Suhana
Jam baru menunjukkan ke angka 6.00 pagi tapi aku telah dikejutkan oleh raungan anak jiran sebelah. Selalunya selagi tak 6.30 pagi, aku tak akan bangun. Tidur amat penting buatku. Tentu sekali selepas tidur, makan jatuh di tempat kedua. Aku melangkah kaki ke jendela dan mengintai aktiviti di rumah jiranku.
Mereka jiran baruku. Baru sebulan rasanya berpindah ke sini. Aku pernah nampak si suami. Baik hati orangnya....kerana ayah selalu memuji lelaki itu. Si isteri juga baik hati. Tapi, anak-anaknya... Haihhh. Aku menarik nafas panjang. Yang sulung Farah namanya. Masih di Tingkatan 3. Meluat aku melihatnya. Mengada-ngada. Yang nombor dua tu baik sikit. Sikit la kalau nak dibandingkan dengan yang sulung tu. Farid rasanya nama budak tu. Aku rasa si Farid ni belajar dalam Darjah 6. Dan yang terakhir 9 tahun usianya. Selalu merengek dan meraung. Kalau tak silap aku, namanya Faris.
Tiada yang menarik yang dapat aku simpulkan dari hasil intipan aku sebab suasana masih lagi gelap dan hanya lampu jalan yang menerangi kawasan luar manakala langsir yang menutupi jendela rumah mereka, membatasi pemandangan aku. Aku menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri sebelum solat.
"Mak, kenapa Faris tu selalu menangis? Kenapa dia tak suka ke sekolah?," tanya adik.
Aku, mak dan adik sedang menghadapi sarapan pagi tanpa ayah yang masih lagi mencari sesuatu di dalam bilik bacaannya. Mak hanya senyum tanpa menjawab soalan adik. Aku pula tak pernah ambil kisah sangat pasal jiran sebelah ni. Bukannya dapat hadiah pun kalau aku masuk campur hal ni. Dapat penat ada la. Aku kerling adik sepintas lalu sebelum meneruskan suapan nasi goreng.
Jam sudah pukul 7.00 pagi. Selepas 15 minit barulah adik aku akan bertolak ke sekolah. Selalu macam tu. Kalau aku dulu, pagar sekolah tak buka lagi dah tercongok mengalahkan pak guard depan pagar tu. Budak-budak zaman sekarang ni banyak lemak betul. Eh, terkutuk pula. Dalam aku berkira-kira nak menambah sepinggan lagi nasi goreng, ayah turun dan duduk bersebelahan dengan mak. Sambil bersarapan, ayah tanya apa yang aku dan adik nak buat hari ni. Adik beria-ia menjawab tapi aku pula hanya berlebih-kurang. Bukan kurang ajar tapi aku sendiri tak tahu nak buat apa dalam cuti semester ni.
Oh ya, lupa pula nak perkenalkan diri aku dan famili aku. Nama aku Suhana. Masih belajar lagi di salah sebuah IPTA di Malaysia ni. Cita-cita aku nak jadi pakar ekonomi. Jadi aku ambil jurusan Ekonomi. Satu-satunya adik aku, Suraya, masih di Darjah 5. Jauh sungguh beza usia kami. Aku dah 22 tahun, dia baru 11 tahun. Perancangan keluargalah katakan. Tapi, itu tak menghalang aku untuk menyayangi adik aku. Ayah aku, Encik Ramli adalah pengusaha restoran terkenal di bandar ni. Tak tau la pula ayah aku atau restoran dia yang terkenal tapi pendek kata terkenal la. Mak aku pula, Puan Hendon, pemilik butik.
Cuti semester aku banyak lagi. Masih tinggal dua bulan lagi! Entah nak buat apa. Masa awal-awal cuti, aku dah bosan. Nak melancong pun rasanya tak menarik. Jadi, nak tak nak aku belajar di kelas malam. Sekurang-kurangnya dapat juga sijil. Seronok juga belajar bahasa asing ni. Buat masa ni, aku tak kaji lagi apa yang seronoknya. Tapi, yang pastinya ... seronok. Aku belajar bahasa Jepun. Tak tau pula kenapa aku pilih bahasa tu. Itu pun aku tak kaji lagi. Kelas aku bukannya selalu. Kadang-kadang cikgu tu tak datang, kadang-kadang aku pula tak pergi. Hehe...
"Abang Ramli," jerit seseorang dari luar.
Aku bangun menjengok. Jiran sebelah rupanya. Kalau tak silap aku, namanya Encik Mansor. Eh, isteri dia pun ada sekali. Anak-anak pun ada menunggu dalam kereta tu. Kenapa pula budak-budak tu tak ke sekolah hari ni?! Nampak macam nak berjalan jauh saja tu. Aku bergegas ke ruang makan menyampaikan kepada ayah. Walaupun aku tak mendengar dengan jelas perbualan mereka, tapi aku masih dapat menangkap butir bicaranya. Encik Mansor terpaksa pulang ke kampung mereka di Melaka pagi tu juga. Kebetulan pula adik lelaki dia nak balik dari London esok. Jadi, dia minta tolong ayah untuk jemput dan jagakan makan minum adiknya. Aku nampak ayah mengangguk setuju. Mak pun beria-ia senyum sambil menepuk lembut bahu Puan Aini, isteri Encik Mansor.
YOU ARE READING
[Tentang Cinta #1] Kau, Aku & Dia
RomansaGadis manis itu telah berjaya mencuri hatinya. Jadi, Shah yakin dia tidak bersalah kalau dia mengejar pencuri itu dan menghukumnya. Gadis manis itu perlu dikurung di dalam sangkar cintanya. *Sedang dalam proses penambahbaikan. Oct 07, 2013