Nak saya teman?

3.5K 153 14
                                    

Johar berdiri di hadapan bangunan berwarna biru hanya beberapa meter sahaja dari bangunan sekolah barunya. Asrama empat tingkat inilah bakal menjadi tempat tinggal Johar untuk lima tahun yang akan datang. Johar merupakan anak sulung daripada tiga beradik. Namun begitu, walaupun dia anak sulung, Johar merupakan seorang yang sangat manja kerana jarak beza umur dia dan adik-adiknya jauh.

Hari pertama dia ditinggalkan ibu bapanya di asrama, Johar mula rapat dengan seorang rakan kelasnya yang juga rakan sebiliknya, Zaki.
"Hari pertama terus buat kawan tahu. Kalau abang takut pergi tandas, boleh ajak dia teman", Johar teringat kata-kata ayahnya.
Boleh diajak teman ke tandas, itulah antara sebab utama Johar cepat-cepat mencari kawan.

Sudah menjadi ritual asrama itu. Setiap kali pelajar baru masuk, akan ada sesi bercerita mengenai pantang larang di asrama dan salah satu pantang larang asrama adalah 'kalau pergi tandas malam-malam, jangan ajak teman'. Ramai pelajar yang terkesan dengan amaran itu tetapi tidak Johar. Dia menelefon ibu bapanya sebaik sahaja mendengar larangan itu.
"ah, dia orang sengaja nak takut-takutkan pelajar baru itu. kalau abang takut, abang ajak je teman", nasihat bapa Johar untuk menghilangkan rasa takutnya itu.

Dua bulan berlalu, semua pelajar baru mendengar nasihat pelajar lama supaya tidak mengajak sesiapa teman ke tandas pada waktu malam. Johar pun masih belum pernah ke tandas pada waktu malam. Pada kebiasaannya, dia akan menyelesaikan segala urusan peribadinya seawal mungkin.

Pada satu malam, selepas pulang dari outing. Johar merasakan pulasan yang amat padu di perutnya. Mungkin kerana sebotol besar air bergas yang diminumnya ketika di pusat membeli belah siang tadi. Johar yang sudah tidak tahan lagi, memasang niat untuk ketandas untuk melepaskan hajat.

"Zaki, teman aku pergi tandas, sakit perut ini" rayu Johar kerana takut pergi sendirian.
"Apa kau ini, tengah-tengah malam sakit perut. kau makan apa?" rungut Zaki yang telah pun lelap pada asalnya.
Tiba-tiba kedengaran suara ketua dorm mereka menjerkah, "Woi, kau cakap apa tadi? kan aku cakap, pergi tandas seorang-seorang. tak payah ajak teman. sudah, kau tak payah pergi tandas. tidur!"
"Tapi abang, saya betul-betul tak tahan ini" ujar Johar dalam keadaan berdiri, mengemut punggungnya, menahan.
"Jangannnnn. kau dah ajak dia teman tadi kan? jangan pergi", tegas Afiq.
Johar yang sudah sangat tidak tahan lagi mula melangkah keluar. Sebaik sahaja dia membuka pintu dorm, kelihatan satu makhluk sedang mencangkung di tembok koridor. Betul-betul berhadapan dengannya. Rupanya hodoh, mata kemerah-merahan. Rambut panjang kusut masai, berkuku panjang sedang mengaru-garu dinding koridor.

"Nak saya teman?"

Himpunan Cerita Entah Apa-ApaWhere stories live. Discover now