Suhana
Suasana di belakang pentas hiruk-pikuk dengan aktiviti. Aku hanya memerhatikan dari jauh persiapan akhir yang sedang dibuat. Adam dan Siti yang terlibat di belakang tabir sekali-sekala melemparkan senyuman ke arahku.
Selepas majlis pernikahanku, semuanya kembali seperti biasa. Aku, Siti dan Adam kembali menjadi pelajar tahun akhir yang sibuk dengan peperiksaan terakhir kami. Siti dan Adam semakin rapat. Mereka akan kelihatan mengulangkaji pelajaran bersama di perpustakaan atau kafe. Kadang-kadang aku turut menyertai mereka.
Mengenali Adam dengan lebih dekat lagi membuatkan aku kadang-kadang cemburu dengan Siti. Selama ini aku hanya memerhatikan Adam dari jauh. Pada pandanganku Adam hanya seorang lelaki kacak dari keluarga berada sama seperti watak yang selalunya ditonjolkan di dalam filem atau drama. Dalam erti kata lain, bagiku, Adam tentu sekali seorang yang bongkak dengan kelebihan yang ada padanya. Tetapi sangkaanku meleset kerana Adam seorang yang sopan, baik hati, peramah, lucu dan merendah diri. Tidak pernah tiada tawa yang muncul dari mulut Siti atau aku sendiri ketika Adam bersama kami.
Aku mengeluh melihat cincin di jariku. Bukannya suamiku tidak melayanku dengan baik. Setiap malam dia akan menghubungiku. Suamiku juga seorang lelaki yang sopan, baik hati, peramah, lucu dan merendah diri. Tetapi kemesraan antara kami sepertinya tidak sama dengan kemesraan antara Siti dan Adam.
"Hana, maaf aku sibuk sangat. Kau tak marahkan?"
Aku mengangkat kepala melihat Siti yang kini duduk di sebelahku. "Tak, aku faham. Aku yang patut minta maaf sebab ganggu kau di sini," balasku.
"Tugas aku dah habis sebenarnya. Aku saja je menyibuk di sini," katanya.
"Kan senang kalau kau bagi tau yang kau tak boleh nak berenggang dengan kekasih kau tu," usikku.
Siti menjegilkan matanya ke arahku. Lebih-lebih lagi apabila satu tawa dari orang yang dimaksudkan menusuk gegendang telinga kami. Adam menghulurkan air mineral kepada kami. Dan satu lagi yang aku suka tentang Adam, dia tidak pernah mengambil kesempatan untuk menyentuh Siti. Malahan sekarang pun, dia duduk berhadapan dengan kami dan bukannya di sebelah Siti.
"Bila kenduri kahwin kau? Aku tak sabar nak makan nasi minyak ni," tanya Adam.
"Ah kau ni asyik makan saja. Persiapan dah pun dibuat. Tunggu saja kad jemputan ye," jawabku.
Adam menjuihkan bibirnya dengan jawapanku. Tetapi rajuknya tak lama kerana tawa kecil dari Siti berjaya mengukir kembali senyuman di bibirnya. Sekali lagi hatiku tersentuh. Ini yang aku maksudkan tiada antara aku dan suamiku. Kalau dalam bahasa Inggeris, 'no chemistry'.
"Wahai Puan Suhana, hamba sedar hamba seorang jejaka yang tampan bergaya. Tapi janganlah Puan Suhana merenung hamba sampai begitu sekali. Takut-takut benjol dahi hamba terkena pukulan sang suami," usik Adam.
Sekali lagi Siti tertawa dan senyuman di bibir Adam semakin lebar. Tapi kini giliran aku pula untuk menjuihkan bibirku. Tapi rajukku juga tak lama kerana tawa Siti memang berjangkit.
"Dah... dah. Aku lapar la Hana. Jom makan," ajak Siti.
Siti melingkarkan tangannya ke tanganku. Kami keluar beriringan sambil dituruti oleh Adam. Pentas yang dibina di padang bolasepak, kami tinggalkan. Kami menuju ke arah kafe berdekatan yang juga sibuk dengan aktiviti. Hampir terkehel leherku cuba mencari tempat duduk yang tidak dihuni.
"Hana!"
Aku menoleh ke arah jeritan suara itu. Hatiku berbunga riang melihatkan kelibat suamiku. Dia melambai-lambaikan tangannya ke arah kami. Aku cepat-cepat menarik Siti menuju ke arah suamiku.
YOU ARE READING
[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & Dia
RomanceGadis manis itu telah berjaya mencuri hatinya. Jadi, Shah yakin dia tidak bersalah kalau dia mengejar pencuri itu dan menghukumnya. Gadis manis itu perlu dikurung di dalam sangkar cintanya. *Sedang dalam proses penambahbaikan. Oct 07, 2013