hantu tumpang

2.2K 114 7
                                    

"Aku ini bukanlah nak menghalau, tapi Seman kau tak takut ke? Dah nak tengah malam ini. Rumah kau jauh kat hujung kampung. Balik naik basikal. Seorang-seorang pula itu. Nanti tak memasal ada hantu tumpang pula", seloroh Talib.
"Ish!! Celupar mulut kau Talib! Aku simbah dengan kopi ini baru tahu! Itu cerita hantu kampung sebelah. Lagipun, cubalah hantu itu kacau aku. Aku ini keturunan Panglima Garang. Sekali aku tumbuk hantu itu, berterabur gigi dia!", lagak Seman.
"Wah, berlagak betul ayat kau Seman", tegur Talib.
"Iyalah! aku balik. Zaki! Kau sambung main. Aku dah dapat haji satu itu. Jangan kalah!"
Dari lepas Isyak lagi Seman di warung Talib main dam hinggalah larut malam. Gaya lagak jalannya memang seakan keturunan pahlawan. Tambah pula jubah labuh fesyen bangla yang diragakannya malam itu. Kain jubahnya berkibaran dibelakang pabila ditiup angin.
Berbekalkan basikal tua berlampu dinamo, Seman mula mengayuh basikalnya untuk pulang ke rumah.
Perjalanannya sunyi melalui celah-celah ladang getah dan beberapa rumah orang kampung. Lagak-lagak Seman depan orang kampung, dalam hatinya kecut juga kalau-kalau hantu kampung seberang dah berpindah kawasan operasi.
Sedang elok dia mengayuh sebelum melalui rumah Hamidi bisu, tiba-tiba basikalnya terasa berat sangat. Sesekali terasa juga jubahnya bagai ditarik.
"Ah, sudah! Apa pula ini! Tolonglah jangan", rungutnya dalam hati.
Hendak toleh, tak berani. Hendak turun, takut dicekik.
Dia teringat pesan arwah bapanya dulu. Kalau kena kacau makhluk halus, buat tenang sahaja. Lagi kita takut, lagi dia berani. Nanti lama-lama hilanglah.
Kayuhannya terasa semakin berat dan tersangkut-sangkut. Begitu juga jubahnya, hampir tercekik dibuatnya bila jubahnya ditarik-tarik.
"Ini mesti dia bertenggek lepas itu tarik baju aku ini! Kurang ajar betul!"
Apabila Seman lalu di rumah Hamidi bisu, kebetulan Hamidi sedang menghisap rokok di luar rumah. Hamidi yang bisu hanya mampu menuding dengan jari. Melihat Hamidi menuding jari kearah bahagian belakang basikalnya dengan dahi berkerut, Seman berfikir betullah sangkaannya. Hantu tumpang sedang bertenggek dibelakang basikalnya.
Mati akal Seman dibuatnya. Peluh sejuk mulai keluar di dahinya. Nak ke rumah Hamidi, bisu. Manalah Hamidi boleh baca jampi-jampi halau hantu.
Kebetulan, simpang kiri dari rumah Hamidi boleh ke rumah Haji Din. Nekad, Seman mengayuh basikalnya selaju yang mampu meninggalkan Hamidi bisu terpinga-pinga di depan rumah. Namun makin dikayuh, makin berat rasanya. Makin tercekik dibuatnya. Dari jauh lagi Seman mula menjerit memanggil Haji Din.
"Tolong! Tolong! Haji Din Tolong!", teriak Seman dari jauh.
Tiba sahaja di depan rumah Haji Din, Seman yang tercungap melihat Haji Din sudah pun berada di luar rumah bersedia membantu.
"Ya Allah, kenapa kau ini Seman? Dengan jubah tersangkut dekat tayar, bawa basikal macam orang ternampak hantu. Kenapa?"
Dengar sahaja ayat yang terpancul dari mulut Haji Din, Seman toleh untuk melihat jubahnya yang dikata tersangkut di tayar.
"Laaaaa, mati-mati saya ingat hantu tumpang saya tadi Haji Din!"
"Itulah kau, pakai lagi jubah bangla ini"

Himpunan Cerita Entah Apa-ApaWhere stories live. Discover now