu, membimbing kereta dengan selamat melalui selekoh. Setelah melepasi selekoh, tangan itu keluar semula dan bayangan di tingkap pemandu mulai hilang.
Namun begitu, tangan tersebut muncul semula setiap kali kereta itu melalui selekoh. Akhirnya Haziq yang semakin pucat ketakutan, memilih untuk keluar dari kereta dan berlari meninggalkan kereta tersebut.
Basah dan dalam ketakutan, dia pergi ke kedai makan berdekatan dan memberitahu semua orang disitu tentang pengalaman seram yang baru sahaja dilaluinya. Keadaan senyap dan suram mula menyelubungi kedai tersebut. Semua orang menjadi seram sejuk apabila mereka menyedari Haziq bercakap benar tentang kereta berhantu tersebut.
Ketika itu, dua orang lelaki tiba di kedai makan tersebut. Dalam keadaan basah dan pucat, dua lelaki itu memandang semua orang yang ada di kedai itu. Mata mereka terhenti apabila ternampak Haziq yang dalam keadaan basah kuyup.
"Itu dia!" Kata salah seorang lelaki,
"Si bodoh yang duduk relax dalam kereta kita masa kita tengah tolak kereta dalam hujan tadi"