-09-

1.1K 26 0
                                    

Shah

"Lagi dua minggu semester baru akan bermula. Inilah semester akhir bagi Hana. Hampir empat tahun Hana belajar dan akhirnya, cita-cita Hana makin hampir. Hana akan bertolak empat hari sebelum kuliah pertama bermula. Hana tak sabar-sabar..."

Bibir Suhana terus bergerak. Tapi bagiku, hanya kata-kata yang tidak bererti saja yang keluar. Berpura-pura menyayangi Suhana adalah perkara yang amat menyeksakan. Sejak kami bertunang hampir dua bulan lepas, sudah menjadi tanggungjawabku untuk melawat Suhana dan keluarganya. Itu antara syarat yang dikenakan oleh ibu. Itu pun jarang sangat aku ke sini. Alasanku mudah, aku telah berpindah ke tempat baru yang jauh. Rumah abangku juga sudah jarang kukunjungi.

Aku hanya mahu bersendiri. Sweater biru gelap aku ikat kemas ke pinggangku. Aku sentiasa ke mana saja dengan sweater tersebut. Hairan kerana Suhana tidak pernah mempersoalkannya. 

"Abang, dengar tak apa yang Hana kata? Ayah dah belikan tiket flight. Nasib baik ada. Hana tak nak bersempit dalam bas. Kalau sejam dua tak apa juga. Ini hampir enam jam. Hana tak..."

"Siti balik untuk semester ni?" tanyaku memotong celoteh Suhana.

"Ada. Kenapa abang tanya?" tanya Suhana pula.

"Tak ada apa-apa. Siti kan kawan kita. Abang tak nak pelajarannya terkandas," tipuku.

Suhana mengangguk tanda faham. "Hana dapat surat dari Siti dua hari lepas. Siti akan balik tapi seorang diri. Rumahnya yang di taman perumahan sebelah tu dah dijual. Kata Siti, mak dia tak akan balik dalam tempoh terdekat ni. Semua urusan perniagaan keluarganya akan diuruskan oleh papanya dari Amerika. Siti pula akan tinggal di kampus saja sehingga tamat pengajian dan terus pulang ke Amerika selepas tu."

"Hana dah beli semua barang yang nak dibawa? Kalau belum, esok kita boleh ke bandar," pelawaku cuba menukar topik perbualan.

"Dah. Malam tadi Hana ke bandar dengan famili. Hana dah beli..."

Sekali lagi kata-kata Suhana putus di situ dari pendengaranku. Dalam fikiranku hanya satu, Siti akan pulang. Dua bulan ibarat 2 tahun bagiku. Dapatkah aku bertemu dengan Siti lagi?! Kalau betul apa yang dikatakan oleh Suhana, Siti tidak akan lama di sini. Sehabis pengajiannya, dia akan berpindah ke luar negara. 

"Hana, kalau tak ada apa-apa lagi, abang balik dulu ye. Dah lewat ni. Lagi pun abang perlu siapakan proposal untuk client," tipuku lagi.

Aku cepat-cepat bangun dituruti oleh Suhana. Aku melangkah cepat ke kereta. Selepas melambai ke arah Suhana, aku memecut laju.

Suhana

"Apa maksud puan roommate saya dah bertukar? Siti ke mana? Kami dah jadi roommate pada setiap semester," kataku.

"Suhana, kamu kena ingat, ini Kolej Sukan. Siti memang sepatutnya ke Kolej Kesenian sejak semester pertama lagi. Kalau tak sebab kamu datang merayu pada saya setiap awal semester, takkan saya benarkan Siti menetap di kolej ni. Bertimbang-rasa Suhana. Kamu tak kesian ke melihat Siti terpaksa berkejar ke Kolej Kesenian setiap kali ada aktiviti. Kalau dia ada kenderaan seperti pelajar lain, tak apa juga. Ini kena mengharapkan bas universiti yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada," balas Puan Laili, Penyelia Asrama Kolej Sukan.

Aku terdiam. Di belakangku satu deretan panjang pelajar perempuan yang ingin mendaftar mula berbisik-bisik tanda tidak puas hati kerana terpaksa beratur lama. Aku tidak peduli.

"Okay, soalan terakhir, puan tahu nombor bilik Siti?" tanyaku.

"Maaf, saya tak tahu. Kamu kena ke Kolej Kesenian sendiri dan tanya pihak pengurusan sana," jawab Puan Laili.

Aku angguk lemah. Aku beredar memberikan peluang kepada pelajar lain untuk mendaftar. Selepas keluar dari pejabat kolej, aku menuju ke kafe kolej yang terletak bersebelahan dengan blok kediamanku. Selepas membeli makanan dan minuman, aku bergerak ke bilikku, A101. Pintu bilik aku buka dengan cermat. Bahagian yang sepatutnya menjadi milik Siti telah siap dikemas oleh roommate baruku. Inilah bilik yang pernah kami kongsi bersama selama tujuh semester. Aku meletakkan beg di atas katil dan makanan yang dibeli di atas meja belajar. Aku duduk atas kerusi belajar dan memandang ke luar tingkap yang bersebelahan dengan tempat meletak kenderaan. Di seberangnya terletak blok pelajar lelaki. Telefon bimbitku berdering nyaring. 

"Hello," jawabku lemah.

"Hana, abang ni. Macam mana? Jumpa Siti?"

"Tak. Siti dah tukar ke Kolej Kesenian. Puan Laili kata Siti yang mohon ditukarkan. Lepas berkemas dan solat Zohor, Hana akan ke sana. Abang macam mana? Sihat?" tanyaku kembali ceria. 

"Abang sihat. Tapi macam biasa, banyak kerja yang perlu dibereskan. Abang dah dapat teman serumah. Kamal namanya. Nanti abang kenalkan. Okaylah, kalau ada berita tentang Siti, call abang ye. Bye."

Aku mula membuka beg pakaianku. Aku perlu cepat berkemas. Jarak antara Kolej Sukan dan Kolej Kesenian bukannya dekat. Kalau jalan kaki, hampir satu jam baru sampai. Nasib baik tahun ni ayah belikan skuter untukku. Kalau tak, kena maki hamun lagi la jawabnya pakcik bas tu.

Shah 

Siti dah tukar kolej. Tapi kenapa?! Adakah kerana keputusan aku memilih Suhana? Aku mengaru-garu kepalaku yang tak gatal. Komputer di depan aku tenung dalam dengan harapan akan ada jawapan yang keluar dari skrin itu. Maria di hadapanku langsung tidak aku pedulikan. Sejak bertunang, hampir separuh kerjaku terpaksa diserahkan kepada pembantuku. Bukan aku tak mampu buat, tapi aku malas. Hatiku berat walau untuk makan sekali pun. Sweater biru gelap di dalam laci meja, aku ambil dan belek. 

"Bos, kenapa?" tanya Maria.

Aku menoleh ke arah Maria. Nafasku aku tarik panjang. Kalau tak kerana kerja yang bertimbun, dah lama aku terbang ke universiti Suhana untuk mencari Siti. Tiba-tiba telefonku berdering. Ah, mungkin Suhana dah jumpa Siti.

"Hello,"

"Shah, ni abang ni. Kau balik tak this weekend? Ibu pun ada di sini. Ibu baru balik dari trip ke China. Banyak hadiah yang dibelikan untuk kau dan Hana. Kami cadang nak buka hadiah-hadiah tu bersama," kata abang.

"Ehm, kalau ada masa, Shah ke sana. Abang, kalau tak ada apa-apa lagi, kita stop kat sini dulu. Shah sibuk ni," balasku.

Belum sempat abang menjawab, aku terlebih dahulu menamatkan panggilan. Ah, biarkan mereka kecewa dengan sikap aku. Mereka yang memaksa aku membuat perkara yang aku tak suka. Aku akan kahwin dengan Suhana tapi lebih dari itu, mereka boleh lupakan saja. 

"Maria, kita berhenti di mana tadi?" tanyaku.

"Tentang proposal dari Encik Rosli, semuanya dah okay tapi perlukan tandatangan dari bos dan Encik Mansor," jawab Maria. 

"Kalau macam tu, serahkan saja pada Encik Mansor esok. Biar dia teliti proposal tu. Projek ni terlalu besar untuk saya seorang buat keputusan. Saya tak nak ada yang silap nanti," kataku.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu," pinta Maria.

"Okay. Maria, panggilan penting saja sambungkan kepada saya. Panggilan dari famili saya, ambil mesej saja. Katakan kepada mereka saya sibuk," arahku.

Aku cuba menghubungi Suhana tapi telefonnya telah dimatikan. Mungkin dia tengah bersolat. Kenapa aku jadi begini?! Kenapa seorang perempuan berjaya buat aku gila sebegini?!

Maaf semua. Sibuk dengan kerja, suami, anak-anak dan COD.

Terima kasih kerana 'vote' dan 'comment'.

[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & DiaWhere stories live. Discover now