Suhana
Aku melangkah longlai. Kerisauan mulai menguasai diriku. Tapi kenapa aku perlu risau? Aku dan Shah tiada apa-apa hubungan yang sah. Ya, cuma kejadian petang semalam telah menyedarkan aku betapa aku juga seorang perempuan yang lemah. Aku juga perlukan seorang lelaki dalam hidupku.
"Hana," jerit seseorang dari pagar.
Aku menoleh dan tersenyum ke arah seorang gadis di pagar tersebut.
"Siti, aku tak siap lagi ni. Kau tunggu kejap ye," arahku.
Aku berlari-lari anak masuk ke dalam bilikku. Alamak! Dah pukul berapa ni? Kalau lewat pergi, mesti lewat balik. Mesti kena marah dengan mak bila dia sampai petang ni. Aku terkocoh-kocoh mencapai baju kurung di dalam almari. Dalam keadaan tergesa-gesa itu, aku tidak sedar yang aku telah meninggalkan Siti berdiri di luar rumah seorang diri.
Shah
Mana pula perginya fail aku ni?! Aku ke hulu ke hilir dari tadi mencari fail tersebut. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu lalu menepuk dahiku. Kan ada dalam kereta. Aku terlupa mengeluarkan fail-fail itu semalam. Aku capai kunci kereta lalu melangkah keluar. Dan pada waktu itulah aku terpandangkan gadis yang selama ini hadir di dalam mimpiku. Berdiri di situ ialah seorang gadis sebaya Suhana.
Rambutnya lurus dan panjang melepasi pinggang. Warnanya hitam pekat dan bersinar-sinar di bawah pancaran matahari. Kulitnya cerah dan licin sekali. Bibirnya merah tanpa secalit pewarna tiruan. Dan senyumannya... senyumannya sungguh manis sekali. Aku tidak sangka apa yang dibohongkanku kepada Suhana adalah satu kenyataan dan kenyataan itu ada di hadapanku sekarang. Aku pegang pintu besi dengan erat agar tidak tumbang di situ juga.
Gadis manis berbaju kurung itu melangkah perlahan ke arah pintu masuk rumah Suhana. Walaupun pakaiannya ringkas dan mukanya hanya disapu bedak, tetapi gadis itu tetap menawan. Gadis impianku selama ini sedang berdiri di hadapanku dan aku hanya mampu memerhati.
Aku cuba bersuara tetapi kata-kata yang ingin diluahkanku seolah-olah tersekat di kerongkong. Gadis itu menoleh. Mungkin dia sedar yang ada seseorang sedang memerhatikannnya. Senyuman terukir di bibirnya. Gadis itu menganggukkan kepalanya sedikit ke arahku tanda hormat. Aku juga melakukan perkara yang sama. Jam di dinding berbunyi. Alamak! Dah pukul 8 pagi. Aku perlu bertolak sekarang. Tetapi, hatiku berbelah bagi. Pergi bermakna aku akan kehilangan peluang untuk berkenalan dengan gadis itu.
Alah, syarikat keluarga. Takkan abang nak marah pula. Lagipun, aku bukannya nak buat apa. Nak cari bakal adik ipar untuk dia juga. Aku senyum sendirian. Aku memberanikan diri menghampiri gadis itu. Asyik sungguh gadis itu memerhatikan keindahan pokok bunga di situ sehinggakan dia tidak sedar akan kehadiranku. Aku mengambil peluang itu untuk memerhatikan gadis itu dengan lebih dekat lagi. Pagar yang memisahkan kami dipegang olehku dengan hati-hati.
"Ehem."
Terperanjat aku mendengan deheman tersebut. Jauh sungguh aku mengelamun. Gadis manis itu kini sedang berdiri di hadapanku. Rambutnya beralun ditiup angin pagi. Argh, dia lebih manis dari yang aku sangkakan.
"Kenapa? Ada apa-apa yang tak kena dengan saya?" tanya gadis itu.
"Tak.. tak.. Saya tak pernah lihat awak di sini sebelum ni. Jadi... ," jawapanku terhenti di situ.
"Saya juga tak pernah lihat abang di sini sebelum ini," balas gadis itu.
Aku tersenyum. Pintar! Tetapi yang lebih menggembirakanku ialah gelaran yang digunakan oleh gadis manis itu. Abang!
"Kawan Hana?" dugaku.
"Ya," jawabnya ringkas.
"Saya Shah."
YOU ARE READING
[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & Dia
RomanceGadis manis itu telah berjaya mencuri hatinya. Jadi, Shah yakin dia tidak bersalah kalau dia mengejar pencuri itu dan menghukumnya. Gadis manis itu perlu dikurung di dalam sangkar cintanya. *Sedang dalam proses penambahbaikan. Oct 07, 2013