Shah
"Abang, tengok tu. Comelnya."
Aku tidak pasti kenapa dalam banyak tempat, negeri Perak Darul Ridzuan ini yang dipilih oleh Suhana sebagai destinasi bulan madu kami. Kami sekarang berada di Zoo Taiping & Night Safari yang terletak di kawasan semula jadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut atau Maxwell Hill. 2.5 kilometer trek berjalan kaki yang mengambil masa 45 minit.
Ini hari terakhir kami di sini. Dalam tempoh seminggu, boleh dikatakan seluruh negeri Perak telah kami jelajahi. Tapi sayangnya, kami tak sempat ke Pulau Pangkor. Lain kali kata Suhana.
Aku hanya mampu tersenyum dengan gelagat Suhana. Sikap manjanya sedikit berkurang sejak dia memasuki alam pekerjaan. Hubungan aku dengan keluargaku sudah semakin baik walaupun aku jarang berhubung dengan mereka. Ibu dan abang menepati janji dengan membiarkan aku membuat keputusan sendiri, melainkan kalau aku yang meminta pandangan mereka.
"Lepas ni kita ke mana pula abang?" tanya Suhana.
"Lepas ni kita terus pulang ke KL. Hana juga yang jemput rakan sekerja Hana datang ke rumah esok," jawabku.
Suhana menyusun jari tanda mohon maaf dariku. Aku hanya mengangkat bahu sebagai jawapan. Tindakannya yang suka membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dulu denganku merupakan perkara yang sering membuat kami 'berbahas'. Aku tidak tahu apa yang merasuknya menjemput rakan sekerjanya untuk datang ke rumah sedangkan penat berbulan madu pun belum tentu hilang lagi.
"Abang hanya perlu tunjuk muka, berbual sekejap dengan mereka dan berehat. Hana yakin mereka faham," pujuknya.
Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Aku membiarkan Suhana mengheretku melihat haiwan lain pula. Sebenarnya aku agak teruja ke sini. Aku tak pernah melawat zoo. Tapi berjalan kaki dalam cuaca yang panas ni, membuatkan mood aku sedikit panas. Air mineral telah aku habiskan.
"Siti kirim salam," kata Suhana tiba-tiba.
Tanganku yang sibuk menyelongkar beg mencari botol minuman terhenti. Aku hampir saja menghantukkan kepalaku ke pagar sangkar. Kenapa nama itu masih memberi kesan padaku? Kenapa hatiku masih berbunga riang hanya mendengar nama itu? Aku pura-pura tidak mendengar kata-kata Suhana.
"Abang dengar tak?" tanya Suhana.
"Dengar. Dan abang dah jawab salam tu dalam hati. Boleh kita bertolak sekarang?" tanyaku kembali.
Sesuatu terdetik di wajah Suhana tapi aku tidak pasti sama ada apa yang aku lihat itu benar atau tidak. Aku membiarkan saja perkara itu. Aku masih ingin tahu apa yang terjadi antara Kamal dan Suhana. Tapi setiap kali aku bertanya, hanya teka-teki yang aku dapat sebagai jawapan.
"Abang pun jemput Kamal untuk datang esok," kataku.
Dan seperti aku duga, mood Suhana bertukar. Tapi aku dah lama buat keputusan untuk tidak mempersoalkan secara langsung kepada dia atau juga Kamal. Bukannya aku akan mendapat jawapan pun. Jadi, aku kini lebih suka menjadi pemerhati. Melihat reaksi mereka apabila mereka merasakan aku tidak memandang.
Perjalanan pulang kami hanya diisi dengan kekosongan. Suhana lebih banyak melihat keluar tingkap. Aku pula selesa dengan keadaan ini. Topik perbualan antara aku dan Suhana amat kurang. Walaupun kami sama-sama menuntut dalam bidang Ekonomi, tapi aku lebih kepada pengurusan perniagaan dan dia lebih ke arah saham. Hobi dan minat kami juga jauh berbeza. Dia lebih banyak membaca dan menulis sedangkan aku lebih banyak ke arah musik.
Hampir meremang bulu romaku mengingatkan kembali puisi yang dicipta oleh Suhana untukku. Bukannya tidak indah tapi aku memang tidak berminat dengan apa saja yang berkaitan dengan sastera.
Jalan memasuki ibu kota sesak dengan kenderaan. Aku membelok ke arah kediaman mertuaku. Walaupun kenderaan telah aku hentikan dan ejin telah aku matikan, Suhana masih lagi dalam lamunannya.
"Hana." Panggilanku tidak dihiraukan Suhana. "Suhana." Aku mendekatkan mukaku ke mukanya. Patutkah aku lakukan apa yang sedang aku fikirkan sekarang?
Aku cepat-cepat mencium pipinya sebelum melangkah keluar dari kereta. Dari nada nafasnya aku tahu yang dia telah sedar apa yang aku lakukan. Laju kakiku melangkah ke arah rumah.
Suhana
Aku memegang pipiku. Rasa terkejut masih belum hilang. Nafasku turun naik. Cepat-cepat aku keluar dari kereta dan berlari anak menghampiri suamiku. Aku melingkarkan tangan kami. Senyuman di wajahku tidak dapat aku sembunyikan.
Walaupun kami telah melaksanakan tugas sebagai suami isteri tapi suamiku tidak pernah menunjukkan sikap mesra luar dari bilik tidur kepadaku. Adakah ini tandanya yang dia telah dapat menerima aku? Perasaan bersalah terdetik seketika di hati aku. Tapi aku padamkan. Dia suamiku. Tak salah aku mempertahankan rumahtangga kami.
Aku melepaskan tangan suamiku dan memeluk adik yang berdiri di muka pintu. Tangan ibu dan ayah aku salami. Perbuatanku dituruti suamiku. Selepas berbual seketika, kami meminta diri untuk berehat.
Sesampai di bilik, aku terus melemparkan badan ke atas katil. Bantal tidurku, aku tekup ke muka. Rindu aku dengan bilik ini. Sudah lama aku tak masuk ke bilik ini sejak berpindah.
Suamiku yang duduk di birai katil mula membuka baju yang dipakainya. Ini bukan kali pertama aku melihatnya tanpa pakaian tapi setiap kali, nafasku seolah-olah terhenti. Badannya yang tegap dan sasa menjadikan aku hampir angau. Mukaku merah menahan malu. Dia yang tidak sedar dengan pemerhatianku turut membuka seluar jeans yang dipakainya. Yang tinggal hanyalah boxer warna hitam, antara warna kegemarannya.
"Hana, tuala dalam almari ke?" Pertanyaannya mematikan khayalanku.
Aku terus bangun dan membuka pintu almari. Tuala warna biru yang dihadiahkan oleh Siti aku tarik dan aku hulurkan pada suamiku. Agak lama tapi tuala itu masih di tanganku. Aku toleh ke belakang. Suamiku hanya memerhatikan tuala itu tanpa sedikit pun bertindak untuk mengambilnya.
"Abang." Aku unjukkan tuala itu hampir ke muka suamiku. Matanya berkerdipan sebelum dia mencapai tuala itu dan berlalu ke bilik mandi.
Aku kembali berbaring di atas katil. Tanganku ligat berbalas pesanan ringkas dengan Siti. Aku tidak lagi menyebut nama Siti di hadapan suamiku. Malahan dia juga tidak pernah bertanya berita tentang Siti.
Aku dan Kamal masih bercanggahan pendapat. Bagi Kamal, adalah lebih baik sekiranya suamiku tahu akan perkara sebenar. Yang Siti tidak pernah melawatnya kerana dia tidak tahu suamiku dimasukkan ke hospital. Yang Siti tidak hadir ke kenduri perkahwinan kami yang ditukarkan ke kenduri doa selamat kerana dia dimaklumkan bahawa kenduri itu telah ditunda.
Bagi Kamal, walaupun suamiku tahu akan perkara sebenar, dia tidak akan sesekali meninggalkanku. Aku bersetuju dengan pendapatnya. Tapi apa gunanya aku hidup bersama seorang suami yang merindui gadis lain. Beginikan lebih baik. Tanpa Siti di hati suamiku, dia sudah dapat menerimaku. Walau apapun pendapat Kamal, aku tetap akan berkeras dengan keputusanku.
Suamiku keluar dari bilik mandi dengan hanya sehelai tuala melilit di pinggangnya. Aku menelan air liur melihat titisan air di badannya. Perkataan muscle, abs dan packs yang sering aku baca dalam novel Inggeris bermain-main di fikiranku. Aku segera menutup mata mengelakkan dari suamiku sedar yang aku sedang memerhatikannya.
"Hana, tak nak bersihkan diri ke? Nanti badan tak selesa pula," tegur suamiku.
Aku pura-pura mengeliat tapi senyuman dari suamiku menjadikan rona merah kembali menerjah wajahku. Dia tahu! Aku bangun dengan tuala melilit di mukaku. Tapi kakiku tersadung dan hampir saja tersembam kalau tak kerana satu tangan sasa yang memeluk pinggangku. Jantungku berdegup kencang merasakan kehangatan dari tubuh sasa yang memelukku.
"Abang tunggu Hana," bisik suamiku.
Aku genggam erat tuala yang masih melilit mukaku. Badanku tiba-tiba seperti berada di awangan. Sedar saja, aku kini sudah berada di dalam bilik mandi. Suamiku keluar meninggalkanku yang masih lagi berdiri kaku di situ. Sebelum pintu bilik mandi tertutup rapat, aku dapat mendengar tawa nakalnya.
Ya, aku nekad. Aku tak akan sesekali melepaskan suamiku pergi.
YOU ARE READING
[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & Dia
RomansaGadis manis itu telah berjaya mencuri hatinya. Jadi, Shah yakin dia tidak bersalah kalau dia mengejar pencuri itu dan menghukumnya. Gadis manis itu perlu dikurung di dalam sangkar cintanya. *Sedang dalam proses penambahbaikan. Oct 07, 2013